
oleh Dr. Jeyakumar Devaraj
Bagaimana seseorang mengambil pendirian terhadap satu “kesalahan” dalam sistem “kesalahan” yang lebih besar?
“Ibu” kepada semua “kesalahan” ini adalah konsep bahawa kesihatan hanya satu lagi komoditi yang boleh diniagakan dalam pasaran. Konsep ini harus ditolak dalam masyarakat yang bertamadun, bukan hanya kerana akses kepada kesihatan merupakan hak asasi manusia, ia juga merupakan transaksi di mana terdapat ketidakseimbangan dalam pengetahuan antara pembekal perkhidmatan (doktor) dan penerima perkhidmatan (pesakit). Lebih penting lagi, sebuah sistem kesihatan yang baik berasaskan solidariti semua rakyat, dan bebas daripada keupayaan pesakit untuk membayar, memberi sumbangan besar kepada kita sebagai sebuah negara. Ia menjadikan kita berasa bahawa kita sebuah masyarakat, meningkatkan semangat kekitaan, dan menyumbang kepada usaha membina sebuah masyarakat yang lebih harmoni.
Namun begitu, kesilapan telah dilakukan. Amalan swasta dibenarkan di Malaya sebelum merdeka lagi dan pengamal perubatan umum (GP) membuka klinik swasta di seluruh negara. Mereka memang memberikan perkhidmatan yang berguna kepada komuniti dengan menjadikan kesihatan itu lebih mudah diakses. Mereka juga memperoleh pendapatan yang lumayan, dan GP merupakan golongan terkaya 10% daripada populasi pada masa itu.
Keadaan mula berubah pada tahun 1980-an selepas Dr. Mahathir mendorong pembukaan hospital-hospital swasta yang bermotifkan keuntungan. Hospital-hospital ini juga memberikan jagaan pesakit luar kepada mana-mana pesakit yang terus mengunjunginya. Sistem jagaan kesihatan primer yang diamalkan di Malaysia sebelum tahun 1980, di mana seorang pesakit perlu berjumpa seorang GP atau doktor di jabatan pesakit luar kerajaan sebelum dirujukkan kepada doktor pakar (pada masa itu hampir semuanya dalam perkhidmatan kerajaan) telah digantikan dengan rujukan diri secara langsung kepada doktor pakar swasta. Trend ini semakin berkembang pesat dengan pertumbuhan hospital-hospital swasta, dan pendapatan untuk 8,000 buah klinik GP di negara ini telah terjejas.
Para GP juga pernah mempunyai kontrak dengan kilang-kilang, bank-bank dan agensi-agensi kerajaan untuk disenaraikan sebagai salah seorang doktor dalam panel perubatan institusi-institusi ini yang akan membayar doktor kadar yang dirundingkan terlebih dahulu bagi setiap pesakit yang dirawat oleh mereka. Pencerobohan “Pentadbir Pihak Ketiga” (TPA) ke dalam ruangan ini menyaksikan banyak majikan beralih kepada TPA kerana mereka menawarkan kadar yang lebih rendah. TPA, yang merupakan syarikat korporat dengan keupayaan kewangan yang kuat, kini mempunyai kuasa pasaran untuk memaksa GP untuk menerima kadar yang sangat rendah atas dasar “terimanya atau tinggalkannya sahaja”.
Akibat daripada perubahan ini, GP sekarang memperoleh pendapatan bulanan rendah 5-digit atau malah hanya 4-digit, kira-kira 5 hingga 10 kali ganda lebih rendah berbanding doktor pakar di hospital swasta. Mereka kini berada dalam lingkungan desil kedua, malah desil ketiga dari atas, dalam piramid pendapatan negara kita sedangkan mereka pernah berada dalam decil teratas sebelum ini. Dengan itu, mereka berasa “diperlakukan secara tidak adil”.
Namun, berapa banyak sebenarnya golongan profesional harus dibayar? Sudah pasti, mereka perlu berusaha kuat untuk memperoleh pengetahuan dan kemahiran mereka, tetapi pengetahuan itu dikumpulkan daripada sumbangan banyak generasi. Pengetahuan itu tidak dibangunkan secara dari awal semula oleh golongan profesional itu sendiri. Mereka melengkapkan diri mereka dengan warisan intelek dan saintifik kolektif umat manusia untuk memberikan kita kepakaran perubatan mereka.
PSM mencadangkan supaya pendapatan teratas dalam masyarakat tidak patut lebih 10 kali ganda berbanding gaji sara hidup, di mana ia ditetapkan pada kadar kira-kira RM3,200 sebulan di Malaysia pada hari ini. Apa-apa yang lebih 10 kali ganda daripadanya, patut dilihat sebagai salah guna kemahiran dan pengetahuan yang diamanahkan kepada golongan profesional untuk mengurus tadbir kebijaksanaan/pengetahuan kolektif umat manusia.
Berbalik kepada perhimpunan GP di Putrajaya, “jerami yang mematahkan belakang unta” ialah penguatkuasaan peraturan yang mengkehendaki GP mempamerkan harga ubat-ubatan. Memandangkan jadual yuran perubatan tidak disemak semula dalam tempoh 33 tahun kebelakangan ini, banyak GP menambahkan pendapatan mereka dengan menaikkan harga ubat-ubatan yang dipreskripsikan oleh mereka. Saya percaya bahawa terdapat juga sebilangan besar GP mensubsidi ubat-ubatan untuk pesakit-pesakit mereka yang lebih miskin, tetapi mengenakan bayaran yang lebih tinggi untuk pesakit-pesakit yang lebih kaya, bagi ubat-ubatan yang sama. Penguatkuasaan pemaparan harga ubat akan menyukarkan subsidi silang ini, dan juga menyekat penambahan pendapatan.
Selain itu, banyak GP hanya melabel ubat-ubatan dengan menulis simptom yang diubati, seperti “demam”, “batuk”, “sakit kepala” atau “antibiotik”, tanpa menyatakan nama farmakologi ubat-ubatan yang dibekalkan itu. Ini semata-mata strategi perniagaan untuk menghalang pesakit-pesakit daripada membeli lebih banyak dos ubat yang sama daripada ahli farmasi (kebanyakan mereka menjual barangan preskripsi tanpa preskripsi). Adalah sukar untuk menyalahkan mana-mana pihak di sini. Bagi kita, sebagai sebuah masyarakat, telah mendorong para pengamal perubatan (doktor dan ahli farmasi) untuk menganggap kesihatan sebagai komoditi. Adalah menjadi hipokrit bagi kita sekarang untuk mengkritik mereka dari sudut moral yang tinggi apabila mereka bertindak sebagai peniaga.
Namun, doktor harus sedar bahawa kedudukan mereka dalam masyarakat sedang merosot. Doktor masih dihormati ramai, tetapi semakin banyak orang mula melihat doktor sebagai pencari keuntungan yang mementingkan diri sendiri. Ini dicerminkan dalam peningkatan dalam litigasi yang melibatkan doktor. Selain memperjuangkan imbuhan yang lebih baik bagi doktor, profesion perubatan harus bersuara untuk rakyat biasa Malaysia yang mengalami masalah kemudahan kerajaan yang penuh sesak, masa menunggu yang panjang, kos perubatan yang melambung tinggi dalam sektor swasta dan tekanan kewangan yang disebabkan oleh sistem kesihatan yang tidak berfungsi dengan baik. Doktor-doktor harus menyokong tuntutan-tuntutan Gabungan Kesihatan Rakyat, iaitu:
- Moratorium selama 10 tahun terhadap pembinaan hospital swasta yang baharu. Ini bertujuan untuk membendung masalah penghijrahan besar-besaran doktor pakar dari hospital kerajaan ke sektor swasta.
- Pelaksanaan skim kapitasi yang memperuntukkan pesakit-pesakit diabetes dan darah tinggi kepada GP untuk rawatan susulan, tetapi dengan perbelanjaan kerajaan – ubat-ubatan dan proses siasatan ditanggung oleh Kementerian Kesihatan dan yuran profesional doktor itu dibiayai oleh bayaran kapitasi.
- Peningkatan belanjawan Kementerian Kesihatan kepada 5% KDNK dalam tempoh 5 tahun akan datang. Ini akan membolehkan Kementerian Kesihatan untuk membiayai inisiatif yang disebut di atas – dana yang diperlukan untuk mengupah lebih banyak doktor pakar dalam sektor kerajaan dan perluasan kemudahan hospital supaya doktor-doktor pakar boleh merawat lebih banyak pesakit.
Sokongan kepada cadangan-cadangan pro-rakyat untuk pembaharuan sistem kesihatan akan membantu dalam memulihkan imej doktor di mata orang ramai.
Kami bersimpati dengan Kerajaan MADANI, kerana mereka mewarisi situasi susah yang timbul daripada keputusan dasar yang salah pada masa lampau. Namun, adalah menyedihkan apabila melihat bahawa Kerajaan MADANI masih berniat untuk mempromosi skim Rakan KKM dan melancarkan polisi insurans sukarela. Ini merupakan langkah-langkah yang mengkomoditikan kesihatan lebih lanjut lagi dan menghalalkan pengautan untung daripadanya. Seperti yang kami nyatakan pada awalnya, menganggap kesihatan sebagai hanya satu lagi komoditi yang boleh didagangkan adalah punca kepada banyak masalah yang kita sedang hadapi. Penyelesaian kepada masalah-masalah ini perlu berperingkat dan akan mengambil masa. Jin itu, sebaik sahaja keluar dari botol, adalah sukar untuk ditarik balik ke dalamnya! Namun, pengkomoditian kesihatan sudah pasti merupakan langkah ke arah yang salah!
Kerajaan MADANI harus berundur dan melihat secara teliti pengagihan pendapatan di Malaysia pada masa ini. Hanya 29% daripada jumlah pendapatan negara disalurkan kepada 97% populasi yang bekerja, sementara 55% kekayaan dikuasai oleh syarikat korporat dan individu terkaya (yang membentuk hanya 3% daripada populasi yang bekerja). Kerajaan harus mengkaji secara serius bagaimana sebahagian daripada 55% kekayaan yang dikuasai oleh golongan elit ekonomi itu boleh disalurkan ke dalam tabung kerajaan sebagai cukai, dan digunakan untuk menambah baik sistem kesihatan.
==========
Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).