oleh Pasukan PSM Meru

Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan bangganya mengumumkan Sivaranjani Manickam, umur 42 tahun, sebagai calon di kawasan DUN N42 Meru, bagi Pilihan Raya Negeri Selangor yang akan dijalankan pada 12 Ogos ini.

Dilahirkan di Klang dan sebahagian besar kehidupannya adalah di Pelabuhan Klang di mana beliau menetap bersama keluarga. Sivaranjani (juga dikenali sebagai Jani) merupakan seorang yang layak berkhidmat demi penduduk Meru. Beliau menangani isu-isu masyarakat menerusi PSM Cawangan Klang selama lebih 15 tahun. Ia termasuk kes dari kawasan Parlimen Kapar di mana beliau turut menjadi pengundi untuk kawasan Parlimen ini. Hal ini seterusnya mendorong beliau untuk bersama-sama menubuhkan sebuah Pusat Khidmat Masyarakat yang terletak kira-kira 10km dari bandar Meru – lokasi gerak kerja masyarakatnya pada setiap hujung minggu sejak dibuka bulan September lalu.

Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini berpengalaman luas sebagai aktivis sosial dan berkomitmen tinggi dalam memperjuangkan hak rakyat marhaen khususnya berkenaan hak pekerja dan pemerkasaan akar umbi. Jani bersungguh dalam memperjuangkan hak golongan miskin terutamanya suara pekerja kolar biru yang sering tidak didengari. Jani mampu bersuara daripada pengalamannya membantu ratusan daripada pekerja kolar biru ini dalam mendapatkan keadilan disebabkan penindasan hak atau tindakan diskriminasi terhadap mereka.

Dalam PSM, Sivaranjani menjadi Ahli Jawatankuasa Pusat dan Ketua Biro Pekerja sejak 2013. Kepimpinannya telah mengukir laluan untuk perubahan menyeluruh terutamanya pelaksanaan Akta Gaji Minimum pada 2013 dan Sistem Insurans Pekerjaan pada tahun 2018. Pada tahun 2017, beliau mengambil inisiatif untuk menubuhkan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan menjadi Penyelaras Nasionalnya, sekaligus mengukuhkan rangkaian kira-kira 300,000 orang pekerja di premis kerajaan. Mereka terdiri daripada golongan B40 yakni tukang bersih, tukang kebun dan pengawal keselamatan yang sering dipandang remeh dan diambil mudah. Jani berjaya menuntut semula faedah pekerjaan yang telah dirampas secara tersembunyi daripada mereka. Pencapaian ini diperoleh melalui kempen yang berterusan dengan penglibatan masyarakat tanpa kuasa, pemupukan dialog yang membina dengan semua pihak berkepentingan serta penganjuran piket di premis sang penguasa yang disasarkan.

Kesungguhan Sivaranjani terhadap keadilan sosial melangkaui garis parti. Kepakaran profesionalnya dalam hak asasi manusia telah meletakkan beliau dalam jawatan penting dengan organisasi ternama seperti Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). Kini, beliau berkhidmat sebagai Pengurus Jangkauan Komuniti di Asylum Access – memperluaskan suara individu terpinggir dan memastikan hak mereka dilindungi.

Mahir dalam rangkaian rumit undang-undang buruh dan isu yang melibatkan rakyat marhaen, beliau turut berperanan sebagai Pegawai Perhubungan Perusahaan untuk para pekerja sejak tahun 2018. Sivaranjani telah mengenal pasti keperluan mendalam untuk mewakili kelas pekerja dan wanita. Khidmat panjangnya kepada kawasan sekeliling yang memdewasakannya dan latar belakang pekerjaan keluarganya sendiri – membentuk keyakinan Sivaranjani bahawa kuasa politik sebenar harus diamanahkan kepada rakyat supaya mereka boleh menentukan nasib mereka sendiri.

Sivaranjani menjelmakan semangat kemajuan sosial, keterangkuman dan integriti yang mentakrifkan definisi PSM. Komitmennya untuk memperjuangkan hak rakyat marhaen dan pengalaman luasnya sebagai aktivis pelajar, pendukung sosial serta suara lantang masyarakat telah membentuknya dalam mewakili rakyat.

Sivaranjani bersedia untuk mencetuskan perubahan positif dengan menggunakan pengalaman luasnya dalam mencapai pelbagai kemenangan kecil dan beberapa kemenangan besar untuk rakyat marhaen. Sifat empatinya juga mendalam terhadap golongan miskin dan turut berkomitmen teguh demi berkhidmat untuk rakyat. Pembawaan kempen beliau berasaskan pemerkasaan individu dan komuniti serta memperluaskan kesedaran mereka seterusnya mewujudkan masyarakat yang saksama.

One thought on “Sivaranjani mampu dukung suara rakyat Meru

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *