(foto: Reuters)

Negara Pakistan sedang dilanda bencana iklim yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Darurat telah diisytihar di Pakistan pada 25 Ogos 2022 kerana banjir yang dikatakan paling teruk dalam sejarah negara itu. Sherry Rehman, Menteri Perubahan Iklim Pakistan, berkata pada 29 Ogos 2022 bahawa lebih kurang satu pertiga kawasan di Pakistan telah ditenggelami air. Sejak musim monsun di Pakistan yang bermula pada bulan Jun 2022, sudah lebih 1,500 orang terbunuh dalam banjir di negara itu. Lebih 33 juta orang penduduk Pakistan, iaitu satu daripada tujuh orang penduduk Pakistan, terjejas dan terpaksa dipindahkan kerana banjir baru-baru ini.

Musim monsun di Asia Selatan biasanya jatuh antara bulan Jun hingga September setiap tahun. Namun, keadaan cuaca sebelum dan semasa musim monsun pada tahun ini agak luar biasa. Sebelum hujan monsun melanda, Pakistan telah mengalami gelombang haba yang teruk pada bulan Mei dan Jun 2022, menjadikannya salah sebuah negara yang terpanas di dunia pada masa itu, dengan mencatatkan suhu tertinggi 53 darjah Celsius. Ini diikuti pula dengan hujan lebat yang berterusan sejak bulan Jun 2022.  

Jumlah air hujan yang turun semasa musim monsun di Pakistan pada tahun ini adalah 2.87 kali ganda lebih tinggi berbanding purata seluruh negara itu dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini. Pada bulan Ogos 2022, wilayah Sindh dan Balochistan telah menerima hujan yang jauh lebih banyak berbanding purata bulan Ogos tahun-tahun sebelum ini, dengan 784% dan 500% masing-masing. Hujan monsun yang lebih banyak berbanding purata sebelum ini turut direkodkan di India dan Bangladesh.

Sindh, Balochistan dan Khyber Pakhtunkhwa, tiga daripada empat buah wilayah Pakistan, menjadi kawasan yang paling teruk dilanda banjir baru-baru ini. Peleburan glasier kerana gelombang haba menyebabkan wilayah berautonomi Gilgit-Baltistan yang bergunung-ganang turut dibanjiri air. Lebih 2 juta buah rumah kediaman di seluruh Pakistan ditenggelami dan dimusnahkan oleh air banjir. Lebih 2 juta ekar tanah pertanian dan ratusan ribu ternakan telah dimusnahkan. Ini mencetuskan kebimbangan bahawa penduduk Pakistan akan menghadapi masalah kekurangan makanan yang serius dalam beberapa bulan akan datang.

Walaupun luar biasa, banjir teruk yang melanda Pakistan baru-baru ini merupakan sesuatu yang dapat dijangkakan di bawah perluasan kapitalisme dan kesannya ke atas iklim sedunia. Pembangunan sistem sosio-ekonomi kapitalis di peringkat global dalam tempoh 200 tahun yang lalu tidak dapat dipisahkan daripada pelepasan gas rumah hijau kerana pembakaran bahan api fosil. Negara-negara di Selatan Global yang kurang membangun dari segi ekonomi berbanding negara-negara maju di Utara Global (kerana proses penjajahan kuasa imperialis sebelum ini) sering kali menjadi mangsa kepada krisis iklim yang semakin menjadi-jadi. Ini merupakan manifestasi “imperialisme iklim” dalam abad ke-21.

Sebuah rencana yang ditulis baru-baru ini oleh Jayati Ghosh, Shouvik Chakraborty dan Debamanyu Das dalam Monthly Review, telah menggariskan mekanisme imperialisme iklim ini. Negara-negara yang paling kaya di dunia – Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) – telah menjana 54% daripada pelepasan karbon dioksida terkumpul sejak tahun 1750. Dari segi pelepasan karbon dioksida per kapita, negara-negara “kaya” seperti Arab Saudi, Australia dan AS, melepaskan gas rumah hijau berkali ganda besar berbanding negara-negara sedang membangun seperti China, Mexico, Brazil, Indonesia dan India. Jika kita mengambil kira faktor kelas sosial, ketidakadilan iklim adalah lebih jelas. Golongan 10% terkaya di Amerika Utara melepaskan karbon dioksida per kapita 8 kali lebih banyak berbanding gabungan semua kelas di Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Pelepasan karbon dioksida terkumpul daripada pembakaran bahan api fosil di seluruh dunia, dari tahun 1750 hingga 2020.
*EU termasuk Perancis, Jerman, Itali, Poland dan United Kingdom.
Sumber: Our World in Data; Climate Watch Data; Global Carbon Project; Statista. (Grafik: Monthly Review)
Pelepasan karbon dioksida per kapita dalam tahun 2020.
Sumber: Global Carbon Project, November 2021; Global Carbon Atlas; Statista. (Grafik: Monthly Review)
Pelepasan karbon dioksida per kapita mengikut rantau dan kategori pendapatan.
Sumber: World Inequality Report 2021 dan Lucas Chancel, Climate Change and the Global Inequality of Carbon Emissions 1990–2020 (Grafik: Monthly Review)

Struktur pengumpulan modal di negara-negara terkaya di dunia yang digunakan sejak zaman Revolusi Perindustrian telah mewujudkan keadaan yang mendatangkan krisis iklim global hari ini. Namun, apabila krisis iklim menjelma ke dalam bencana alam, negara-negara yang dimiskinkan dalam proses perluasan imperialisme, seperti Pakistan yang dihuni oleh penduduk yang banyak, terpaksa menanggung segala kesannya yang paling teruk.  

Mendiang Fidel Castro, tokoh revolusioner Kuba yang terkenal, pernah mengungkapkan masalah imperialisme iklim ini dengan jelasnya dalam ucapannya yang disampaikan semasa Persidangan Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992, “Satu spesies biologi yang penting – manusia – berisiko untuk hilang kerana penghapusan habitat semulajadinya yang cepat dan semakin teruk. Kita mula menyedari tentang masalah ini apabila ia hampir terlalu lambat untuk mencegahnya. Harus dikatakan bahawa masyarakat pengguna bertanggungjawab terutamanya terhadap kemusnahan alam sekitar yang mengerikan ini.”

“Dengan hanya 20% daripada penduduk sedunia, mereka menggunakan dua pertiga daripada semua logam dan tiga perempat daripada tenaga yang dihasilkan di seluruh dunia. Mereka telah meracuni laut dan sungai. Mereka telah mencemarkan udara. Mereka telah melemahkan dan melubangi lapisan ozon. Mereka telah menepukan atmosfera dengan gas-gas, mengubah keadaan iklim dengan kesan malapetaka yang kita sudah pun mula mengalaminya,” begitu katanya Fidel Castro, “Hutan semakin hilang. Padang pasir semakin meluas. Bilion tan tanah yang subur telah dibasuh ke dalam laut setiap tahun. Banyak spesies semakin pupus. Tekanan populasi dan kemiskinan membawa kepada usaha terdesak untuk terus hidup, walaupun dengan mengorbankan alam semulajadi. Perdagangan yang tidak sama rata, proteksionisme dan hutang luar menyerang keseimbangan ekologi dan mendorong kemusnahan alam sekitar. Jika kita ingin menyelamatkan umat manusia daripada kemusnahan diri ini, kekayaan dan teknologi yang sedia ada harus diagihkan dengan lebih baik di seluruh dunia. Kemewahan yang kurang dan pembaziran yang kurang di beberapa buah negara bermakna kemiskinan dan kelaparan yang berkurangan di kebanyakan tempat di dunia.”

Malangnya di dunia yang masih dikuasai oleh kapitalisme yang berlandaskan keuntungan korporat, dasar-dasar ekonomi neoliberal dan neokolonial yang diamalkan oleh pelbagai institusi kewangan antarabangsa sedang melemahkan keupayaan kerajaan-kerajaan negara untuk merespon terhadap krisis iklim. Pada ketika ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) masih ghairah dalam mendesak negara Pakistan untuk melaksanakan dasar “penjimatan” (iaitu pengurangan perbelanjaan sosial oleh kerajaan) yang menghukum rakyatnya untuk membayar balik hutang luarnya. Pada ketika negara Pakistan sedang dilanda banjir, pengangguran, inflasi dan kos pembinaan semula yang besar selepas banjir, desakan untuk pelaksanaan dasar “penjimatan” tidak membawa apa-apa kecuali serangan langsung terhadap kehidupan rakyat di Pakistan.

Inilah sebabnya kita harus terus membina gerakan rakyat dari bawah untuk melawan sistem kapitalis global yang menjahanamkan rakyat sedunia. Sudah tiba masanya negara-negara di Utara Global, yang menjadi “maju” melalui proses penjajahan dan perampasan ke atas negara-negara di Selatan Global, untuk membayar ganti rugi dan “hutang iklim” mereka kepada negara-negara Selatan Global. Negara-negara Selatan Global yang menjadi mangsa krisis iklim seperti Pakistan, memang tidak mungkin melunaskan hutang mereka, sebaliknya harus diberikan pelepasan hutang supaya dapat menggunakan apa sahaja sumber kewangan yang ada untuk memberi bantuan kepada rakyat yang berada dalam kesusahan dan memulihkan kehidupan mangsa bencana alam yang kehilangan tempat tinggal. Negara-negara maju di Utara Global mempunyai tanggungjawab terhadap krisis ekologi yang berpunca daripada struktur pengumpulan modal yang diamalkan mereka selama ini. Semua syarikat korporat yang menjana keuntungan lumayan daripada kemusnahan alam sekitar juga harus dipertanggungjawabkan ke atas jenayah mereka terhadap kemanusiaan dan bumi.

Kapitalisme global yang berlandaskan keuntungan korporat dan spekulasi kewangan yang bersifat pemangsa terbukti tidak seiras dengan kelestarian kehidupan masyarakat dan ekologi bumi. Sebaliknya, kapitalisme terus mengundang ancaman dan kemusnahan kepada habitat manusia di atas muka bumi. Kita harus melucutkan kuasa yang dimiliki oleh syarikat-syarikat gergasi bahan api fosil dan syarikat-syarikat korporat yang mencemar alam sekitar, di samping memastikan kewujudan kerajaan yang mampu menjamin keperluan kehidupan rakyat dan membolehkan penyertaan demokratik yang terluas, supaya rakyat pekerja biasa dapat mengambilalih kuasa membuat keputusan untuk membina sebuah dunia yang lebih bersih, selamat, aman dan lestari. Ini hanya dapat tercapai melalui gerakan massa yang berorganisasi dan bermobilisasi dari bawah, merentasi batasan kaum, agama, budaya dan malah sempadan negara.

==========

Untuk bersolidariti dengan mangsa banjir di Pakistan, Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah melancarkan TABUNG BANTUAN BANJIR PAKISTAN untuk meringankan beban mereka yang terjejas.

Semua dana yang dikutip oleh PSM akan disalurkan kepada Pakistan Kissan Rabita Committee (PKRC), sebuah jaringan organisasi-organisasi petani di Pakistan. PKRC dan Parti Haqooq e Khalq telah mengusahakan bantuan kepada mangsa banjir di Punjab Selatan, Sindh dan Balochistan sejak 29 Julai 2022.

2 thoughts on “Banjir di Pakistan: Bencana akibat imperialisme iklim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *