Belgium telah mengadakan Pilihan Raya Persekutuan dan Pilihan Raya Wilayah serentak dengan Pilihan Raya Parlimen Eropah 2024. Pilihan Raya Persekutuan Belgium yang diadakan pada 9 Jun 2024 bertujuan untuk memilih 150 orang ahli parlimen dalam Dewan Perwakilan Belgium, sementara Pilihan Raya Wilayah adalah untuk memilih 124 orang perwakilan dalam Parlimen Flanders, 75 orang perwakilan dalam Parlimen Wallonia, 89 orang perwakilan dalam Parlimen Brussels dan 25 orang perwakilan dalam Parlimen Komuniti Berbahasa Jerman.

Seperti yang dijangkakan dan trend yang dapat diperhatikan di banyak negara dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah, parti-parti berhaluan kanan di Belgium juga mendapat kemenangan daripada kekalahan parti-parti liberal dan parti-parti hijau di dalam sebuah negara yang dipecah-belahkan oleh politik bahasa serta nasionalisme sempit.

Alexander De Croo, Perdana Menteri Belgium daripada “Liberal dan Demokrat Flanders Terbuka” (Open Vld) yang memimpin sebuah kerajaan campuran 7-parti sebelum pilihan raya ini, mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri yang berkuatkuasa pada 10 Jun 2024, tetapi akan menjadi Perdana Menteri penjaga sehingga kerajaan campuran baharu dibentuk. Perikatan Flanders Baru (N-VA), sebuah parti berhaluan kanan yang berfahaman nasionalis Flanders, konservatif, Euroskeptik dan anti-imigran, walaupun hanya memenangi 24 daripada 150 kerusi Parlimen Belgium (kurang satu kerusi berbanding tahun 2019) dengan undian 16.71%, telah mengisytihar kemenangan dan akan cuba membentuk kerajaan campuran baharu dengan parti-parti lain.

Vlaams Belang (VB), sebuah parti pelampau kanan yang juga mengangkat fahaman nasionalis Flanders, menjadi parti kedua besar dalam Parlimen Belgium, dengan meraih undian 13.77% dan memenangi 20 kerusi, bertambah 2 kerusi berbanding tahun 2019. Kedua-dua N-VA dan VB, yang berada di kedudukan teratas penguasaan kerusi Parlimen Belgium sekarang ini, berpegang pada fahaman nasionalis Flanders yang hendak memisahkan wilayah Flanders yang dihuni oleh majoriti penduduk yang berbahasa Belanda Flanders (Flemish) daripada Belgium. Kedua-dua parti ini tidak berada dalam kerajaan campuran 7-parti sebelum ini. Dengan jumlah kerusi yang dikuasai oleh N-VA dan VB tidak sampai 1/3, maka mereka perlukan sokongan daripada parti-parti lain, termasuk parti-parti di wilayah Wallonia yang berbahasa Perancis, untuk membentuk sebuah kerajaan campuran yang cukup stabil supaya dapat terus memerintah.  

Politik di Belgium amat berpecah mengikut komuniti bahasa: komuniti berbahasa Belanda Flanders, komuniti berbahasa Perancis dan komuniti berbahasa Jerman. Parti daripada semua aliran kecuali Parti Pekerja Belgium (PTB-PVDA) yang berhaluan kiri, hanya bertapak dan berkhidmat untuk komuniti bahasa sendiri sahaja. Misalnya, parti kiri-tengah yang berfahaman demokrat sosial berpecah kepada dua parti yang berbeza sejak tahun 1978, iaitu Vooruit untuk komuniti berbahasa Belanda dan Parti Sosialis (PS) untuk komuniti berbahasa Perancis; bagi golongan liberal, adanya Open Vld dalam kalangan komuniti berbahasa Belanda dan “Gerakan Reformis” (MR) dalam kalangan komuniti berbahasa Perancis.

Dalam suasana politik yang agak suram di Eropah dan Belgium, Parti Pekerja Belgium (PTB-PVDA), sebuah parti berhaluan kiri dan satu-satunya parti politik di Belgium yang bergerak dalam kedua-dua komuniti bahasa Belanda dan Perancis, mampu melawan arus dengan meraih lebih banyak undi dan memenangi lebih banyak kerusi!

PTB-PVDA meraih sebanyak 688,369 undi (bersamaan 9.85% undian) dan memenangi 15 kerusi Parlimen Persekutuan Belgium. Undian yang diperolehi PTB-PVDA telah meningkat sebanyak 1.23 titik peratusan berbanding tahun 2019, dengan pertambahan undi melebihi 100,000. Kerusi yang dimenangi PTB-PVDA juga bertambah sebanyak 3 kerusi. Walaupun pencapaian ini tidak seperti yang diramalkan dalam tinjauan pendapat sebelum pilihan raya yang menjangkakan kemenangan sehingga 20 kerusi, ia masih merupakan satu kemenangan yang penting bagi sebuah parti berhaluan kiri yang memperjuangkan nasib kelas pekerja. PTB-PVDA sekarang ini merupakan parti keempat besar dalam Parlimen Persekutuan Belgium.

Dalam Pilihan Raya Wilayah, prestasi PTB-PVDA juga agak memberangsangkan. PTB-PVDA memenangi 9 kerusi (bertambah 5 kerusi berbanding tahun 2019) dalam Parlimen Flanders dengan meraih 364,070 undi (bersamaan 8.31% undian, meningkat 2.99 titik peratusan berbanding tahun 2019). Bagi Parlimen Wallonia, prestasi PTB-PVDA merosot sedikit apabila memenangi 8 kerusi (kurang 2 kerusi berbanding tahun 2019) dengan meraih 250,146 undi (bersamaan 12.10%, menurun 1.58 titik peratusan berbanding tahun 2019). Dalam Parlimen Brussels pula, PTB-PVDA memenangi 16 kerusi (bertambah 5 kerusi berbanding tahun 2019, dengan 15 kerusi daripada kumpulan berbahasa Perancis dan 1 kerusi daripada kumpulan berbahasa Belanda), dengan meraih 81,542 undi daripada kumpulan berbahasa Perancis (bersamaan 20.92%, meningkat 7.45 titik peratusan) dan 5,619 undi daripada kumpulan berbahasa Belanda (bersamaan 6.99%, meningkat 2.72 titik peratusan).

Selain itu, PTB-PVDA juga menambahkan 1 kerusi dalam Parlimen Eropah kepada 2 kerusi selepas meraih sebanyak 763,340 undi (bersamaan 10.7% undian, meningkat sebanyak 2.3 titik peratusan berbanding tahun 2019) dalam Pilihan Raya Parlimen Eropah di Belgium.

Raoul Hedebouw (kiri) dan Peter Mertens (kanan).

Dari “parti nyamuk” ke pemain politik utama di Belgium

Pencapaian Parti Pekerja Belgium (PTB-PVDA) dalam pilihan raya pelbagai peringkat di Belgium kali ini bukannya sesuatu keajaiban yang muncul secara tiba-tiba, sebaliknya merupakan usaha gerak kerja akar umbi dan perjuangan masyarakat yang penuh kegigihan serta konsisten di samping kebolehan untuk mengubahsuai strategi organisasi mengikut zaman.

Parti Pekerja Belgium boleh dijejaki asal usulnya kembali kepada zaman radikalisasi anak muda dalam gelombang kebangkitan gerakan pelajar pada tahun 1960-an yang dipengaruhi oleh semangat melawan penindasan kolonial dan memperjuangkan nasib kelas pekerja. Parti Pekerja Belgium ditubuhkan pada tahun 1979 dengan mengamalkan program politik Maois pada asalnya.

Pada awalnya, Parti Pekerja Belgium hanya merupakan sebuah parti yang kecil dan tiada pengaruh dalam politik arus perdana negara Belgium. Parti Pekerja Belgium mula mengambil bahagian dalam pilihan raya sejak tahun 1980-an, tetapi undian yang diperolehinya tidak pernah melebihi 1% sehingga tahun 2010-an. Apabila Parti Pekerja Belgium hanya meraih 20,825 undi (bersamaan 0.2% undian) dalam Pilihan Raya Parlimen Belgium pada tahun 2003 (ia memperoleh 30,930 undi pada tahun 1999), tiada sesiapa termasuk anggotanya melihat satu masa hadapan yang cerah bagi parti berhaluan kiri ini. Pada masa itu, golongan Marxis di Belgium semakin jauh daripada pengalaman kehidupan harian rakyat dan Parti Pekerja Belgium hanya mempunyai belasan cawangan yang masih aktif dengan keahlian yang semakin tua usia mereka. Dalam keadaan yang begitu teruk itu, atas desakan daripada ahli-ahlinya, Parti Pekerja Belgium mengambil keputusan untuk memperbaharui organisasinya dengan membuang pendekatan dogmatik yang berputus daripada realiti kehidupan masyarakat.

Dalam Kongres yang diadakan pada tahun 2008, Peter Mertens dipilih sebagai Presiden Parti Pekerja Belgium untuk menerajui usaha pembaharuan yang memfokus pada tiga perkara penting: menjadikan Parti Pekerja sebuah parti yang berprinsip, menjadi sebuah parti yang fleksibel dan menjadi sebuah parti kelas pekerja. Antara tindakan yang dilakukan dalam pembaharuan organisasi, Parti Pekerja Belgium telah menggerakkan pelbagai kempen yang berkisar pada isu rakyat yang asas, seperti kesihatan, pencen dan sebagainya, untuk menyantuni masyarakat umum di samping menjalin hubungan kerjasama dengan kesatuan-kesatuan pekerja dan organisasi-organisasi masyarakat. Parti Pekerja Belgium tidak mengambil pendekatan dogmatik yang enggan bekerjasama dengan mana-mana organisasi yang dianggap “tidak cukup kiri”, sebaliknya bersedia bekerjasama dengan sesiapa dalam apa-apa isu sosial bersama.

Organisasi Parti Pekerja Belgium berkembang dengan pesatnya dalam tempoh 20 tahun yang lalu, dengan cawangan baharu ditubuhkan di seluruh negara Belgium melalui pelbagai percubaan dan kesilapan.

Parti Pekerja Belgium hanya mempunyai 800 orang ahli pada tahun 2003. Hasil daripada usaha pembaharuan organisasi, keahliannya meningkat kepada 2,800 orang pada tahun 2008, 8,500 orang pada tahun 2015, dan 25,000 orang pada tahun 2024.  Namun, Parti Pekerja Belgium tidak mahu ahli-ahlinya hanya menjadi sekadar pengikut politik yang pasif, sebaliknya sebagai seorang warganegara aktif yang peka pada permasalahan masyarakat. “Kami ialah sebuah parti akar umbi,” kata Peter Mertens, Setiausaha Nasional Parti Pekerja yang pernah menjadi Presiden Parti dari tahun 2008 hingga 2021 dan sekarang merupakan Ahli Parlimen bagi kawasan Antwerp. “Kami lebih daripada segelintir pegawai yang dipilih. Kami tidak memberitahu rakyat bahawa kami akan menyelesaikan masalah untuk mereka. Kami tidak mahu politik klien gaya PS (Parti Sosialis di Belgium yang bersifat reformis). Ideal kami ialah: bangun, bangkit dan lawan untuk hak anda.”

Parti Pekerja Belgium melaburkan banyak sumber dalam penyelidikan dasar dan komunikasi yang menepati sasarannya. Parti Pekerja Belgium mengambil inspirasi daripada tulisan Antonio Gramsci, seorang revolusioner komunis dari Itali, yang menganggap bahasa sebagai unsur penting dalam perjuangan untuk hegemoni budaya. Oleh itu, Parti Pekerja Belgium membuang cara membuat poster pilihan raya yang nampak seperti seluruh bab dalam buku teks Marxis, beralih kepada pendekatan berkomunikasi secara tajam, halus dan tepat pada sasaran. “Kami mahu mengadakan wacana berasaskan analisis kelas, tetapi disesuaikan mengikut situasi hari ini,”ulas Charlie Le Paige, seorang aktivis Parti Pekerja Belgium yang pernah menjadi Pengerusi Comac, sayap anak muda Parti Pekerja Belgium.

Parti Pekerja Belgium merupakan satu-satunya parti politik yang masih bersatu merentasi komuniti bahasa yang berbeza di negara itu. Parti Pekerja Belgium berkempen secara aktif untuk menentang pemecahan negara Belgium oleh golongan nasionalis Flanders yang berhaluan kanan. Ia mencabar pemecahan masyarakat Belgium mengikut bahasa yang sudah lama digunakan oleh golongan elit pemerintah untuk melemahkan gerakan pekerja di Belgium, mengalihkan perhatian rakyat daripada rancangan kapitalis untuk menswastakan serta memusnahkan sistem perlindungan sosial di negara itu.

Pendekatan Parti Pekerja Belgium yang berpegang teguh pada prinsip politik Marxis di samping memperbaharui gerak kerja dengan lebih mendekati masalah akar umbi telah membolehkannya meraih undi yang banyak dalam pilihan raya. Parti Pekerja Belgium hanya mempunyai 5 orang ahli perwakilan di majlis tempatan pada tahun 2003, dan tiada perwakilan dalam Parlimen Persekutuan dan Wilayah sehingga tahun 2014. Pada tahun 2014, Parti Pekerja Belgium memenangi 2 kerusi Parlimen yang pertamanya dengan meraih sebanyak 251,289 undi (bersamaan 3.7% undian), peningkatan undi sebanyak lebih 150,000 berbanding tahun 2010 (meningkat 2.1 titik peratusan). Pada tahun 2019, undi yang diperoleh Parti Pekerja Belgium berlipat ganda lagi kepada 584,458 (bersamaan 8.6% undian) dengan peningkatan sebanyak 4.9 titik peratusan, dan memenangi 12 kerusi, satu lonjakan yang hebat dalam politik pilihan raya. Dalam Pilihan Raya Persekutuan Belgium 2024, Parti Pekerja Belgium mencatatkan keputusan terbaiknya setakat ini dengan meraih hampir 10% undian dan meningkatkan kerusinya dalam Parlimen Belgium kepada 15.

Parti Pekerja Belgium mengamalkan dasar di mana semua wakil rakyat yang dipilih hanya menerima gaji pekerja mahir atau gaji yang sama dengan pendapatan mereka sebelum menjadi wakil rakyat. Dasar sebegini diamalkan kerana Parti Pekerja Belgium berpendirian bahawa sesiapa yang bertanding dalam pilihan raya tidak harus menjadi kaya melalui posisi mereka atau menikmati taraf hidup yang jauh lebih tinggi berbanding rakyat biasa. “Jika anda tidak hidup mengikut cara yang anda fikirkan, maka anda akan mula berfikir mengikut cara anda hidup,” ulas Raoul Hedebouw, Presiden Parti Pekerja Belgium.

Sudah pasti Parti Pekerja Belgium akan terus memainkan peranan penting dalam membentuk semula politik di negara Belgium di bawah bayangan ancaman politik pelampau kanan, untuk mencabar sistem kapitalis dan membina alternatif baharu yang bersifat pembebasan.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *