oleh Biro Antarabangsa Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat terkejut dengan penyertaan beberapa buah syarikat pembekal peralatan ketenteraan yang membekalkan senjata kepada rejim Zionis Israel dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia yang sedang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur, dari 6 hingga 9 Mei 2024.

Adalah tidak boleh diterima sama sekali apabila terdapat beberapa buah syarikat yang membekalkan peralatan ketenteraan dan senjata kepada rejim Zionis Israel yang sedang melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin turut serta dalam pameran antarabangsa berkaitan keselamatan yang dianjurkan oleh Defense Service Asia (DSA) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan Malaysia ini. Menurut maklumat yang didedahkan oleh Gegar Amerika, sebuah inisiatif rakyat Malaysia yang ditubuhkan untuk menentang kekejaman imperialis Amerika Syarikat (AS) dan campur tangan AS di Selatan Global, syarikat-syarikat yang menyertai pameran ini termasuk Lockheed MartinMBDA (BAE Systems)Aim PointColtL3Harris, LeupoldShield Al, dan Leonardo, di mana semuanya merupakan pembekal senjata kepada rejim Zionis Israel. Malah, Lockheed Martin dan MBDA (BAE Systems) yang membolehkan rejim Zionis Israel terus membunuh rakyat Palestin turut menjadi “penyumbang platinum” kepada pameran ini.

Adalah menjadi hipokrasi buat Kerajaan Malaysia yang sentiasa lantang menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin dan membantah kekejaman rejim Zionis Israel tetapi membenarkan syarikat-syarikat pembuat senjata yang membolehkan pembunuhan terhadap rakyat Palestin ini masuk ke Malaysia untuk mempamerkan produk persenjataan mereka dengan bangganya, malah bersedia untuk terus berurusan dengan mereka.

Syarikat-syarikat yang membekalkan peralatan dan senjata kepada rejim Zionis Israel telah mengaut keuntungan lumayan daripada kematian dan penderitaan rakyat Palestin yang berlarutan lebih tiga suku abad. Berurusan dengan syarikat-syarikat sebegini akan terus membolehkan rejim Zionis Israel menzalimi rakyat Palestin.

PSM bersama-sama dengan masyarakat madani yang bersolidariti dengan Palestin menuntut supaya:

  1. Penganjur pameran DSA 2024 dan NATSEC 2024 menggugurkan serta-merta semua syarikat dan organisasi yang jelas membekalkan senjata kepada rejim Zionis Israel yang sedang melakukan jenayah genosid di Palestin.
  2. Kerajaan Malaysia harus berpendirian tegas dalam isu Palestin dengan langsung tidak berurusan dengan mana-mana syarikat atau organisasi yang membolehkan rejim Zionis Israel terus melakukan jenayah genosid terhadap Palestin, termasuk membenarkan syarikat-syarikat atau organisasi-organisasi sedemikian menyertai program anjuran Kerajaan Malaysia.

Bersolidariti bersama Palestin tidak patutnya hanya sekadar retorik kosong, tetapi perlukan tindakan konkrit, yang sekurang-kurangnya berhenti berurusan dengan mana-mana pihak yang mengaut keuntungan daripada jenayah genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *