oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Baru-baru ini, akaun aplikasi WhatsApp saya telah digodam oleh seorang penipu. Penipu itu menggunakan akaun WhatsApp saya untuk meminta pinjaman RM5,000 (dengan memakai nama saya) daripada kawan-kawan saya yang tersenarai dalam akaun WhatsApp saya. Seorang kawan saya yang dihubungi oleh si penipu itu telah menelefon saya dan memberitahu nombor akaun bank CIMB yang diberikan oleh penipu itu untuk memindahkan “pinjaman”.

Saya telah menelefon hotline CIMB dan meminta akaun tersebut disekat dengan serta-merta supaya menghalang pemindahan wang ke akaun itu, dan juga untuk mencegah si penipu itu daripada mengeluarkan wang yang telah pun dipindahkan sebelum itu. Tetapi pegawai CIMB berkata bahawa dia tidak boleh berbuat begitu atas panggilan daripada seorang yang tidak dikenali. Dia menasihati saya untuk membuat aduan polis.

Saya telah, dengan segera, membuat satu aduan polis di IPD Ipoh dan meminta mereka untuk mengarahkan bank CIMB supaya membekukan akaun yang diberikan oleh penipu itu. Anggota polis bertanya, “Uncle ada rugi berapa?” Saya menerangkan padanya bahawa penipu itu sedang menggunakan nama saya untuk menipu kawan-kawan saya. Ada kemungkinan beberapa orang daripada mereka akan mengalami kerugian. Anggota polis itu menelefon orang atasannya dan selepas itu berkata bahawa itu adalah SOP mereka. Dia nasihati saya untuk menghubungi bank.

Apabila saya menelefon bank CIMB, dan memberitahu nombor aduan polis saya, jawapan pegawai di situ adalah mereka akan tunggu untuk arahan polis!

Jadi, inilah antara sebab utama kenapa ramai orang di Malaysia mengalami kerugian besar oleh kerana ditipu, iaitu pihak bank seperti CIMB dan juga pihak polis enggan mengambil tindakan segera untuk membekukan akaun yang telah dikenal pasti. Mereka mahu menunggu sehingga orang kena tipu. Dan selepas itu, memang mereka tidak dapat menangkap penipu kerana penipu biasa menggunakan akaun keldai (mule account) di mana akaun bank adalah didaftar dengan nama pihak ketiga tetapi kad ATM dipegang oleh penipu. Akhirnya, orang yang kena tipu tidak dikembalikan wangnya, dan si keldai akan disoal siasat habis-habisan oleh polis dari beberapa IPD di Malaysia dan disenaraihitamkan sehingga tidak boleh membuka akaun di mana-mana bank.

Apakah halangan untuk bertindak secara lebih proaktif? Semua bank harus ada hotline yang boleh membekukan akaun yang diragui dengan segera apabila dihubungi oleh polis. Memang kita ada undang-undang yang boleh digunakan terhadap mana-mana pengadu yang memberi maklumat palsu untuk membalas dendam terhadap pemegang akaun atas sebab peribadi. Individu seperti ini harus didakwa kerana menipu polis dengan memberi maklumat palsu.

Malaysia sedang mengalami wabak penipuan dalam talian. Pihak bank dan juga polis harus memantapkan respon mereka supaya kerugian rakyat biasa dapat dikurangkan.  

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *