oleh Karthiges Rajamanickam

Pada 14 Julai 2023, Kerajaan Negeri Perak, melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, telah memanggil satu mesyuarat bersama wakil bekas pekerja Ladang Kamiri dan Ladang Changkat Salak, Sungai Siput, seperti mana yang dijanjikan berikutan protes duduk bantah mereka di hadapan Pejabat Menteri Besar Perak pada 10 Julai 2023 yang lalu, dan telah menyampaikan beberapa keputusan yang diambil selepas berbincang dengan pihak EXCO Perak.

Kerajaan Negeri Perak telah bersetuju dengan tuntutan bekas pekerja Ladang Kamiri dan Changkat Salak untuk mengekalkan keputusan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Perak pada tahun 2012, iaitu kesemua 34 orang bekas pekerja ladang berkenaan akan diberikan lot tanah percuma di kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Batu 1, Sungai Siput, dan keputusan untuk skim perumahan yang dibantah oleh bekas pekerja itu telah dibatalkan.

Bekas pekerja Ladang Kamiri dan Changkat Salak mengadakan aksi duduk bantah di hadapan Pejabat Menteri Besar Perak pada 10 Julai 2023.

Dato’ Mohamad Fariz, Pengarah PTG Perak yang mempengerusi mesyuarat ini, memaklumkan kepada kami tentang perkara ini. Beliau juga memaparkan satu draf pemplotan lot-lot yang akan dikemas kini dan telah mengarahkan PTG Perak dan Pejabat Tanah Sungai Siput untuk mempercepatkan proses pemberian hak milik tanah kepada bekas pekerja berkenaan. Pihak PTG juga memberitahu bahawa akan bermesyuarat dengan Sime Darby pada minggu depan untuk menyelesaikan beberapa perkara berbangkit.

Pihak bekas pekerja Ladang Kamiri dan Changkat Salak ingin merakam penghargaan dan ucapan terima kasih atas kerjasama dan sokongan daripada pihak Menteri Besar Kerajaan Negeri Perak, dan khususnya Dato’ Mohamad Fariz, untuk langkah melanjutkan dan mempercepatkan proses pemberian geran tanah. Kami amat berharap proses ini akan berjalan dengan lancar dan isu yang berlanjutan lebih 12 tahun ini akan diselesaikan akhirnya.

==========

Karthiges Rajamanickam ialah Penyelaras Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) di bawah Gabungan Marhaen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *