SHAH ALAM, SELANGOR: Bekas pekerja Ladang Glenmarie menyerahkan satu memorandum kepada Kerajaan Negeri Selangor pada 8 Jun 2023, untuk menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya memulakan proses perbincangan mengenai pemberian hak milik kekal bagi rumah yang dihuni mereka dan mengelakkan daripada perpindahan sekali lagi.

Bekas pekerja Ladang Glenmarie telah dipindahkan ke rumah panjang yang dibina oleh majikan mereka pada tahun 1978 selepas tanah ladang tersebut dijual untuk pembangunan. Pada tahun 1985, bekas pekerja Ladang Glenmarie diberikan rumah di Taman Glenmarie sebagai rumah ganti mereka kerana berpindah keluar dari Ladang Glenmarie. Sebanyak 126 buah keluarga dari Ladang Glenmarie dan Ladang Jaya Glenmarie berpindah ke Taman Glenmarie. Rumah untuk bekas pekerja Ladang Glenmarie di Taman Glenmarie telah diberi pajakan bertempoh 99 tahun. Pada ketika mereka diberikan rumah pada tahun 1985, bekas pekerja Ladang Glenmarie dijanjikan bahawa mereka akan mendapat hak milik kekal bagi rumah mereka dalam masa terdekat, tetapi setelah 38 tahun berlalu, tanah di mana rumah mereka berada masih berstatuskan hak milik sementara.

Baru-baru ini, penduduk-penduduk Taman Glenmarie terdengar khabar agin yang mengatakan bahawa Taman Glenmarie akan diambil untuk projek pembangunan. Wakil penduduk Taman Glenmarie menulis surat kepada Menteri Besar Selangor pada 19 Oktober 2022 dan 15 Disember 2022 untuk meminta satu janji temu supaya membincangkan isu ini, namun tiada sebarang jawapan daripada pihak Kerajaan Negeri Selangor terhadap surat-surat ini. Para bekas pekerja Ladang Glenmarie berpandangan bahawa sekiranya hak milik rumah mereka ditukar kepada hak milik kekal, maka rumah mereka akan lebih terjamin dan selamat daripada diambil sewenang-wenangnya untuk projek pembangunan.

Bekas pekerja Ladang Glenmarie untuk mengatakan bahawa mereka mendengar khabar tentang projek-projek pembangunan yang bersebelahan dengan Taman Glenmarie mempunyai status tanah hak milik kekal. Projek-projek tersebut termasuk Saujana Golf & Country Club, Kompleks SMS PDRM (Pusat Bekalan PDRM), Taman TTDI Jaya dan Laman Glenmarie. Persoalan di sini ialah, bagaimana projek-projek yang hanya wujud selepas pembinaan Taman Glenmarie boleh mendapat hak milik kekal sedangkan rumah penduduk di Taman Glenmarie masih berstatus hak milik sementara?

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor dan V. Ganabatirau selaku Ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Jawatankuasa Bertindak Penduduk Taman Glenmarie menyatakan bahawa semua bekas pekerja Ladang Glenmarie hendak terus menetap di Taman Glenmarie sekarang ini. Ini kerana lokasi kawasan perumahan ini adalah strategik dan memudahkan penduduk-penduduk sedia ada untuk berulang alik bekerja dan urusan lain. Anak-anak penduduk di sini juga pergi ke sekolah-sekolah yang terletak dalam lingkugan beberapa kilometer sahaja, seperti SJKT Ladang Glenmarie dan SMK TTDI Jaya.

Jawatankuasa Bertindak Penduduk Taman Glenmarie menggesa pada Menteri Besar Selangor dan Ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja untuk memulakan perbincangan supaya menukar status hak milik rumah Taman Glenmarie kepada hak milik kekal. Para bekas pekerja Ladang Glenmarie juga meminta pada Kerajaan Negeri Selangor supaya memberitahu secara terus terang kepada mereka jika ada cadangan projek pembangunan di Taman Glenmarie.  

Turut hadir bersama semasa penyerahan memorandum pada 8 Jun 2023 ialah Suresh Balasubramaniam, Penyelaras Parti Sosialis Malaysia (PSM) Unit Shah Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *