(foto: SACF)

oleh Suresh Balasubramaniam

Kenyataan Menteri Besar (MB) Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, bahawa siar warta penyahwartaan Hutan Simpan Kekal Bukit Cerakah (HSKBC) adalah bagi melengkapkan proses penyahwartaan yang terhenti ketika zaman Barisan Nasional (BN), merupakan satu percubaan yang membelakangkan kehendak rakyat dan aktivis alam sekitar. Satu kes mahkamah, satu petisyen dengan 102,000 tandatangan, dan puluhan memorandum serta surat sudah cukup untuk membuktikan permintaan rakyat.

Kami percaya bahawa kenyataan MB Selangor ini dikeluarkan setelah kes mahkamah (semakan kehakiman) difailkan oleh dua buah NGO alam sekitar, iaitu Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dan Shah Alam Community Forest (SACF). Dalam semakan kehakiman tersebut, kedua-dua NGO ini berjaya mendapatkan injunksi interim terhadap Kerajaan Negeri Selangor dan beberapa pihak lain, untuk menghentikan proses penyahwartaan HSKBC. Injunksi interim ini berkuatkuasa sehingga pendengaran seterusnya pada 28 September 2022. Injunksi interim ini telah meletakkan Kerajaan Selangor di satu posisi yang sukar untuk meneruskan penyahwartaan HSKBC.

Kenyataan MB Selangor juga mengatakan bahawa satu subsidiari kerajaan akan diarahkan memberhentikan kerjanya di HSKBC, tetapi kerja tidak akan diberhentikan untuk projek-projek yang melibatkan kepentingan awam. Kepentingan awam dalam takrifan Amirudin ialah projek kubur dan jalan raya. Subsidiari kerajaan yang disebutkan oleh Amiruddin mungkin merujuk kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Parti Sosialis Malaysia (PSM) sentiasa berpendapat bahawa pembinaan jalan raya untuk menampung bilangan kenderaan persendirian yang semakin meningkat itu bukanlah penyelesaian, terutamanya untuk kondisi bandaraya seperti Shah Alam. Pembinaan kubur pula boleh dirunding dengan pihak yang terlibat supaya ia dibina di kawasan yang bukan melibatkan Hutan Simpan Kekal (HSK). Malangnya kuasa eksekutif tertinggi Selangor cuba menghalalkan kemusnahan HSKBC dengan alasan-alasan ini.

Kenyataan MB Selangor ini jelas menunjukkan bahawa polisi kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam isu alam sekitar tidah ubah seperti kerajaan BN. Walaupun sudah memerintah untuk 14 tahun di Selangor, amat menghairankan bahawa MB Selangor tidak boleh mengubah keputusan kerajaan BN. Juga seperti pagar makan padi, Amirudin membelakangkan Seksyen 11 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 (EAPN) yang dipinda pada tahun 2011 ketika pemerintahan Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim. Seksyen ini mengkehendaki bahawa apa jua penyahwartaan HSK di Selangor mesti melalui pendengaran awam. Untuk pengetahuan umum, tiada pendengaran awam pernah dibuat untuk penyahwartaan HSKBC.

Ini bukan kali pertama Amirudin menyokong penyahwartaan HSK di Selangor. Dan Amirudin juga bukannya individu tunggal dalam Kerajaan Selangor yang giat mempertahankan penyahwartaan HSK. Isu penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada tahun lepas telah menonjolkan Amirudin dan Hee Loy Sian (Ahli EXCO Alam Sekitar Selangor) sebagai ‘tokoh’ kerajaan Selangor yang menyokong penyahwartaan HSK. PSM tidak lupa dengan kenyataan-kenyataan kedua-dua orang ahli politik PH ini semasa penyahwartaan HSKLU. HSKLU dinyahwartakan dan diberi hak milik kepada sebuah syarikat swasta untuk pembangunan bercampur, sebelum Kerajaan Selangor membuat ‘U-turn’ akibat desakan yang kuat daripada rakyat dan aktivis-aktivis alam sekitar.

Nampaknya dalam kepimpinan Kerajaan Selangor sekarang, keuntungan dan kepentingan pemaju hartanah diutamakan, alam sekitar diketepikan. Inilah sebabnya PSM sentiasa berpendapat bahawa kemusnahan alam sekitar hanya dapat diberhentikan dengan perubahan sistem pemerintahan, bukannya dengan perubahan kosmetik pada kerajaan yang memerintah. Kami ingin menasihatkan Amirudin dan Hee Loy Sian supaya mematuhi injunksi interim Mahkamah Tinggi Shah Alam dan berhenti menjadi jurucakap syarikat pemaju. Kemajuan yang diperlukan untuk Selangor ialah kemajuan yang mampan dan bukannya merosakkan alam sekitar.

==========

Suresh Balasubramaniam ialah aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Shah Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *