oleh Arveent Kathirtchelvan

Keputusan pihak pendakwaan untuk memohon supaya Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 tuduhan rasuah yang kini telah diberi oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menimbulkan pelbagai persoalan kepada Pemuda Sosialis. Pemuda Sosialis tidak faham bagaimana kes yang melibatkan pengubahan wang berjuta-juta ringgit ini boleh menemui pengakhiran begitu sahaja.

Dalam kes ini, prima facie telah dibuktikan wujud dan pembelaan telah dipanggil. Pada 24 Januari 2022, hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid untuk membela diri atas 12 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), 8 pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan untuk pengubahan wang haram yang membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi, selepas mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Apakah maknanya kini jika pihak pendakwa, iaitu Kerajaan Malaysia sendiri melalui Pejabat Peguam Negara, ingin bertanya kes ini hanya mendapat DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan / discharge not amounting to an acquittal)? Lebih-lebih lagi, apabila pertukaran ketua pasukan pendakwaan kes daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Raja Rozela dengan DPP Dusuki Mokthar pada pertengahan bicara pada 8 Ogos 2023, ia menimbulkan pertanyaan jika pihak pendakwaan ini benar-benar bertindak bebas atau dimanipulasi oleh kerajaan MADANI untuk melindungi Timbalan Perdana Menteri mereka.

Kejadian pada pagi ini jelas membuktikan bahawa, mana-mana pihak yang sedang melalui siasatan dan kes mahkamah tidak harus dibenarkan memegang jawatannya sebagai ahli kabinet kerana senantiasa akan wujud desakan untuk menggugurkan tuduhan terhadapnya.

Adakah jaminan yang diberikan beberapa kali oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa pihak kerajaan tidak akan masuk campur dalam hal mahkamah itu satu taktik politik semata-mata? Adakah laungan Reformasi kini disenyapkan oleh pemimpin agungnya untuk mempertahankan posisi politiknya semata-mata?

Pemuda Sosialis khuatir dan menuntut beberapa perkara seperti yang tertera berikut:

  1. Pihak pendakwaan menyambung kes terhadap Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi;
  2. Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi meletak jawatannya serta-merta bagi kelangsungan kes secara adil;
  3. Pasukan pendakwaan ditukar kepada pasukan lain untuk memastikan sebarang keberatsebelahan dihapuskan
  4. Satu penjelasan penuh diberikan oleh pihak Peguam Negara tentang mengapa DNAA tersebut dipohon.

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Ketua Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *