
Kerajaan India melancarkan serangan udara ke atas Pakistan dan wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan pada 7 Mei 2025, maka meningkatkan lagi kemungkinan tercetusnya perang besar-besaran antara dua buah negara di rantau Asia Selatan yang mempunyai senjata nuklear itu. Kerajaan India menggunakan alasan serangan keganasan di Pahalgam, yang terletak di wilayah Jammu dan Kashmir, untuk mengerahkan tenteranya dan melancarkan serangan ke atas Pakistan. Kerajaan Pakistan pula mengancam untuk melakukan serangan balas terhadap tindakan ketenteraan India.
Serangan keganasan di Pahalgam pada 22 April 2025 telah membunuh 28 orang, kebanyakannya pelancong Hindu, di situ. Kerajaan India menuduh kerajaan Pakistan terlibat dalam serangan keganasan di Pahalgam dan memberi perlindungan kepada kumpulan pengganas di wilayah Kashmir. Kerajaan India juga menolak cadangan kerajaan Pakistan untuk menganjurkan siasatan pihak ketiga yang neutral dan bebas. Kerajaan India pimpinan Narendra Modi yang berhaluan kanan cuba menggunakan serangan keganasan Pahalgam untuk mengapi-apikan sentimen ultra-nasionalis demi memperkukuhkan kekuasaannya. Lebih-lebih lagi, sebahagian golongan liberal malah adanya golongan kiri yang menyokong tindakan kerajaan India yang menghasut perang. Ini telah mengancam ruang demokrasi di India dengan lebih lanjut lagi dan menyahstabilkan keadaan di rantau Asia Selatan.
Serangan ketenteraan India ke atas Pakistan dan wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan telah membunuh sekurang-kurangnya 31 orang warga awam, sementara kerajaan India menuduh tembakan meriam daripada serangan balas Pakistan telah membunuh 15 orang. Sebelum ini, India dan Pakistan pernah terlibat dalam sekurang-kurangnya 4 peperangan (pada tahun 1947, 1965, 1971 dan 1999) kerana konflik mengenai Kashmir, dengan pemberontakan bersenjata dan militarisasi berterusan di wilayah itu. Peningkatan konflik antara dua kuasa besar di rantau Asia Selatan itu kerana serangan keganasan yang berlaku di wilayah Kashmir terbaru ini mengundang kebimbangan bahawa akan mencetuskan satu lagi Perang India-Pakistan. Wilayah Jammu dan Kashmir yang ditadbir oleh India telah menyaksikan pemberontakan golongan pemisah sejak tahun 1989, dengan lebih 40,000 orang terbunuh, termasuk lebih 20,000 orang warga awam.
Pelbagai pihak dalam masyarakat antarabangsa telah menyeru pada kedua-dua kerajaan India dan Pakistan untuk mengurangkan ketegangan demi mengelakkan peperangan berskala besar.
Organisasi-organisasi kiri di rantau Asia Selatan juga mengemukakan seruan untuk menyelesaikan konflik melalui pendekatan diplomasi dan mengelakkan satu lagi Perang India-Pakistan.
Parti Komunis India (Marxis-Leninis) Pembebasan [CPI(ML)L] menggesa kerajaan India untuk menghentikan dasar penindasan terhadap kebebasan bersuara dalam ancaman perang, dan merayu pada semua warga India yang mencintai keadilan untuk berdiri teguh serta bersatu untuk menentang semua bentuk keganasan, kebencian dan penindasan, di samping terus menegakkan keamanan, harmoni dan demokrasi. CPI(ML)L juga menyeru pada kerajaan Pakistan untuk menghentikan kem pengganas di Pakistan, dan merayu pada rakyat Pakistan untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap keganasan dan perang. “Merentasi sempadan India-Pakistan, marilah kita dengan suara lantang mengatakan tidak kepada satu lagi perang India-Pakistan dan meningkatkan tekanan untuk usaha mengurangkan ketegangan dua hala,” begitu katanya kenyataan CPI(ML)L.
Parti Haqooq-e-Khalq (HKP) dari Pakistan menyeru supaya kuasa-kuasa progresif di seluruh Asia Selatan harus bersatu untuk menentang histeria perang dan bekerjasama menuju sebuah masa hadapan yang aman. “Walaupun kedua-dua negara memikul tanggungjawab terhadap perang proksi, rejim Modi jelasnya telah memperalatkan tragedi Pahalgam untuk mengalihkan perhatian daripada kegagalannya di Kashmir, meningkatkan populariti dalam negara, dan memajukan matlamat strategik berkenaan sistem Sungai Indus dan hegemoni serantau,” begitu katanya kenyataan HKP. “Kami menggesa Pakistan supaya menegakkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa apabila melindungi rakyatnya daripada pencerobohan, bukannya meniru cara serangan India yang tidak masuk akal terhadap orang awam. Meneruskan peperangan hanya akan mengakibatkan lebih banyak kehilangan nyawa. Kami menuntut satu siasatan bebas terhadap serangan Pahalgam untuk mewujudkan kebenaran dan kebertanggungjawaban.”
“Keamanan yang tahan lama memerlukan penghormatan kepada kedaulatan, penamatan perang proksi, dan penyahtenteraan Kashmir,” tambah HKP. “Kami menyeru pada kerajaan Pakistan untuk memulihkan platform komunikasi, membebaskan tahanan politik, dan membolehkan aliran maklumat yang bebas semasa krisis ini. Sebarang peperangan antara negara-negara bersenjata nuklear akan membawa malapetaka di peringkat serantau dan sedunia.”
Perhimpunan Rakyat Antarabangsa (IPA) menggesa kedua-dua kerajaan India dan Pakistan untuk menghentikan semua tindakan pencerobohan dan komited pada proses dialog serta diplomasi yang mampan dan telus. “Keamanan tidak harus sesuatu yang difikirkan kemudian – ia harus menjadi asas kepada sebuah masa hadapan yang adil dan saksama,” begitu katanya kenyataan IPA. “Ketegangan semasa ini bukannya terpencil – ia mengancam untuk menyahstabilkan seluruh rantau Asia Selatan. Konflik serantau akan mengganggu kehidupan merentasi sempadan, merosakkan ekonomi yang sudah rapuh, dan memperdalamkan lagi perpecahan yang akan mengambil beberapa generasi untuk dipulihkan.”
“Perhimpunan Rakyat Antarabangsa berdiri bersama rakyat Asia Selatan dalam tuntutan mereka untuk keamanan, maruah dan keadilan,” kata IPA. “Kami menyeru pada gerakan rakyat, kesatuan sekerja, organisasi pelajar dan semua kuasa demokratik di India, Pakistan dan seluruh rantau itu untuk menolak peperangan, menentang militarisme, dan mengibarkan panji solidariti dan keamanan. Marilah kita menolak perang dan melabur dalam kehidupan. Marilah kita menggunakan sumber-sumber kita bukannya untuk memusnah, tetapi untuk membina semula Asia Selatan yang menjadi milik rakyatnya – bukan orang yang mengaut keuntungan daripada perang.”
Forum Rakyat Asia-Eropah (AEPF) turut menggesa kerajaan India dan Pakistan untuk menahan diri dalam suasana yang tegang ini. “Kami percaya bahawa peperangan mempunyai kesan jangka panjang yang serius terhadap rakyat biasa dan akibat yang tidak diketahui,” begitu katanya kenyataan AEPF. “AEPF menggesa agar kerajaan India dan Pakistan menghentikan ketegangan ini dan semua pemegang taruh membantu dalam meredakan suasana perang dan ketegangan… Kami percaya bahawa ‘ini bukannya zaman untuk peperangan’ dan semua kerajaan harus mengambil langkah-langkah untuk mengamalkan kata-kata penting ini.”
Tangisan perang yang cuba dilaungkan oleh golongan elit pemerintah di kedua-dua negara India dan Pakistan bukannya solusi kepada kemelut yang sedang dihadapi di rantau Asia Selatan. Kuasa-kuasa progresif di kedua-dua belah sempadan India-Pakistan mempunyai peranan besar untuk memperjuangkan keamanan, keselamatan rakyat dan kemakmuran bersama. Konflik antara India dan Pakistan hanya dapat ditangani dengan penyahtenteraan wilayah Kashmir dan hak rakyat Kashmir di kedua-dua belah sempadan negara India-Pakistan untuk menentukan nasib sendiri itu ditegakkan.
Rakyat Asia Selatan tidak patut ditarik ke dalam kemelut konflik peperangan yang hanya menguntungkan pengeluar senjata tetapi memudaratkan rakyat biasa merentasi sempadan negara. Masa hadapan rakyat dunia bergantung pada penegakan demokrasi, dialog, saling hormat-menghormati dan kerjasama, bukannya permusuhan dan konfrontasi ketenteraan antara negara-negara yang dikuasai oleh golongan elit pemerintah.