oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Para bekas pekerja Ladang Kamiri di Sungai Siput, Perak, berada gembira pada penghujung tahun 2011. Perjuangan mereka selama 12 tahun pada masa itu untuk mendapatkan pampasan bagi kehilangan kerja dan rumah kediaman mereka telah membuahkan hasil apabila ditawarkan lot perumahan yang berukuran 45 X 85 kaki persegi setiap orang pekerja, di samping pampasan wang tunai seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatkan dan Rentikerja Sentara) 1980 dalam Akta Kerja.

Pekerja-pekerja ini diberhentikan kerja apabila syarikat Guthrie, yang merupakan majikan mereka pada masa itu, memutuskan untuk beralih daripada penanaman getah kepada kelapa sawit. Di seluruh negara, ribuan pekerja ladang telah diberhentikan kerja dan diarahkan untuk mengosongkan kuarters yang telah diduduki oleh mereka dan keluerga mereka untuk 3 hingga 4 generasi. Namun, mereka hanya ditawarkan dengan pampasan yang sedikit – bayaran gaji 20 hari untuk setiap tahun berkhidmat. Memandangkan gaji mereka yang rendah pada masa itu, ini diterjemah kepada lebih kurang RM10,000 bagi seorang pekerja yang telah berkhidmat selama 30 tahun.

Kebanyakan penoreh getah ini ialah pekerja generasi ketiga yang tinggal di ladang getah. Datuk nenek dan ibu bapa mereka bekerja di ladang-ladang ini dan terus tinggal di dalam kuarters pekerja selepas persaraan kerana anak-anak mereka mengambil alih kerja mereka dan juga rumah mereka. Ladang kelapa sawit memerlukan kurang pekerja per ekar tanah. Tambahan pula, banyak pengurusan ladang memilih untuk menyumberkan luar kerja penuaian kelapa sawit kepada kontraktor-kontraktor yang mengupah buruh asing. Perubahan ini bermakna kebanyakan penoreh getah yang diberhentikan kerja itu bukan sahaja kehilangan pekerjaan mereka, malah juga tempat tinggal mereka. Mereka terpaksa berpindah keluar. Sebahagian besar daripada mereka ini tidak memiliki apa-apa rumah di luar kawasan ladang kerana gaji mereka hampir tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan asas, apatah lagi membayar ansuran untuk rumah.

Pekerja-pekerja di Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak memutuskan untuk meminta pampasan yang lebih baik. Mereka menuntut bayaran ex gratia yang bersamaan dengan jumlah pampasan yang dinyatakan dalam Akta Kerja dan lot perumahan yang percuma bagi setiap keluarga pekerja. Guthrie menolak tuntutan tersebut, dan apabila pekerja-pekerja enggan mengosongkan kuarters mereka, pihak Guthrie memfailkan prosiding pengusiran di Mahkamah Tinggi Ipoh pada tahun 2002. Pekerja-pekerja ladang ini mendapat khidmat guaman daripada peguam Vengkatraman daripada firma guaman Jayaratnam & Co, yang dibantu oleh peguam Balasundaram, yang mewakili pekerja-pekerja secara pro bono. Satu perjuangan mahkamah yang berpanjangan telah berlaku. Pekerja-pekerja telah memenangi beberapa pertempuran, termasuk menghalang pihak Guthrie daripada merobohkan rumah-rumah pekerja yang telah memutuskan untuk menerima pampasan dan berpindah keluar. Hujahan kami untuk menghalang perobohan rumah adalah rumah-rumah kuarters dalam ladang ini mempunyai bumbung asbestos. Perobohan rumah-rumah ini akan mendedahkan pekerja-pekerja yang tinggal di rumah-rumah yang berdekatan kepada habuk asbestos yang boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit barah.

Pekerja-pekerja ini juga mengedarkan risalah secara meluas di Perak dan berdemonstrasi di hadapan ibu pejabat Guthrie di Kuala Lumpur untuk beberapa kali. Mereka juga sempat mengadakan satu mesyuarat dengan Tan Sri Musa Hitam yang merupakan Pengerusi Guthrie pada masa itu.

Walaupun pada hakikatnya kebanyakan hakim bersimpati pada pekerja-pekerja – salah seorang hakim di Mahkamah Rayuan bertanya pada peguam Guthrie, “Jadi, ke manakan mereka patut pergi? Adakah mereka akan pergi dan tinggal di atas pokok”, hakim perlu akur pada undang-undang. Undang-undang Malaysia yang sedia ada tidak menyediakan asas undang-undang kepada perhujahan untuk tempat tinggal alternatif, walaupun anda ialah generasi ketiga pekerja ladang dengan tiadanya kampung halaman di luar ladang untuk pergi selepas diberhentikan kerja. Selepas berjuang sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan, keputusan muktamad tidak berpihak pada pekerja-pekerja. Guthrie memenangi hak undang-undang untuk mengusir keluar pekerja-pekerja pada tahun 2009. Namun begitu, Guthrie teragak-agak kerana satu lagi perkembangan sedang berlaku pada masa itu.

Pada tahun 2008, pekerja-pekerja dari Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak telah dijemput untuk menghadiri satu seminar mengenai kebajikan pekerja ladang yang dianjurkan oleh Dr. Xavier Jeyakumar yang merupakan Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor pada masa itu. Seorang pegawai tinggi daripada Sime Darby, Mohamad Helmy Othman Basha, membentangkan satu kertas dalam seminar ini, dan pekerja-pekerja sempat berjumpa dengannya semasa rehat makan tengah hari. (Guthrie telah bergabung dengan dua buah syarikat lain untuk membentuk Sime Darby pada masa itu.) Ini membawa kepada siri mesyuarat dan akhirnya, satu perjanjian tercapai, di mana 34 orang pekerja akan membeli tanah seluas 7 ekar daripada Sime Darby dengan harga RM490,000 yang dibayar oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang akan mendapatkan 3 ekar daripada tanah ini untuk membina sebuah kolej vokasional. Pekerja-pekerja akan mendapatkan lot perumahan secara percuma untuk setiap orang daripada 4 ekar tanah yang selebihnya.

Perkara ini sepatutnya berlaku pada tahun 2011. Namun, dalam satu mesyuarat dengan Pejabat Tanah Sungai Siput, pihak Kerajaan Negeri Perak membawa satu kejutan – mereka memberitahu pada Sime Darby bahawa pihak Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menggunakan sebahagian tanah kerajaan yang kosong untuk memberikan lot perumahan kepada kesemua 34 orang pekerja yang terlibat dan meminta pada Sime Darby untuk menyumbangkan RM340,000 supaya membina sebuah jambatan yang merentasi Sungai Buloh. Pekerja-pekerja membantah cadangan ini, dengan menggesa pada Pejabat Tanah supaya menggunakan tanah kerajaan tersebut untuk menempatkan semula penduduk-penduduk kampung setinggan di kawasan Sungai Siput yang juga meminta perumahan alternatif. Namun, bantahan mereka tidak berjaya.

Dari tahun 2011 hingga 2018, Pejabat Tanah telah melantik 3 kontraktor yang berlainan untuk meratakan tanah, menandakan lot perumahan dan menyediakan longkang. Mereka telah mengambil masa selama 7 tahun untuk menyempurnakan kerja yang boleh disiapkan dalam 3 bulan! Selepas menyediakan lot perumahan ini, Jawatankuasa Tanah Sungai Siput, tanpa berunding dengan pekerja-pekerja, telah memutuskan bahawa mereka akan membina rumah teres untuk pekerja, bukannya memberikan lot perumahan kepada pekerja. Pekerja-pekerja membantah kerana mereka telah menyaksikan tahap ketidakcekapan yang tinggi dalam melakukan kerja yang agak mudah untuk menyediakan lot perumahan bagi 34 orang pekerja. Mereka bimbang bahawa akan berlaku lagi penangguhan dan mempunyai keraguan yang serius tentang kualiti rumah yang akan dibina untuk mereka. Mereka masing-masing menyerahkan surat akuan berkanun untuk menyatakan hasrat mereka dengan jelas. Kerajaan Negeri Perak kemudiannya tidak berbuat apa-apa untuk selama 4 tahun, dan pada lewat tahun 2022 memutuskan untuk meneruskan dengan skim rumah teres.

Pekerja-pekerja sangat kecewa dengan keadaan ini. Sekarang ini sudah 23 tahun sejak mereka diberhentikan kerja. Dan mereka masih belum dapat meneruskan kehidupan mereka. Malah, 10 orang daripada pekerja-pekerja ini telah meninggal dunia! “Kenapa mereka berbuat demikian terhadap kami?” Tanya seorang bekas pekerja dalam satu mesyuarat. “Kami bukannya meminta wang daripada mereka ataupun satu inci daripada tanah mereka.”

“Kami pernah pergi berjumpa dengan Menteri Besar apabila kes mahkamah masih berjalan dan meminta padanya supaya memberikan tanah 4 ekar kepada kami sebagai lot perumahan. Jawapannya pada masa itu adalah tiadanya tanah yang tersedia. Tidak mengapa jika kamu tidak dapat membantu kami, tetapi kenapa kamu mensabotaj kami?” Tanya seorang lagi bekas pekerja.

Hakikat yang menyedihkan adalah terdapatnya individu-individu dalam Jawatankuasa Tanah Daerah Sungai Siput – yang terdiri daripada Pegawai Daerah, Ketua Penolongan Pengawai Daerah, seorang wakil Menteri Besar dan ADUN Lintang pada bulan September 2022 apabila keputusan untuk meneruskan skim rumah teres itu diterima – yang ingin menjana kontrak perniagaan untuk kroni-kroni mereka. Memberi lot perumahan kepada pekerja-pekerja akan menjana permintaan untuk membina rumah, tetapi pekerja-pekerja akan dapat memilih kontraktor mereka sendiri. Menukar seluruh skim kepada pembinaan rumah teres akan membolehkan individu dalam Jawatankuasa Tanah Daerah untuk menyalurkan perniagaan kepada kontraktor dan subkontraktor pilihan mereka – dengan nilai kontrak RM4 juta atau lebih.

Ini ialah salah guna kuasa oleh orang yang diamanahkan untuk menggunakannya supaya membantu rakyat. Ini ialah satu bentuk korupsi, dan ia adalah berleluasa. Ini merupakan penipuan terhadap golongan miskin luar bandar di seluruh negara. Dana daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk projek-projek pembangunan luar bandar seperti perumahan PPR, pembaikan jambatan dan balai raya, dan sebagainya, telah disalurkan ke dalam poket kroni yang selalunya agak tidak cekap dan memberikan hasil kerja dengan kualiti yang teruk. Akhirnya golongan miskin luar bandar yang menderita. Elit politik dan pentadbiran di peringkat daerah mengaut keuntungan lumayan dan ramai dalam kalangan mereka hidup dalam keadaan mewah. Namun, ramai warga luar bandar masih tunduk dan menyentuh dahi mereka ke tangan orang yang mencuri daripada mereka! Nilai-nilai feudal masih bertapak dalam masyarakat kita!  

Para bekas pekerja Ladang Kamiri dan Changkat Salak telah memutuskan bahawa mereka tidak akan berdiam diri lagi terhadap ketidakadilan ini. Mereka akan mendedahkannya. Mereka berhadap bahawa ahli-ahli politik kanan dalam Kerajaan Perpaduan akan memberi perhatian dan mencampur tangan bagi pihak bekas pekerja. “Berikan saja kami apa yang anda janjikan pada tahun 2011 apabila anda merosakkan perjanjian kami dengan Sime Darby. Anda tidak perlu membina rumah bagi kami,” inilah seruan bekas pekerja Ladang Kamiri dan Changkat Salak.

Ini bukannya satu masalah yang terpencil. Kerajaan Perpaduan harus mengambil usaha yang serius untuk menangani masalah salah tadbir urus dalam program-program bantuan bagi golongan miskin luar bandar.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau merupakan mantan Ahli Parlimen Kawasan Sungai Siput.

2 thoughts on “Kenapa Kerajaan Negeri Perak terus sabotaj usaha pekerja ladang dapatkan lot tanah bagi perumahan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *