oleh Choo Chon Kai

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam tindakan polis yang melancarkan penyiasatan terhadap aktivis-aktivis yang berprotes di luar tempat pameran Defence Service Asia Exhibition (DSA) dan National Security Exhibition (NATSEC) Asia 2024. 

5 orang aktivis daripada Gegar Amerika telah dipanggil oleh pihak polis untuk diambil keterangan percakapan berkenaan sebuah siasatan yang dilakukan terhadap aksi protes di luar tempat pameran DSA 2024 dan NATSEC 2024 di Kuala Lumpur pada 6-9 Mei 2024. Protes tersebut diadakan untuk menyatakan bantahan terhadap penyertaan syarikat-syarikat pembuat senjata, yang membekalkan persenjataan kepada rejim Zionis Israel untuk melakukan genosid terhadap rakyat Palestin, dalam pameran itu. Adalah menjadi hipokrit bagi kerajaan Malaysia, yang sentiasa menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin dan membantah kezaliman rejim Zionis Israel, untuk membenarkan pembuat senjata yang membolehkan pembunuhan beramai-ramai Palestin itu mempamerkan produk persenjataan mereka di Malaysia. 

Penyiasatan yang dilakukan terhadap aktivis-aktivis Gegar Amerika ini merupakan satu lagi pembaziran masa, sumber dan tenaga pasukan polis, yang mempunyai tugas-tugas penting yang lain. Ia juga merupakan intimidasi terhadap kumpulan masyarakat madani yang menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin.

Kami menyeru pada pihak polis untuk menghentikan intimidasi terhadap aktivis-aktivis yang bersolidariti bersama Palestin. Kami juga menggesa kerajaan Malaysia untuk mengambil pendirian yang lebih tegas dalam bersolidariti bersama rakyat Palesin dalam menentang perang genosid Zionis dengan memutuskan segala hubungan kerjasama secara langsung dan tidak langsung dengan syarikat-syarikat korporat yang bersubahat dalam genosid terhadap rakyat Palestin.

5 orang aktivis Gegar Amerika telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 21 Mei 2024 untuk diambil keterangan oleh pihak polis bagi satu siasatan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

==========

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Biro Antarabangsa PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *