KUALA LUMPUR – 5 JANUARI 2024: 15 orang aktivis sosial yang menyertai aksi “Kepung Demi Palestin” dipanggil oleh pihak polis untuk disoal siasat. Antaranya, 12 orang telah hadir untuk dirakam keterangan percakapan pada hari ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.

Mereka yang dipanggil untuk siasatan polis termasuk Tian Chua selaku Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin yang menganjurkan aksi “Kepung Demi Palestin”, Sivarajan Arumugam yang merupakan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Amir Hariri Abd Hadi selaku Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Sevan Doraisamy yang merupakan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM),  Syed Sheikh Al-Attas bin Syed Hassan yang merupakan Presiden Pertubuhan Kebajikan Rakyat Sejagat (SEJAGAT), Syed Sheikh bin Mustafa yang merupakan Setiausaha Agung SEJAGAT, aktivis veteran Hishamuddin Rais, peguam terkenal Ambiga Sreenevasan, dan sebagainya.

Pihak polis menyiasat aksi “Kepung Demi Palestin” di bawah Sekyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Aksi “Kepung Demi Palestin” telah diadakan pada 26 Disember hingga 31 Disember 2023 di kawasan berdekatan dengan Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, untuk menyatakan bantahan terhadap kezaliman rejim Zionis Israel di Gaza dan menyeru gencatan senjata segera di Gaza. Aksi yang dianjurkan oleh Sekretariat Solidariti Palestin ini mendapat sokongan daripada 48 buah organisasi, termasuk PSM, MUDA, Parti PEJUANG, Angkatan Muda Keadilan, Pemuda AMANAH, Pemuda PAS,  Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), BERSIH, SUARAM dan sebagainya. Peserta-peserta aksi ini telah berkhemah di tapak yang berdekatan dengan Kedutaan Besar AS selama 6 hari. Aktiviti-aktiviti seperti ceramah, persembahan muzik, pembacaan puisi dan sebagainya telah diadakan setiap malam sepanjang aksi protes ini. Piket jalanan juga diadakan dari semasa ke semasa sepanjang aksi protes ini.

“Apabila polis hadir setiap masa sepanjang aksi ini, apakah maklumat lain yang diperlukan mereka?” ulas Sivarajan Arumugam, Setiausaha Agung PSM, selepas diambil keterangan polis pada hari ini. “Saifuddin Nasution Ismail selaku Menteri Dalam Negeri harus mengubah SOP (tatacara pengendalian piawai) polis yang ketinggalan zaman ini.”  

“Penyiasatan ini memang membuang masa, apabila perhimpunan 6-hari ini diadakan secara aman sementara pihak polis hadir untuk memastikan keselamatan awam. Sehubungan dengan itu, menyiasat 15 orang penganjur dan penceramah membazirkan sumber polis yang terhad, apabila pegawai-pegawai yang dikerahkan dan masa yang dihabiskan boleh ditujukan kepada kes-kes jenayah yang sebenar,” kata Sevan Doraisamy, Pengarah Eksekutif SUARAM, dalam kenyataannya. “Lebih-lebih lagi, penyiasatan pasca perhimpunan, satu taktik lama yang digunakan oleh polis, juga merupakan tindakan yang mengintimidasi individu-individu dan menghalang mereka daripada menggunakan hak mereka secara sah yang mengekpresi diri mereka secara kolektif dan pada tahap yang lebih luas, penyertaan politik. Selagi amalan tanpa keganasan ditegakkan, hak untuk berhimpun secara aman adalah tidak terpisah, tidak kira sama ada notis pemberitahuan diberikan atau tidak.”

“Pemekaan sepenuh pasukan polis untuk benar-benar menegakkan dan melindungi hak asasi untuk perhimpunan aman sudah lama tertangguh, sejak Akta Perhimpunan Aman dikuatkuasakan 11 tahun dahulu,” tambah Sevan. “Dengan permulaan tahun 2024, juga tahun untuk Malaysia mengesahkan komitmen hak asasinya melalui Semakan Berkala Sejagat, sudah tiba masanya untuk polis juga mengesahkan komitmennya, melalui pengurangan penyiasatan pasca perhimpunan terhadap protes aman secara umumnya, dan meningkatkan kerjasama untuk memudahkan perhimpunan awam yang spontan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *