Politik Eropah menjurus ke arah yang lebih suram, lebih konservatif dan berhaluan kanan lagi apabila parti-parti politik pelampau kanan memenangi lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah 2024. Walaupun parti-parti arus perdana yang berhaluan tengah masih menguasai kerusi terbanyak dalam Parlimen Eropah, parti-parti populis pelampau kanan yang ultra-konservstif, ultra-nasionalis, anti-migran dan malah ada yang bersifat fasis, telah memperoleh lebih banyak kerusi di Perancis, Jerman dan Austria. Blok parti hijau (Greens/EFA) yang memenangi banyak kerusi pada tahun 2019 telah kehilangan 21 kerusi dalam Parlimen Eropah, mencetuskan kebimbangan tentang usaha pelaksanaan Perjanjian Hijau Eropah dalam menangani krisis iklim akan dilemahkan. Prestasi parti-parti berhaluan kiri masih hambar, tetapi menyaksikan peningkatan kerusi di Perancis, Belgium, Sweden, Finland dan Denmark.

Pilihan Raya Parlimen Eropah telah diadakan dari 6 hingga 9 Jun 2024, untuk memilih sejumlah 720 orang Ahli Parlimen Eropah yang mewakili hampir 450 juta orang rakyat dari 27 buah negara anggota Kesatuan Eropah (EU). Ini merupakan Pilihan Raya Parlimen Eropah yang ke-10, dan Pilihan Raya Parlimen Eropah yang pertama selepas negara United Kingdom (UK) keluar daripada EU pada tahun 2020. Kira-kira 357 juta orang layak untuk mengundi dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah 2024.

Parlimen Eropah merupakan sebuah institusi EU yang berfungsi sebagai badan perundangan bersama dengan Majlis Kesatuan Eropah dalam meluluskan cadangan undang-undang daripada Suruhanjaya Eropah. Pilihan Raya Parlimen Eropah diadakan setiap 5 tahun sekali sejak tahun 1979.

Ringkasan pengagihan kerusi mengikut blok politik (berdasarkan keputusan yang diketahui setakat 11 Jun 2024 dan 14 kerusi di Ireland belum ada keputusan lagi):

  1. Parti Rakyat Eropah (EPP), blok parti berhaluan kanan tradisional atau kanan-tengah yang terdiri daripada parti-parti demokratik Kristian, liberal-konservatif dan konservatif yang pro-EU, memenangi 186 kerusi, meningkat 4 kerusi berbanding keputusan pilihan raya tahun 2019, mengekalkan dirinya sebagai blok terbesar dalam Parlimen Eropah. Parti-parti utama dalam blok ini ialah Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) di Jerman, Parti Demokrasi Baharu (ND) di Greece, Parti Rakyat Austria (ÖVP) dan Parti Rakyat (PP) di Sepanyol.
  2. Perikatan Progresif Sosialis dan Demokrat (S&D), blok parti demokrat sosial yang berhaluan kiri-tengah dan kebanyakannya bergabung dalam Parti Sosialis Eropah (PES), walaupun masih kekal sebagai blok kedua besar dalam Parlimen Eropah, ia hanya memenangi 135 kerusi, merosot sebanyak 19 kerusi berbanding 154 kerusi yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah 2019. Parti-parti utama dalam blok ini ialah Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD), Parti Pekerja Sosialis Sepanyol (PSOE), Parti Demokrasi Austria (SPÖ), Parti Demokratik (PD) di Itali dan Parti Sosialis (PS) di Portugal.
  3. Perbaharui Eropah (Renew), blok parti liberal yang berhaluan tengah dan banyak antaranya bergabung dalam Parti Perikatan Liberal dan Demokrat untuk Eropah (ALDE) dan Parti Demokratik Eropah (EDP), walaupun kekal sebagai blok ketiga besar dalam Parlimen Eropah dengan 79 kerusi, ia sebenarnya boleh dikatakan telah mengalami kekalahan teruk dengan kehilangan sebanyak 29 kerusi berbanding 108 kerusi yang dimenangi semasa Pilihan Raya Parlimen Eropah 2019. Parti-parti utama dalam blok ini ialah Renaissance (RE) di Perancis, Parti Demokratik Bebas (FDP) di Jerman dan Parti Rakyat untuk Kebebasan dan Demokrasi (VVD) di Belanda.
  4. Konservatif dan Reformis Eropah (ECR), blok parti berhaluan kanan yang populis dan euroskeptik, memenangi 73 kerusi, bertambah sebanyak 11 kerusi berbanding 62 kerusi yang dimenanginya pada tahun 2019, dan menjadikannya blok keempat besar dalam Parlimen Eropah. Parti-parti utama dalam blok ini ialah Fratelli d’Italia (FdI) yang dipimpin oleh Perdana Menteri Itali pada masa ini Giorgia Meloni, Vox di Sepanyol dan “Undang-Undang dan Keadilan” (PiS) di Poland.
  5. Identiti dan Demokrasi (ID), blok parti pelampau kanan yang ultra-nasionalis dan anti-migran, memenangi 58 kerusi, menjadikannya blok kelima besar dalam Parlimen Eropah. Walaupun dari segi angka kerusi yang dimenangi oleh blok ID adalah kurang berbanding 73 kerusi pada tahun 2019 di mana parti “Alternatif untuk Jerman” (AfD) merupakan sebahagian daripada blok ID, AfD yang tidak menyertai mana-mana blok pada masa ini telah memenangi 15 kerusi dalam Pilihan Rakyat Parlimen Eropah 2024, maka kekuatan golongan pelampau kanan masih besar dalam Parlimen Eropah. Parti-parti utama dalam blok ini ialah Rassemblement National (RN) di Perancis, Parti untuk Kebebasan (PVV) di Belanda, Parti Kebebasan Austria (FPÖ) dan Lega di Itali.
  6. Hijau/Perikatan Bebas Eropah (Greens/EFA), blok parti yang terdiri daripada parti-parti hijau dan parti-parti berfahaman kedaerahan (regionalisme) yang pro-EU, telah mengalami tamparan hebat apabila hanya memenangi 53 kerusi, berkurangan sebanyak 21 kerusi berbanding keputusan pilihan raya pada tahun 2019. Parti-parti utama dalam blok ini ialah Pakatan 90/Hijau (Grüne) di Jerman, GroenLinks (GL) di Belanda dan Les Écologistes (LE-EELV) di Perancis.
  7. Kiri dalam Parlimen Eropah – GUE/NGL, satu-satunya blok parti berhaluan kiri yang lebih kritikal terhadap kapitalisme, hanya memenangi 36 kerusi, kurang lagi 5 kerusi berbanding 41 kerusi yang dimenangi pada tahun 2019 (blok ini mempunyai 37 kerusi sebelum Pilihan Raya Parlimen Eropah diadakan). Parti-parti utama dalam blok ini ialah Die Linke di Jerman, La France Insoumise (LFI) di Perancis, Gabungan Kiri Radikal  – Perikatan Progresif (SYRIZA) di Greece, Perikatan Kiri (Vas) di Finland, Parti Kiri (V) di Sweden dan Parti Pekerja Belgium (PTB-PVDA).

Parti tradisional arus perdana semakin hilang pengaruh dan parti pelampau kanan terus bertambah kerusi

Secara umumnya, seperti yang telah dijangkakan, Pilihan Raya Parlimen Eropah kali ini menyaksikan parti-parti arus perdana di Eropah yang menduduki spektrum politik kiri-tengah hingga kanan-tengah semakin hilang sokongan undi, sementara parti-parti pelampau kanan yang mengapi-apikan sentimen ultra-nasionalis dan anti-migran terus berkembang lagi pengaruh mereka dalam arena politik pilihan raya. Ini memang merupakan satu trend yang telah berlarutan dalam tempoh satu dekad kebelakangan ini dan mencapai kemuncak baharu dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah 2024.

Kedua-dua blok politik terbesar, EPP dan S&D, yang sebelum ini mendominasi kerusi dalam Parlimen Eropah, telah mengalami kekalahan teruk pada tahun 2019 apabila jumlah kerusi dua blok ini gagal membentuk majoriti dalam Parlimen Eropah. Trend ini nampaknya telah diteruskan dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah 2024 walaupun dua blok ini masih menduduki dua tempat teratas dari segi penguasaan kerusi, dengan EPP meningkatkan sedikit kerusi sementara S&D hilang agak banyak kerusi.

Blok Renew yang muncul sebagai salah satu pemenang terbesar pada tahun 2019 telah mengalami kekalahan teruk kali ini, apabila gabungan parti dalam blok liberal ini di Perancis yang menyokong Presiden Emmanuel Macron memperoleh undi yang tidak sampai separuh undi yang diraih oleh parti pelampau kanan RN yang dipimpin oleh Marine Le Pen. Gabungan parti yang menyokong Macron hanya memperoleh 14.60% undian, jauh ketinggalan berbanding RN daripada blok ID yang memperoleh 31.37% undian. Selepas mengetahui kekalahan teruk Renew dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah di Perancis, Presiden Emmanuel Macron melakukan satu tindakan yang mengejutkan dan boleh dikatakan satu perjudian politik besar, iaitu mengumumkan bahawa dia akan membubarkan Perhimpunan Kebangsaan (iaitu Parlimen Perancis) untuk pilihan raya parlimen, di mana gabungan parti yang menyokong kepresidenannya berisiko besar hilang lebih banyak lagi kerusi. Reconquête, sebuah lagi parti pelampau kanan daripada blok ECR telah meraih sebanyak 5.47% undian, menjadikan undian kepada parti pelampau kanan mencecah hampir 37%.

Parti pelampau kanan daripada blok ID juga menduduki tempat pertama di Austria, apabila FPÖ menawan 6 daripada 30 kerusi Parlimen Eropah di negara itu dengan meraih 25.70% undian, meningkat sebanyak 3 kerusi. Fratelli d’Italia yang dipimpin oleh Perdana Menteri Giorgia Meloni dan merupakan anggota blok ECR melipatgandakan undiannya daripada 6.44% pada tahun 2019 kepada 28.77% dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah kali ini dan memenangi 24 kerusi. Parti pelampau kanan di Jerman, AfD, yang tidak menyertai mana-mana blok politik dalam Parlimen Eropah pada masa ini, telah memperoleh undi yang lebih banyak (15.9%) berbanding SPD (13.9%) yang merupakan parti utama dalam kerajaan campuran yang memerintah negara Jerman pada masa ini. AfD berada di tempat kedua di belakang CDU/CSU (30.0% undian), parti pembangkang utama di Jerman yang berhaluan kanan.

Parti pelampau kanan juga bertambah sokongan undi dan kerusi di Belanda dan Sepanyol. Namun begitu, kemaraan parti pelampau kanan nampaknya dapat disekat di negara-negara Skandinavia seperti Sweden, Finland dan Denmark, di mana parti-parti berhaluan kiri menunjukkan peningkatan dari segi sokongan undi.

Kuasa politik pelampau kanan di Eropah dapat berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini adalah berpunca daripada kegagalan kerajaan di Eropah yang dibentuk oleh parti-parti tradisional arus perdana, sama ada berhaluan kiri-tengah, kanan-tengah atau liberal, dalam menangani krisis ekonomi dan krisis kos sara hidup yang menjejaskan kehidupan rakyat biasa. Selain daripada gagal dalam menangani masalah sosio-ekonomi yang timbul kerana dasar neoliberal, ahli-ahli politik daripada parti-parti tradisional ini turut terjerumus dalam permainan politik yang mempergunakan retorik anti-migran, maka mengapi-apikan lagi sentimen perkauman dan membantu dalam memperkuatkan pengaruh fahaman pelampau kanan.

Blok Greens/EFA yang terdiri daripada parti-parti politik yang membawa dasar yang mesra alam sekitar telah mengalami kemerosotan sokongan undi yang ketara dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah, dengan Grüne di Jerman hanya meraih 11.90% undian (menurun sebanyak 8.6 titik peratusan berbanding tahun 2019) dan LE-EELV di Perancis hanya memperoleh 5.50% undian (menurun sebanyaj 7.97 titik peratusan berbanding tahun 2019). Parti-parti hijau di Eropah mendapat peningkatan sokongan undi pada tahun 2019 dengan menunggang gelombang kebangkitan anak muda yang prihatin pada isu krisis iklim, tetapi gagal menawarkan solusi kepada permasalahan asas rakyat biasa sehingga kehilangan sokongan undi secara ketara. Adalah ternyata bahawa kerjasama antara blok parti hijau dengan golongan liberal dan konservatif yang pro-EU dalam meneruskan dasar ekonomi neoliberal yang menekan rakyat biasa telah menyebabkan parti-parti hijau di Eropah hilang kewibawaan politik dalam masa yang singkat.

Prestasi parti berhaluan kiri dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah 2024

Walaupun jumlah kerusi yang dimenangi oleh blok Kiri dalam Parlimen Eropah – GUE/NGL adalah kurang berbanding tahun 2019, antara sebabnya perpecahan dan kelemahan yang berlaku pada beberapa buah parti di Eropah (khususnya di Jerman dan Sepanyol), parti-parti berhaluan kiri menunjukkan prestasi yang lebih baik di Belgium, Perancis, Sweden dan Finland.

Parti Pekerja Belgium (PTB-PVDA), yang menunjukkan prestasi yang menggalakkan dalam pilihan raya dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana kerja-kerja akar umbinya yang memfokus pada isu-isu sosial, meraih sebanyak 10.7%, meningkat 2.3 titik peratusan berbanding 8.4% yang diraihnya pada tahun 2019. Jumlah undi yang diraih oleh PTB-PVDA telah meningkat daripada kira-kira 566,000 undi pada tahun 2019 kepada lebih 763,000 undi dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah kali ini. Ini membolehkan PTB-PVDA memenangi 2 daripada 22 kerusi Parlimen Eropah di Belgium, meningkat 1 kerusi berbanding tahun 2019. PTB-PVDA juga menjadi satu-satunya parti politik di Belgium yang mempunyai wakil daripada kedua-dua wilayah pilihan raya berbahasa Belanda Flanders dan Perancis.

Di negara Perancis yang menyaksikan kemaraan politik pelampau kanan yang ketara, La France Insoumise (LFI), parti berhaluan kiri yang dipimpin oleh Jean-Luc Mélenchon, meraih sebanyak 2,448,711 undi (bersamaan 9.89% undian) dan memenangi 9 kerusi, bertambah 3 kerusi berbanding tahun 2019. Sokongan undi untuk LFI dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah kali ini telah meningkat sebanyak 3.58 titik peratusan, dengan pertambahan lebih 1 juta undi berbanding tahun 2019.

Di Sweden, Parti Kiri (V) meraih sebanyak 10.9% undian, meningkat sebanyak 4.1 titik peratusan berbanding tahun 2019, membolehkannya memenangi 2 daripada 21 kerusi Parlimen Eropah yang dipertandingkan di negara itu, meningkat 1 kerusi berbanding tahun 2019.

Di Finland, Perikatan Kiri (Vas) mendapat pencapaian yang menggalakkan dengan meraih sebanyak 17.3% undian, meningkat sebanyak 10.4 titik peratusan berbanding tahun 2019, dan membolehkannya menduduki tempat kedua di belakang parti pemerintah sekarang, Parti Campuran Nasional yang memperoleh 24.8% undian. Perikatan Kiri memenangi 3 daripada 15 kerusi Parlimen Eropah di Finland, meningkat 2 kerusi berbanding tahun 2019.

Di Denmark, Parti Rakyat Sosialis (SF), parti berhaluan kiri yang bersekutu dengan blok parti hijau (Greens/EFA), meraih 17.4% undian, meningkat sebanyak 4.2 titik peratusan berbanding tahun 2019, dan membolehkannya muncul sebagai parti yang memperoleh undi terbanyak di Denmark. SF memenangi 3 daripada 15 kerusi Parlimen Eropah di Denmark, bertambah 1 kerusi berbanding tahun 2019. Perikatan Merah-Hijau (Ø) yang bergabung dengan blok Kiri dalam Parlimen Eropah – GUE/NGL memenangi 1 kerusi dengan meraih 7.0% undian, meningkat 1.5 titik peratusan.

Di Jerman, Die Linke yang telah dilemahkan secara ketara kerana perpecahan parti itu baru-baru ini, mencatatkan pencapaian yang paling teruk dalam penglibatannya dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah, dengan hanya meraih 2.7% undian (merosot sebanyak 2.8 titik peratusan berbanding tahun 2019) dan memenangi 3 daripada 96 kerusi Parlimen Eropah di Jerman.  Sebuah lagi parti yang bergabung dengan blok Kiri dalam Parlimen Eropah, Parti Perlindungan Haiwan (Tierschutzpartei), meraih 1.4% undian dan mengekalkan satu-satu kerusinya. Perikatan Sahra Wagenknecht (BSW), sebuah parti populis yang berpecah keluar daripada Die Linke tetapi mengambil pendirian politik yang konservatif berkaitan isu imigran dan gender, telah meraih 6.2% undian dan memenangi 6 kerusi.

Di Greece, Gabungan Kiri Radikal  – Perikatan Progresif (SYRIZA) hanya memenangi 4 kerusi, kurang 2 kerusi berbanding tahun 2019. Parti Komunis Greece (KKE) yang tidak bergabung dengan mana-mana blok utama dalam Parlimen Eropah mengekalkan 2 kerusinya dengan peratusan undian 9.25% (peningkatan sebanyak 3.5 titik peratusan berbanding tahun 2019, tetapi peratusan keluar mengundi di Greece telah merosot dengan ketara, maka peningkatan undi yang diraih hanya kira-kira 65,000).

Di Sepanyol, Podemos yang bergabung dengan blok Kiri dalam Parlimen Eropah – GUE/NGL memenangi 2 kerusi, Euskal Herria Bildu di Negeri Basque memenangi 1 kerusi, dan Sumar, sebuah perikatan politik berhaluan kiri yang bergabung dengan blok Greens/EFA memenangi 3 kerusi. Di Portugal, Blok Kiri (BE) dan Parti Komunis Portugal (PCP) masing-masing hanya memenangi 1 kerusi (kurang 1 kerusi berbanding tahun 2019). Di Republik Czech, gabungan politik berhaluan kiri Stačilo! yang diterajui oleh Parti Komunis Bohemia dan Moravia (KSCM) memenangi 1 kerusi. Di Cyprus, Parti Progresif Rakyat Pekerja (AKEL) memenangi 1 kerusi (kurang 1 kerusi berbanding tahun 2019).

Krisis di Eropah akan berterusan

Keputusan akhir bagi Pilihan Raya Parlimen Eropah akan disahkan dalam tempoh beberapa hari lagi, diikuti dengan perundingan antara blok-blok politik yang berbeza untuk mendapatkan sokongan parlimen bagi menentukan pemegang jawatan penting dalam Suruhanjaya Eropah dan Majlis Eropah. Dengan parti-parti tradisional yang semakin dilemahkan di bawah bayangan perluasan pengaruh politik pelampau kanan masih menguasai majoriti dalam Parlimen Eropah, adalah dijangkakan bahawa dasar EU masih akan berada di landasan yang sama, iaitu terus memberi tekanan kepada isu keselamatan negara, pengurangan perbelanjaan sosial dan sekatan terhadap migrasi. Pelbagai krisis yang melanda benua Eropah akan berterusan. Golongan kiri masih berhadapan dengan cabaran hebat dalam membina semula kekuatan masyarakat yang progresif untuk menangkis serangan elit pemerintah yang hendak mengekalkan struktur ekonomi kapitalis yang menekan rakyat dan ancaman politik pelampau kanan yang memecah-belahkan masyarakat dengan lebih lanjut lagi.

2 thoughts on “Pilihan Raya Parlimen Eropah 2024: Ancaman pelampau kanan lebih ketara lagi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *