Kenyataan media oleh Sekretariat Solidariti Palestin (SSP)

Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) mengambil maklum berita berkaitan penganjuran Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 yang dijadual berlangsung pada 6-9 Mei 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Pameran antarabangsa berkaitan keselamatan ini dianjurkan oleh Defense Service Asia (DSA), dengan kerjasama Kementerian Pertahanan Malaysia yang melibatkan 1,324 syarikat pempamer dari 60 buah negara yang akan mempamerkan aset-aset ketenteraan dan keselamatan terkini, dengan beberapa MoU dijangka akan ditandatangani melibatkan jumlah yang besar.

Namun yang mengecewakan adalah, apabila terdapat beberapa syarikat yang menjadi penyumbang senjata kepada rejim Zionis yang melakukan genosid dan pembunuhan kejam ke atas rakyat Palestin akan turut hadir, malah turut menjadi penyumbang kepada pameran ini.

Antara yang turut hadir termasuklah Lockheed Martin, MBDA (BAE Systems), Aim Point, ColtL3Harris, Leupold, Shield Al, dan Leonardo seperti yang didedahkan gerakan Gegar AmerikaLockheed Martin dan MBDA (BAE Systems) juga merupakan penyumbang platinum kepada pameran ini.

Lockheed Martin adalah pembuat pesawat tempur F-16 dan F-35 yang digunakan untuk mengebom Gaza dan pesawat C-130 Hercules yang digunakan untuk menyokong serangan darat ke atas Gaza. Mereka turut membekalkan peluru berpandu seperti AGM-114 Hellfire dan Hellfire R9X yang digunakan Israel untuk mengebom Hospital Al-Shifa. Roket M270 MLRS turut digunakan oleh Israel yang dibuat oleh syarikat ini. Syarikat lain juga, seperti BAE terlibat dalam pembangunan komponen pesawat tempur milik Israel yang digunakan ke atas Gaza seperti F-15, F-16 dan F-35. Leonardo membangunkan Oto Melara 76/72 Super Rapid 76mm yang digunakan kapal tempur Israel. Aimpoint AB membekalkan antara kelengkapan termasuk Aimpoint Red Dot Sight, Colt membekal persenjataan termasuk M16, SHIELD AI membekal dron, Leupold & Stevens membekal peralatan ketenteraan termasuk skop dan teropong, serta bermacam lagi yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat ini.

Bagaimana Malaysia, sebagai sebuah negara yang lantang, dan bersetiakawan bersama Palestin, boleh membenarkan syarikat-syarikat ini masuk dan dengan bangga menayangkan produk persenjataan mereka yang mana mereka inilah yang membekalkan kelengkapan melakukan genosida, khususnya apabila genosid masih sedang berlangsung sehingga ke hari ini?

Seluruh dunia sedang melakukan perlawanan dan aksi solidariti Palestin dan Lockheed Martin serta yang lain adalah sasaran kepada aksi boikot, lupus dan sekat bagi melumpuhkan sokongan sama ada dari sudut ekonomi dan ketenteraan kepada Israel.

SSP dengan tegas menggesa agar:

  1. Penyumbang platinum kepada acara ini yang secara jelas menyumbang kepada genosid di Palestin digugurkan serta-merta.
  2. Kesemua syarikat dan organisasi yang terlibat dalam genosid di Palestin digugurkan serta-merta daripada acara ini.
  3. Kerajaan harus mengambil pendirian tegas tidak membenarkan syarikat-syarikat yang terlibat dengan genosid hadir di mana-mana program rasmi dan memberi penjelasan mengapa syarikat-syarikat ini masih dibenarkan hadir, khususnya apabila genosid masih dan sedang berlaku sekarang.

SSP turut menggesa kepada peserta acara ini, termasuk dari universiti Malaysia seperti UM, UPNM, UKM, UPM, USM dan UTM, untuk memboikot acara ini sekiranya syarikat dan organisasi-organisasi ini tetap tidak digugurkan.

Ini masanya bagi kerajaan untuk benar-benar membuktikan bahawa sokongan kepada Palestin bukan sekadar satu bentuk retorik.

BEBAS PALESTIN!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *