IPOH, PERAK – 10 JULAI 2023: Bekas pekerja ladang dari Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak, Sungai Siput (U), Perak, mengadakan aksi protes di hadapan Pejabat Menteri Besar Perak pada hari ini untuk menggesa pada Kerajaan Negeri Perak supaya menyelesaikan masalah pemberian lot tanah perumahan yang tertangguh selama 12 tahun! Bekas pekerja ladang yang memperjuangkan hak perumahan mereka ini bertegas bahawa mereka akan terus mengadakan aksi duduk bantah di hadapan Pejabat Menteri Besar Perak sehingga satu penyelesaian yang adil tercapai.

34 orang bekas pekerja ladang daripada syarikat Sime Darby (sebelum itu dikenali sebagai Kumpulan Guthrie) di Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak yang diberhentikan kerja sejak tahun 1999, telah ditawarkan sebidang tanah seluas 7 ekar oleh syarikat Sime Darby pada tahun 2011 untuk dibahagikan kepada lot-lot perumahan bagi para bekas pekerja. Pihak Kerajaan Negeri Perak kemudiannya pula mengemukakan satu cadangan alternatif dengan memberikan sebahagian tanah kerajaan sebagai lot tanah perumahan bagi bekas pekerja ladang tersebut.

“Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan lot kediaman tersebut untuk 34 orang bekas pekerja di Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak pada tahun 2012. Namun, selepas lebih 11 tahun menunggu dan kerja infrastruktur yang telah disiapkan setelah dilambat-labatkan, bekas pekerja ladang ini masih belum mendapat lot tanah yang dijanjikan dan diluluskan itu,” kata R. Karthiges, Penyelaran Jawatankuasa Sokongan Pekerja Ladang (JSML). “Sebaliknya, mereka diberitahu pada tahun ini bahawa tanah yang diluluskan itu telah ditarik balik dan satu skim perumahan akan dilaksanakan di situ. Namun, para bekas pekerja ladang bimbang bahawa akan berlaku lagi penangguhan. Mereka hanya menuntut pemberian hak milik tanah yang dijanjikan dan diluluskan sejak tahun 2012 itu.”

“Para bekas pekerja ladang ini akan terus kekal duduk berprotes di hadapan Pejabat Menteri Bedar sehingga satu keadilan tercapai,” tegas kata Karthiges.

Baca selanjutnya latar belakang isu pemberian lot tanah bagi bekas pekerja Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak di sini.

**********

Kemas kini 6.15 petang, 10 Julai 2023:

Atas ketegasan bekas pekerja ladang untuk duduk berprotes di hadapan Pejabat Menteri Besar Perak, demi mendapatkan penyelesaian yang adil bagi masalah pemberian lot perumahan yang tertangguh lama, akhirnya mereka mendapat surat daripada Mohamad Fariz Mohamad Hanip selaku Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak yang mengaturkan satu mesyuarat penyelarasan bagi tujuan penyelesaian masalah mereka yang akan diadakan pada 14 Julai 2023.

Sekali lagi, ini menunjukkan bahawa tanpa ketegasan untuk berjuang, tiadanya jalan penyelesaian.

One thought on “Bekas pekerja ladang duduk bantah gesa Kerajaan Negeri Perak tunaikan janji beri lot tanah perumahan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *