oleh S. Arutchelvan

Saya telah menonton siaran langsung ucapan Anwar Ibrahim semalam. Kami di PSM secara semangatnya mengalu-alukan langkah kerajaan mengenai subsidi minyak dan satu-satunya perkara yang kami ambil berat sebelum ini adalah kerajaan harus menunjukkan bagaimana wang itu digunakan untuk menolong golongan B40 dan M40. Apa yang mengecewakan adalah, walaupun Perdana Menteri menggah-gahkan tentang peningkatan gaji penjawat awam, beliau sekali lagi enggan bercakap tentang gaji minimum dan menunjukkan seolah-olah ia adalah semata-mata inisiatif sektor swasta untuk meningkatkan gaji, sedangkan pada hakikatnya adalah peranan kerajaannya dan kabinetnya untuk menyemak semula dan mengumumkan gaji minimum.

Dalam ucapannya, Anwar bercakap tentang keseriusan kerajaannya dalam dasar gaji progresif untuk sektor swasta. Namun, berdasarkan dokumen-dokumen kerajaan, dasar tersebut adalah bersifat sukarela, terhad dalam skop dan hanya merupakan sebuah projek perintis buat masa ini.

Begitu juga semasa ucapannya dalam sambutan Hari Pekerja 1 Mei yang ditaja oleh kerajaan dan dihadiri oleh kira-kira 3,000 orang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang besar lagi berhawa dingin, pengumuman yang paling penting daripada Perdana Menteri pada masa itu ialah pengumuman bahawa penjawat awam akan menikmati peningkatan gaji lebih 13% bermula bulan Disember tahun ini, antara kenaikan gaji penjawat awam yang tertinggi dalam sejarah negara kita.

Beliau juga berkata bahawa kerajaan akan memastikan pendapatan minimum bagi penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan. Pengumuman susulan yang dibuatnya adalah beliau berharap bahawa syarikat-syarikat swasta akan mencontohi inisiatif kerajaan dalam meningkatkan gaji penjawat awam.

Walaupun Anwar Ibrahim menekankan keperluan untuk sektor swasta meningkatkan gaji, beliau terlupa bahawa peningkatan gaji minimum merupakan keputusan kabinet dan kuasa itu berada dalam tangannya. Majikan tidak pernah meningkatkan gaji untuk pekerja-pekerja yang berpendapatan terendah melainkan adanya undang-undang yang memaksa mereka untuk berbuat demikian. Ini juga benar untuk ratusan ribu orang pekerja kontrak yang bekerja di premis-premis kerajaan, di sekolah, hospital dan tempat lain, yang dibayar gaji melalui proses tender kerajaan di mana syarikat-syarikat kontraktor dilantik oleh kerajaan.

Dalam majlis yang sama, Menteri Sumber Manusia Steven Sim juga dalam ucapannya yang sangat fasih dan penuh bahasa indah, hanya menyebut sebaris ayat bahawa gaji minimum akan disemak semula pada tahun ini. Beliau kemudiannya bercakap tentang dasar gaji progresif yang diperkenalkan oleh Menteri Ekonomi yang secara realitinya hanya sebuah projek perintis dengan skop yang terhad.

Dalam ucapan Hari Pekerja pada tahun lepas 2023, Anwar berkata bahawa kerajaannya akan mengutamakan gaji pekerja di negara ini supaya ia dapat ditingkatkan. “Saya tidak mahu majikan, ahli ekonomi dan menteri mempertikaikan (gaji pekerja). Tanggungjawab kami adalah untuk meningkatkan gaji bagi pekerja-pekerja swasta dan awam,” beliau juga menyebut tentang gaji minimum, bahawa ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada bulan akan datang, iaitu bulan Jun 2023 pada masa itu.

Seluruh persoalan yang timbul dalam minda saya adalah kenapa kerajaan tidak mengumumkan gaji minimum baharu memandangkan tarikh bagi pelaksanaan kadar gaji minimum baharu secara teknikalnya ialah 1 Mei 2024 kerana tempoh 2 tahun peningkatan gaji minimum pada tahun 2022 yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri pada masa itu Ismail Sabri Yaakob secara teknikalnya tamat pada 30 April 2024.

Semasa kerajaan dan kepimpinan kesatuan sekerja menyambut Hari Pekerja dalam sebuah majlis pesta, sebagai perbandingan, kira-kira 1,500 orang pekerja dan aktivis daripada pelbagai latar belakang mengadakan sebuah aksi perarakan di jalanan Kuala Lumpur di bawah terik matahari untuk mengemukakan banyak tuntutan termasuk gaji sara hidup sebanyak RM2,000 sebulan.

Di kebanyakan negara, kesatuan-kesatuan sekerja akan turun ke jalanan setiap Hari Pekerja untuk mengemukakan tuntutan mereka kerana ia merupakan sebahagian daripada tradisi sambutan Hari Pekerja dan sambutan 1 Mei itu sendiri muncul selepas banyak perjuangan serta pengorbanan. Di Malaysia, terdapatnya juga satu perjuangan besar untuk mendapatkan pengisytiharan 1 Mei sebagai cuti umum. Pada hari ini, kebanyakan kesatuan sekerja dengan kadar keanggotaan kesatuan pada hari ini hanya 6% daripada seluruh tenaga kerja nampaknya tidak teruja untuk menganjurkan aksi perhimpunan pada Hari Pekerja atau mengambil mudah terhadap hari tersebut.

PSM sebelum ini pernah berkata bahawa berdasarkan formula kiraan gaji minimum yang digunakan oleh kerajaan, kadar gaji minimum untuk kawasan luar bandar di Malaysia sepatutnya ialah RM1,884 dan kawasan bandar sepatutnya RM2,568, dan secara puratanya gaji minimum kebangsaan sepatutnya RM2,444. Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengatakan bahawa kadar gaji minimum sepatutnya RM2,102 sebulan, di mana Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata bahawa kerajaan akan mengkajinya secara menyeluruh.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, adalah dilaporkan bahawa bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Zainal Rahim Seman telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara bagi tempoh 1 Mei 2024 hingga 30 September 2026, dan dalam laporan yang sama adalah dinyatakan bahawa Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara telah selesai menjalankan kajian semula Perintah Gaji Minimum 2022, di mana ia akan dibincang dan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Perundingan Gaji Negara yang akan datang.

Ini merupakan sesuatu yang merunsingkan kerana tidak sama seperti tahun-tahun sebelum ini, kami tidak menyedari perkara ini kerana tiada seorang pun daripada kami dipanggil untuk rundingan ataupun melainkan rundingan ini dilakukan dengan sangat sedikit orang yang terpilih.

Walau apa yang dikatakan dan dilakukan, Perdana Menteri telah menyatakan dengan peningkatan kadar gaji minimum bagi penjawat awam melebihi RM2,000 maka sebarang gaji minimum yang berada di bawah paras RM2,000 adalah sesuatu yang melampau. Walaupun kita faham bahawa peningkatan gaji penjawat awam merupakan perkara yang betul untuk memastikan sokongan politik yang diperlukan oleh kerajaan daripada penjawat awam, tetapi dalam keadaan yang sama, lobi daripada pihak majikan akan memastikan gaji pekerja dikekalkan rendah. Sudah tiba masanya untuk kerajaan Madani memadankan retoriknya dengan pelaksanaannya.

Kerajaan nampaknya senyap sahaja dan bersikap dingin terhadap gaji minimum, sementara perbincangan mengenainya nampaknya agak kelam-kabut.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *