oleh Rani Rasiah

Akhirnya, 4 orang pekerja telah menang tuntutan mereka di Mahkamah Buruh Ipoh pada 12 Jun 2023 untuk gaji yang tidak dibayar mengikut kadar gaji minimum dengan betul dan perbezaan dalam kiraan bayaran kerja lebih masa (OT).  Mereka ini ialah pengawal keselamatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak, yang telah ditipu oleh majikan mereka, United Security Services Sdn Bhd, yang dianugerahkan kontrak perkhidmatan kawalan keselamatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Antara kemenangan yang signifikan dalam kes ini ialah keputusan bahawa pekerja-pekerja ini layak untuk dibayar OT sebanyak 4 jam dan bukannya 3 jam.  Persoalan sama ada 3 atau 4 jam dalam kiraan OT memang satu isu yang dipertikaikan oleh Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) yang mendapati bahawa kebanyakan majikan tidak memberi masa satu jam untuk makan tetapi masih menolak satu jam dalam kiraan bayaran OT. 

Pekerja-pekerja ini diwakili oleh Sarat Babu Raman daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM). Mereka telah berjaya membuktikan bahawa mereka tidak diberi masa satu jam untuk makan tengah hari. Tidak ada pengawal keselamatan gantian yang disediakan oleh majikan untuk mengambil tempat mereka di dalam pos kawalan, maka tidak ada waktu rehat satu jam yang jelas (clear break), dan mereka terpaksa makan secara “pandai-pandai” di dalam pos kawalan mereka.

Sebenarnya wang yang dimenangi itu, dengan purata RM4,000 setiap orang, bukanlah satu ex-gratia atau satu hadiah atau satu keuntungan. Duit itu adalah milik pekerja-pekerja ini, gaji mereka, hasil titisan peluh mereka yang tidak dibayar oleh majikan mereka. Hakikatnya adalah majikan telah mencuri sebahagian pendapatan pekerja dengan gagal membayar sebahagian gaji dan bayaran wang OT yang sepatutnya.

Perjuangan pekerja-pekerja ini untuk mendapat balik wang mereka telah mengambil masa selama 9 bulan. Dalam suasana kerja di mana kebanyakan pekerja Malaysia amat takut membuat aduan terhadap majikan yang mencuri wang mereka, 4 orang pekerja ini – Santha, Mariam, Rohana dan Saguntala – telah tampil ke depan untuk membuat tuntutan di Pejabat Tenaga Kerja pada 9 bulan dahulu.  Seperti yang dikhuatiri oleh tenaga kerja Malaysia secara amnya, 4 orang pekerja ini telah dibuang kerja dengan serta-merta. Jadi, untuk 9 bulan yang lalu ini, mereka merana tanpa kerja, tanpa pendapatan, dan terpaksa berhutang untuk menampung kos hidup keluarga mereka. Mereka kesemuanya ialah pencari nafkah tunggal untuk keluarga mereka, di mana dua orang antaranya ialah ibu tunggal.

Mereka tidak menyesal terhadap tindakan mereka menuntut bayaran gaji sepatutnya ini, walaupun perjuangan mereka penuh dengan cabaran dan kepahitan akibat satu sistem yang tidak membela pekerja dengan sungguh-sungguh. Sistem sedia ada yang tidak membela pekerja ini merujuk kepada halangan besar untuk menubuh kesatuan kerja untuk melindungi pekerja, dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang buruh oleh kerajaan bagi mengawasi para majikan. Usaha pekerja-pekerja untuk mendapatkan hak mereka di bawah undang-undang tidak seharusnya menjadi satu pengalaman yang sangat menyeksakan sehingga boleh mematahkan semangat mereka.

Ini hanyalah 4 orang pekerja yang akhirnya berjaya dapat balik wang mereka. Bagaimana pula dengan hampir 200 orang lagi pekerja yang diupah oleh United Security tetapi tidak berani untuk memfailkan tuntutan di Pejabat Tenaga Kerja?  Adakah tindakan pejabat buruh terhad kepada pekerja yang membuat aduan? Bukankah seharusnya majikan yang bersalah itu disiasat dan didenda kerana sudah melanggar undang-undang kerja?

==========

Rani Rasiah ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *