Protes besar-besaran tercetus di Argentina untuk menentang tindakan kerajaan baharu pimpinan Presiden Javier Milei yang sedang melancarkan serangan terhadap hak pekerja, perlindungan sosial dan kebajikan rakyat dalam usahanya melindungi kepentingan kapitalis. Mahkamah Argentina telah menggantungkan pakej “pembaharuan” ekonomi yang dilancarkan oleh Milei selepas kesatuan pekerja terbesar di negara itu memfailkan injunksi.
Puluhan ribu orang berdemonstrasi pada 27 Disember 2023 di Buenos Aires, ibu negara Argentina, untuk menyatakan bantahan terhadap dekri yang dikeluarkan oleh Presiden Javier Milei pada 20 Disember 2023 untuk melaksanakan dasar anti-rakyat yang drastik atas nama “penjimatan” dan “pembinaan semula ekonomi” negara itu. Antara dasar yang dikemukakan dalam dekri yang mengandungi 366 perkara itu termasuklah penyahkawalseliaan ekonomi Argentina, penswastaan syarikat-syarikat milik kerajaan, pengurangan dalam pampasan kepada pekerja yang diberhentikan kerja, kelonggaran untuk majikan membuang pekerja, pengharaman taktik protes yang mengganggu lalu lintas, larangan terhadap mogok pekerja, pemansuhan peraturan kawalan sewa, dan sebagainya. Kesatuan-kesatuan pekerja di Argentina juga membantah rancangan kerajaan Argentina untuk memberhentikan 7,000 orang pekerja sektor awam.
Javier Milei, seorang ahli politik yang berpegang pada fahaman politik libertarian kanan dan ultra-konservatif, telah menang dalam Pilihan Raya Presiden Argentina, dengan meraih sebanyak 55.65% undian dalam pengundian pusingan kedua yang diadakan pada 19 November 2023. Dalam kempennya, Milei berazam untuk mengurangkan perbelanjaan awam dan mendolarkan ekonomi Argentina. Sebagai jaguh mempertahankan kepentingan golongan kapitalis, Milei tidak membuang masa dan tidak teragak-agak dalam melaksanakan dasar serangan terhadap hak pekerja sejurus selepas dia mengangkat sumpah sebagai Presiden Argentina. Dekri yang dikeluarkan oleh Milei pada 20 Disember 2023 berhasrat untuk membawa perubahan yang ketara kepada undang-undang buruh di negara itu demi melindungi kepentingan golongan kapitalis dengan menghakis hak pekerja.
Kerajaan pimpinan Milei cuba menggunakan pelbagai cara untuk menyekat protes yang membantah “pembaharuan”nya, termasuk pengumuman “Protokol Ketenteraman Awam” oleh Patricia Bullrich selaku Menteri Keselamatan pada 14 Disember 2023, di mana ia memberi kuasa kepada polis dan pasukan keselamatan untuk mencampur tangan terhadap sebarang cubaan untuk menyekat mana-mana jalan raya, pengangkutan atau “pergerakan bebas”. Bullrich juga mengugut bahawa sesiapa yang merupakan penerima manfaat program sosial tidak akan menerima lagi bantuan sekiranya mereka mengambil bahagian dalam aksi protes dan sekatan jalan.
Walaupun menghadapi ancaman daripada pihak berkuasa, golongan pekerja telah menyahut seruan kesatuan-kesatuan sekerja utama di negara itu untuk turun berprotes. Kesatuan-kesatuan sekerja dan gerakan-gerakan rakyat yang terlibat dalam mobilisasi untuk protes termasuk Konfederasi Buruh Umum (CGT), Kesatuan Pusat Pekerja Argentina (CTA), Persatuan Pekerja Kerajaan (ATE), organisasi politik kiri Frente Patria Grande, dan sebagainya. CGT merancang untuk mengadakan aksi mogok seluruh negara pada 24 Januari 2024.
CGT telah memfailkan permohonan injunksi di mahkamah untuk menghentikan pelaksanaan dekri “pembaharuan” terhadap undang-undang buruh. Pada 3 Januari 2024, Mahkamah Rayuan Buruh Kebangsaan Argentina menggantungkan penguatkuasaan “pembaharuan” undang-undang buruh yang diperkenalkan dalam dekri oleh Presiden Milei buat sementara sehingga mahkamah memutuskan sama ada “pembaharuan” undang-undang buruh itu dibenarkan di bawah undang-undang Argentina tanpa kelulusan parlimen.
Golongan pekerja dapat bernafas lega buat sementara waktu dengan “pembaharuan” buruh yang regresif dan anti-pekerja itu disekat oleh mahkamah pada masa ini. Namun, perjuangan pekerja Argentina untuk menentang serangan hebat daripada kerajaan yang anti-pekerja baru bermula.
Kerajaan Milei telah menyatakan bahawa ia akan merayu tentang penggantungan pelaksanaan “pembaharuan”nya yang anti-pekerja itu.
Dekri daripada Presiden Argentina boleh dibatalkan dalam Kongres Kebangsaan Argentina sekiranya usul pembatalannya diluluskan oleh kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Senat, di mana parti pelampau kanan yang dipimpin oleh Milei tidak menguasai kerusi majoriti dalam kedua-dua dewan. Sidang khas Kongres sedang diadakan sehingga penghujung bulan 2024 untuk membahaskan rang undang-undang omnibus yang dibawa oleh kerajaan pimpinan Milei, di mana ramai pengkritik menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak mengikut perlembagaan.
One thought on “Argentina: Pekerja berprotes bantah dasar anti-rakyat”