PUTRAJAYA – 7 SEPTEMBER 2022: Penduduk-penduduk B40 dari Cameron Highlands menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya jangan menangguh lagi pembinaan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Cameron Highlands, Pahang. Seruan ini dibuat oleh Jawatankuasa Rumah Mampu (JRM) Cameron Highlands semasa menyerahkan satu memorandum kepada ibu pejabat KPKT pada hari ini.

Turut hadir bersama dengan JRM Cameron Highlands semasa penyerahan memorandum ialah A. Sivarajan, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Penduduk-penduduk B40 yang bergabung dalam JRM Cameron Highlands, dengan sokongan daripada PSM Cameron Highlands, telah menuntut pada kerajaan supaya membina rumah PPR di Cameron Highlands sejak tahun 2017. Banyak surat telah dihantar kepada kerajaan di pelbagai peringkat sebelum ini, termasuk Pejabat Perdana Menteri dan KPKT. Namun, sehingga kini, pihak KPKT yang bertanggungjawab ke atas penyediaan rumah kepada rakyat masih gagal dalam meluluskan projek perumahan PPR untuk golongan B40 di kawasan Cameron Highlands.

“Penduduk-penduduk B40 di Cameron Highlands ini amat kecewa kerana keperluan asas seperti perumahan untuk golongan B40 di Cameron Highlands tidak diutamakan oleh pihak kerajaan. Projek pembinaan rumah PPR telah ditangguh sekian lama,” kata Sivarajan semasa penyerahan memorandum kepada KPKT. “Sudah lebih 40 tahun tiada rumah PPR yang baharu dibina untuk warga pekerja dan golongan berpendapatan rendah di Cameron Highlands. Rumah yang dikatakan ‘mampu milik’ di Cameron Highlands sekarang ini ialah rumah PR1MA yang berharga lebih RM200,000 yang di luar kemampuan kewangan penduduk B40. Bagaimana rakyat biasa yang bekerja di kebun dengan pendapatan rendah mampu membeli rumah-rumah ini?”

“Kebanyakan penduduk yang berpendapatan rendah di Cameron Highlands terpaksa menyewa rumah daripada pemilik rumah swasta. Sewa rumah swasta ini semakin meningkat pula. Mereka memang tidak mampu menanggung beban sewa ini,” ulas Sivarajan. “Gaji mereka pun hanya RM2,000 sebulan. Bagaimana mereka mampu membayar sewa rumah swasta yang mencecah RM1,000? Inilah sebabnya kerajaan perlu serius dalam usaha membina rumah PPR bagi rakyat B40. Penduduk-penduduk Cameron Highlands turun sekali lagi ke Putrajaya untuk menggesa kerajaan supaya jangan tangguh lagi pembinaan rumah PPR. Bina rumah PPR dengan segera untuk rakyat B40, sama ada rumah sewa ataupun rumah sewa-beli.”

Harga rumah di Cameron Highlands telah melambung tinggi kerana pembelian rumah oleh orang luar untuk tujuan pelaburan dan penyewaan kepada para pelancong, sedangkan penduduk-penduduk B40 yang membanting tulang di Cameron Highlands masih tidak mampu memiliki rumah mereka sendiri.

Kanages, salah seorang penduduk Cameron Highlands yang menuntut perumahan PPR, berkata, “Kami telah berjuang untuk mendapatkan rumah PPR ini lebih 5 tahun. Kami memohon pembinaan rumah PPR kerana kami tidak mampu membeli rumah yang mahal. Pendapatan kami tidak cukup untuk menampung kehidupan keluarga, apatah lagi perlu bayar sewa rumah yang tinggi.”

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, JRM Cameron Highlands sekali lagi menggesa kerajaan supaya meluluskan projek pembinaan rumah PPR di Cameron Highlands dalam Belanjawaan 2023 yang akan dibentangkan pada bulan Oktober 2022 nanti.

JRM Cameron Highlands juga berpandangan bahawa pihak KPKT dapat terus melancarkan projek pembinaan rumah PPR mengikut kaedah Permintaan Untuk Cadangan (RFP) sepertimana yang dicadangkan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Pahang. Dalam satu surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada bulan Julai 2019, adalah dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan tapak tanah kepada KPKT di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk pembinaan PPR. Oleh itu, adalah tidak masuk akal untuk Kerajaan Persekutuan masih melengah-lengahkan pembinaan rumah PPR di Cameron Highlands.

2 thoughts on “Jangan tangguh lagi pembinaan rumah PPR di Cameron Highlands

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *