(foto: Borneo Komrad)

oleh Sivarajan A.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat terkejut dengan perobohan rumah-rumah pinggir laut komuniti Bajau Laut di Semporna, Sabah, yang tertular dalam media sosial baru-baru ini.

Komuniti Bajau Laut bukanlah pendatang tanpa izin, sebaliknya mereka merupakan penduduk asal di kawasan tersebut yang hidup di laut sebelum wujudnya sempadan negara moden yang diamalkan kini.

Komuniti Bajau Pantai Timur Sabah telah wujud di kawasan Laut Sulu, dan Laut Sulawesi bersempadanan dengan Filipina, Indonesia dan Malaysia sebagai nomad laut atau “sea gypsies” sejak sebelum abad ke-18.  Oleh kerana mereka menjadikan perahu itu sebagai kediaman mereka, mereka sering bermigrasi di kawasan perairan tersebut.

Adakah patut mereka dihukum kerana konsep negara dan kerajaan yang kita warisi daripada penjajah itu tidak secocok dengan gaya hidup unik mereka? Oleh kerana konsep sempadan negara moden kini, mereka dianggap sebagai golongan tiada kewarganegaraan (“stateless”) dan penceroboh! Siapa sebenarnya menceroboh?!

Seorang aktivis masyarakat yang telah lama mengkaji dan bersama komuniti ini mengulas bahawa “Bajau Laut tidak menceroboh sempadan negara tapi negara yang telah menceroboh kehidupan mereka.

Jadi, apakah rasionalnya merobohkan rumah-rumah mereka? Di manakah keperikemanusian kita? Pengusiran paksa terhadap sesebuah komuniti asal berstatus peneroka haruslah dihentikan segera.

Pada ketika kerajaan gagal untuk memastikan bahawa komuniti ini disediakan dengan kemudahan asas seperti pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan perumahan dengan berkesan, di mana wujudnya hak kita untuk merobohkan rumah mereka dan menghancurkan kehidupan mereka?

PSM mendesak agar Kerajaan Negeri Sabah segera menghentikan operasi yang menyasarkan komuniti Bajau Laut yang tinggal di tujuh buah pulau di Semporna, dan sebaliknya mengiktiraf kewujudan mereka sebagai orang asal Nusantara yang harus dipelihara dan disediakan segala kemudahan asas yang sepatutnya.

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *