Krisis iklim adalah ancaman yang terbesar kepada kehidupan dan tamadun manusia. Isu krisis iklim sering dianggap seperti “perkara yang terlalu besar untuk ditangani rakyat biasa”, ataupun “isu yang tidak akan mengancam rakyat Malaysia kerana negara kita aman dan damai” – hakikatnya, kita sedang mengalami impak krisis iklim, dan ia semakin serius kian hari. Banjir besar, corak cuaca yang ekstrem, isu sekuriti makanan, inflasi harga makanan dan barangan harian dan juga pandemik – semua ini adalah impak kegiatan aktiviti manusia yang membalak hutan, mencemarkan alam sekitar dan memusnahkan biodiversiti.

Krisis iklim berlaku akibat pengeluaran sistem ekonomi kapitalis yang tidak mampan demi keuntungan, kerana ia memerlukan manusia untuk mengekstrak sumber alam sekitar untuk menghasilkan komoditi secara besar-besaran. Demi kesejahteraan rakyat Malaysia, isu krisis iklim perlu ditangani segera dan dijadikan agenda yang penting dalam polisi negara. Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah mengemukakan pelan tindakan alternatif “Pemulihan Nasional: Haluan Baru untuk Malaysia” untuk menggesa pembaharuan yang dapat menjamin kesejahteraan masyarakat.

1. Penggunaan 100% tenaga boleh baharu sebelum tahun 2035

Sektor penjanaan tenaga elektrik merupakan pengeluar gas rumah hijau tertinggi di Malaysia. 66% daripada permintaan elektrik dipenuhi dengan pembakaran arang batu, manakala 24% dihasilkan dengan pembakaran fosil-metana (gas asli).

Kerajaan perlu:

  • Meningkatkan kecekapan tenaga dengan drastik dalam sektor industri dan komersial.
  • Melaksanakan moratorium terhadap janakuasa bahan api fosil.
  • Meningkatkan penjanaan daripada Tenaga Boleh Baharu (TBB).
  • Menggunakan bio-metana daripada sisa organik, efluen minyak kilang kelapa sawit (POME), tapak pelupusan sampah, dan sisa pertanian di stesen janakuasa gas.
  • Membina sistem grid tenaga pintar sebelum tahun 2025.
  • Membina sistem grid tenaga untuk membawa kuasa hidro Sarawak ke Sabah sebelum tahun 2024.
  • Memperkukuh sistem Grid Tenaga ASEAN (APG).

2. Penanganan pencemaran daripada industri petroleum

Industri petroleum negara kita mengeluarkan 8.30% daripada gas rumah hijau (GHG) di Malaysia melalui aktiviti penerokaan, perlombongan, penghasilan dan penapisan petroleum dan fosil-gas. Kebanyakan pencemaran GHG daripada industri petroleum adalah hasil kegiatan venting dan flaring yang boleh dielakkan dengan teknologi sedia ada.

Kerajaan perlu:

  • Mengharamkan pelepasan pencemar fugitif seperti venting dan flaring daripada industri petroleum negara.

3. Pengutamaan pengangkutan awam

Penggunaan kenderaan yang semakin bertambah di Malaysia bukan sahaja melepaskan karbon dioksida yang mencemarkan udara kita, malah bertambah stres dan mengancam keselamatan rakyat Malaysia yang sering terperangkap dalam sesak jalan. Pembangunan jalan raya mengurangkan litupan vegetasi dan meningkatkan suhu atmosfera.

Kerajaan perlu:

  • Membangunkan sistem pengangkutan awam yang mampan.
  • Mewujudkan pengangkutan awam berasaskan “Bus Mass Transit” (BMT) yang mengutamakan bas elektrik di semua bandar di Malaysia.

4. Pelaksanaan moratorium kekal terhadap pembalakan di hutan primer

Hutan primer terdiri daripada spesies asli yang telah berkembang secara semulajadi, dengan sedikit atau tanpa bukti kegiatan manusia, dan mempunyai biodiversiti yang lebih tinggi daripada hutan sekunder. Antara contoh hutan sekunder yang wujud di Malaysia adalah hutan tropikal dan hutan paya bakau.

Kerajaan perlu:

  • Moratorium kekal terhadap aktiviti pembalakan dan perlombongan di dalam hutan primer;
  • Pewartaan semua hutan primer sebagai hutan simpanan kekal (HSK).

==========

Rencana ini disediakan oleh Biro Alam Sekitar dan Krisis Iklim (BASKI) PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *