Seorang pekerja yang dibuang kerja atas alasan “lebihan pekerja” (redundancy) menang kesnya di Mahkamah Perusahaan Malaysia Kuala Lumpur apabila Mahkamah memutuskan bahawa pemberhentian kerjanya dilakukan tanpa alasan yang adil, dan pihak syarikat harus membayar kepada pekerja tersebut sebanyak RM63,600.

Keputusan ini dibuat pada 3 Julai 2023 oleh Augustine Anthony selaku Pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia mengenai kes pertikaian pemberhentian kerja tidak sah antara pekerja Aniza Binti Hussin dan majikannya Netrise Niaga (M) Sdn Bhd. Aniza diwakili oleh Sivaranjani Manickam, pengamal perhubungan perusahaan di bawah Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa (UNI-MLC) yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Biro Pekerja PSM.

Aniza mula bekerja dengan syarikat Netrise Niaga (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan perkhidmatan makanan, pada 15 Februari 2012 sebagai Eksekutif Sumber Manusia. Pekerjaannya dengan syarikat itu telah disahkan pada 14 Ogos 2012. Gaji terakhirnya sebelum diberhentikan kerja ialah RM2,100 dengan elaun khas RM550. Aniza telah bekerja dengan syarikat tersebut selama 9 tahun sebelum diberhentikan kerja.

Pada 11 Mac 2021, Aniza diberitahu oleh pihak syarikat bahawa syarikat itu mengalami masalah kewangan kerana pandemik COVID-19 dan dia akan diberhentikan kerja atas sebab syarikat itu perlu menyusun semula perniagaannya untuk mengurangkan kerugian. Pada 16 Mac 2021, Aniza menerima surat penamatan kerja dengan notis 2 bulan dan diberhentikan kerja pada 15 Mei 2021. Aniza mendakwa bahawa pemberhentian kerjanya dilakukan tanpa sebab dan alasan yang adil. Aniza juga menuduh bahawa pihak syarikat itu terlibat dalam amalan perburuhan yang tidak adil. Pada ketika Aniza menerima surat pemberhentian kerja daripada pihak syarikat, dia ialah seorang ibu mengandung dan pihak syarikat menyalahgunakan tempoh cuti bersalin ibu sebagai tempoh notis pemberhentian kerja.

Aniza telah menfailkan kesnya di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Kuala Lumpur di bawah Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 untuk memulihkan kerjanya kepada jawatan yang asal tanpa kehilangan gaji dan faedah-faedah lain. Oleh sebab tiadanya penyelesaian selepas rundingan damai, kes ini telah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan pada 2 Mac 2022 oleh Ketua Pengarah JPP menurut Seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Selepas beberapa kali sebutan, kes ini dibicarakan di Mahkamah Perusahaan pada 10 April 2023.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Perusahaan, Aniza sebagai pihak menuntut telah mengemukakan bukti bahawa dia telah menjalankan tugas-tugasnya dengan tekun, dan kerja yang dilakukannya masih wujud selepas dia diberhentikan walaupun pihak syarikat memberi alasan bahawa pemberhentiannya adalah kerana kerjanya tidak diperlukan lagi (redundant). Selain itu, pihak menuntut juga mengemukakan bukti bahawa walaupun pihak syarikat mengatakan wujudnya masalah kewangan, syarikat tersebut masih terus mengupah pekerja-pekerja baharu untuk bekerja di situ. Oleh itu, Mahkamah Perusahaan mendapati bahawa alasan syarikat untuk memberhentikan kerja Aniza kerana kerjanya tidak diperlukan lagi (redundant) adalah tidak tepat sama sekali.

Selepas meneliti segala bukti dan hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, Mahkamah Perusahaan memutuskan bahawa Aniza telah diberhentikan kerja tanpa sebab atau alasan yang adil. Pampasan yang diarahkan oleh Mahkamah Perusahaan ialah bayaran gaji ke belakang sebanyak 15 bulan (RM2,650 X 15 = RM39,750) dan wang pampasan sebagai ganti pemulihan kerja sebanyak 9 bulan (RM2,650 X 9 = RM23,850), menjadikan jumlahnya sebanyak RM63,600.

Sivaranjani Manickam yang mewakili Aniza dalam kes ini juga mengucapkan terima kasih kepada Kohila Yanasekaran, seorang lagi aktivis PSM, yang telah membantunya dalam penyediaan hujahan di Mahkamah Perusahaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *