oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Pada amnya, cukai boleh dibahagikan kepada tiga kategori besar – cukai terhadap pendapatan, cukai terhadap harta (kekayaan) dan cukai terhadap penggunaan (consumption). Ketiga-tiga kategori cukai ini boleh diguna pakai terhadap individu dan syarikat. Perkara ini ditunjukkan dalam Gambar Rajah 1.

Gambar Rajah 1: Kategori cukai

Jenis cukaiIndividuSyarikat
PendapatanCukai Pendapatan
Caruman skim perlindungan sosial – KWSP2, PERKESO
 
Cukai Korporat
Cukai Pendapatan Petroleum Windfall Profit Tax
KekayaanCukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT)3
(Cukai Keuntungan Modal)1
(Cukai Perwarisan Harta)  
   
  PenggunaanCukai Jualan dan Perkhidmatan Penggunaan mewah
Duti eksais
(GST / VAT)
AP
Duti Setem  
Duti Setem
(Cukai Karbon)
(Cukai Tobin)  
Nota:
1. Yang dalam kurungan itu ialah cukai yang tidak dilaksanakan di Malaysia pada masa ini.
2. KWSP dan PERKESO bukan “cukai” sebenar. KWSP – skim simpanan; PERKESO – insurans untuk melindungi pekerja yang ditimpa kemalangan ataupun keilatan
3. RPGT = Real Property Gain Tax

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam nilai ringgit semasa ialah RM1,715 billion1 dan nisbah perbelanjaan rakyat adalah lebih kurang 60% KDNK2 ataupun RM1,029 bilion pada tahun 2022. Mengikut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023, cukai terhadap penggunaan rakyat telah mengutip sebanyak RM48.8 bilion untuk Kerajaan Persekutuan dalam tahun 2022. Jumlah ini termasuk RM29.71 bilion yang merupakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), RM10.72 bilion daripada kutipan eksais dan RM3.02 bilion daripada cukai import. Sila rujuk Gambar Rajah 2 di Lampiran Satu. RM48.8 bilion yang dikutip sebagai cukai ini merupakan 4.7% daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan penduduk Malaysia dan menyumbang 17.1% daripada jumlah hasil pendapatan Kerajaan Persekutuan dalam tahun 2022.

Syor-syor berkaitan Cukai terhadap Penggunaan Rakyat

1. Duti setem ke atas pembelian rumah

Lebih kurang 230,000 unit perumahan dibeli pada tahun 2022.3 Malaysia mengenakan cukai ke atas pembelian rumah mengikut kaedah duti setem yang bergantung pada harga rumah tersebut, seperti yang disenaraikan di bawah

  • RM100,000 yang pertama: 1%
  • Untuk RM100,001 – RM500,000: 2%
  • Untuk RM500,001 – RM1,000,000: 3%
  • Untuk RM1,000,001 dan ke atas: 4%

(Duti setem terhadap rumah berharga RM 500,000 hingga RM 1 juta telah dikurangkan 75% sehingga bulan Disember 2023.)

PSM menuntut supaya:

a) Duti setem ke atas rumah-rumah di bawah RM300,000 dimansuhkan sama sekali kerana masyarakat B60 yang membeli rumah berharga RM300,000 ke bawah sedang menghadapi banyak tekanan kewangan dan adalah tidak munasabah untuk menambahkan beban mereka.

b) Pembeli rumah yang berharga lebih daripada RM300,000 di dalam taman-taman perumahan, tidak dinaikkan duti setem kerana mereka sedang dicaj harga yang lebih tinggi untuk rumah mereka oleh pemaju yang ingin menampung kos membina 30% rumah kos rendah di setiap projek perumahan seperti yang disyaratkan oleh Kerajaan Negeri. Ini digelar “subsidi silang” (cross-subsidization) di mana golongan M40 memberi subsidi kepada golongan B40. Oleh kerana ini, adalah tidak adil juga untuk mengenakan duti setem yang lebih tinggi terhadap kumpulan M40 yang membeli rumah di dalam taman-taman perumahan.

c) Meningkatkan duti setem terhadap golongan T20 yang membeli/membina rumah banglo di luar taman perumahan. Berdasarkan jawapan Timbalan Menteri Perumahan dalam Parlimen, dari tahun 2018 hingga ke hujung tahun 2022, sebanyak 168,300 buah rumah berharga melebihi RM1 juta telah dibina di Malaysia4 – iaitu lebih kurang 33,600 unit bagi setiap tahun. Rumah-rumah banglo yang dibina oleh golongan kaya T20 di kawasan rumah mewah harus dikenakan duti setem yang lebih tinggi kerana mereka tidak terlibat dalam mekanisme “subsidi silang” yang dikenakan terhadap rumah berharga RM300,000 ke atas di dalam taman perumahan. PSM mengesyorkan supaya duti setem sebanyak 4% dikenakan terhadap keseluruhan nilai rumah banglo yang didirikan di dalam kawasan perumahan mewah. Ini akan meningkatkan kutipan duti setem sebanyak RM540 juta setahun5.

2. Duti Eksais ke atas kereta baharu

Kerajaan Malaysia sedang mengenakan duti eksais ke atas kereta-kereta baharu yang dibeli di Malaysia. Setiap tahun, penduduk Malaysia membeli lebih kurang 600,000 buah kereta baharu dan mereka dikenakan duti eksais seperti yang ditunjukkan dalam Gambar Rajah 3.

Gambar Rajah 3: Cukai ke atas kereta

Duti importCukai tempatan
CBUCKDCBU & CKD
Kapasiti enjin (cc)MFNASEAN
CEPT
MFNASEAN
CEPT
Duti EksaisCukai Jualan
< 1,80030%0%10%0%75%10%
1,800 – 1,99930%0%10%0%80%10%
2,000 – 2,49930%0%10%0%90%10%
2,500 dan ke atas30%0%10%0%105%10%
CBU = Complete built up;   
 CKD = Complete knocked down (assembled locally)
 ASEAN CEPT = Common Effective Preferential Tariff yang dipersetujui antara negara-negara anggota ASEAN
MFN = Most Favored Nations

 

Ini bererti, harga sebuah kereta kategori CBU dengan saiz engin di bawah 1800cc akan mengenakan kos terhadap pembelinya sebanyak 2.5 kali lebih daripada harga kereta itu apabila dieksport dari negara asalnya6. Maknanya, golongan M40 dan T20 di Malaysia sedang dikenakan cukai yang tinggi untuk membeli kereta baharu, dan kami di PSM sokong penuh pendekatan sebegini.

Di negara Singapura, selain daripada cukai-cukai lain, permit untuk membeli kereta adalah dilelong secara terbuka setiap tiga bulan. Permit ini, yang dipanggil “certificate of entitlement” (COE), diperlukan untuk membeli kereta. Pada tahun ini, harga COE dalam pelelongan adalah antara $80,000 dan $120,000 (mata wang Singapura). PSM ingin mengesyorkan bahawa kaedah permit untuk membeli kereta sebegini diamalkan juga di Malaysia, dengan harga rendah untuk kereta di bawah 1200cc dan kadar yang meningkat ke RM30,000 untuk kereta berkapasiti engin 2500cc ke atas. Ini akan menjana kutipan sebanyak lebih kurang RM9 bilion setahun7.

3. Cukai ke atas barangan mewah (Luxury goods tax)

Ketika membentangkan Belanjawan 2023, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan cukai barangan mewah bermula tahun ini. Beliau mengumumkan bahawa jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah adalah antara barangan yang akan dikenakan cukai tersebut. PSM mengesyorkan supaya beg tangan mewah, kasut mewah, baju mewah dan barang lain sebegini boleh disertakan dalam senarai barangan mewah untuk dicukai. Tetapi, barangan berharga rendah dan sederhana yang dibeli oleh orang biasa mesti dikecualikan.

Namun, kaedah ini tidak boleh menjana penambahan yang besar dalam kutipan cukai kerana bilangan orang yang cukup kaya untuk membeli barangan mewah ini tidak besar sangat. (Sila rujuk Gambar Rajah 6 di Lampiran Satu yang menyenaraikan pendapatan isi rumah di Malaysia.) Satu sebab lagi adalah golongan kaya sering pergi ke negara lain – melancong dan juga urusan perniagaan. Jika cukai terhadap barangan mewah adalah tinggi sangat di Malaysia, mereka akan membeli barangan ini apabila melancong ke luar Malaysia, dan negara kita akan kehilangan perniagaan ini dan kedai-kedai yang menjual barangan mewah akan berkurangan pelanggan.

4. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)

Malaysia telah melaksanakan cukai GST dari bulan April 2015 sehingga tahun 2018 dan kemudiannya dimansuhkan oleh kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-18. Pada tahun 2017, cukai GST telah menjana RM44 bilion untuk Kerajaan Persekutuan. Ini merupakan 3.27% daripada KDNK bagi negara Malaysia pada tahun 20178. Sebagai perbandingan, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST – Sales and Services Tax) hanya mengutip RM29.71 bilion pada tahun 2022 – hanya 1.73% daripada KDNK pada tahun itu. Itulah antara sebabnya ramai pakar ekonomi mengesyorkan kepada kerajaan untuk membawa balik cukai GST – ianya berpotensi mengumpulkan lebih banyak dana untuk Kerajaan Persekutuan. Jika dilaksanakan dengan kadar cukai 6%, GST akan mengutip sebanyak RM55-60 bilion setahun pada masa ini8.

Namun begitu, PSM tidak bersetuju dengan syor membawa balik cukai GST kerana:

a/ GST menaikkan harga hampir semua barangan yang biasa dibeli oleh golongan B40 dan menyusahkan mereka. Tanpa GST pun, rakyat B40 menghadapi masalah untuk menampung keperluan asas keluarga mereka. Berdasarkan Laporan Pemakanan Global9, pada masa ini, 21.8% daripada kanak-kanak Malaysia berumur 5 tahun ke bawah adalah terbantut (stunted), yang bererti mereka gagal mencapai ketinggian badan yang sepatutnya mengikut umur mereka. Statistik ini mendedahkan masalah kekurangan makanan protein (protein malnutrition) berjangka panjang9 yang dialami oleh lapisan masyarakat berpendapatan rendah di Malaysia. Dalam situasi begini, kita harus mencari jalan untuk meringankan beban golongan B40 dan pengenaan cukai seperti GST merupakan langkah dalam arah yang salah.

b/ Gaji pekerja biasa di Malaysia adalah amat rendah kerana Malaysia sedang mengamalkan dasar “pengeluaran kos rendah” dengan menawarkan komponen dan input lain kepada syarikat gergasi antarabangsa dengan harga rendah. Syarikat-syarikat antarabangsa telah mewujudkan persaingan sengit antara syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan di Thailand, Vietnam dan Malaysia untuk memenangi tempahan daripada syarikat antarabangsa. Oleh itu, gaji di negara-negara ASEAN telah ditekan ke paras yang rendah, dan sekarang berada pada paras gaji satu perlapan berbanding negara maju. (Sila rujuk ke Gambar Rajah 5 dalam Lampiran Satu). Pekerja biasa di negara Eropah mampu membayar cukai GST (digelar VAT di beberapa negara – Value Added Tax), kerana gaji mereka tinggi berbanding gaji di ASEAN.  

c/ GST ialah satu cukai yang “regresif”, iaitu cukai ini lebih membebankan rakyat yang berpendapatan rendah berbanding rakyat lapisan atasan. Rakyat B40 biasanya menghabiskan pendapatan bulanan mereka dengan membeli barangan keperluan keluarga. Jadi, 6% daripada jumlah pendapatan mereka digunakan untuk membayar cukai GST. Sebaliknya, rakyat T20 hanya berbelanja sebahagian daripada pendapatan mereka untuk membeli barangan dan perkhidmatan (mungkin 60%). Baki 40% disimpan dalam bank ataupun dilaburkan. Ertinya, bagi golongan T20, bayaran cukai GST hanya mengambil 3.6% daripada pendapatan mereka – jauh rendah daripada nisbah yang dibayar oleh golongan B40.

Syarat untuk menerima cukai GST

PSM sedia menerima cukai GST jikalau ianya diubah suai untuk melindungi golongan B40 dan M40. Ini boleh dicapai dengan meminda Akta GST supaya memperuntukkan pembayaran tunai bulanan (monthly cash transfer) kepada semua keluarga B40 dan M40. Jumlah yang harus dibayar setiap bulan perlu berdasarkan formula berikut –

(kadar cukai GST)  X   (pendapatan bulanan bagi persentil ke-40 semasa)

Berdasarkan hasil kajian Jabatan Perangkaan Malaysia10, persentil ke-40 menerima pendapatan sebanyak RM4,849 sebulan pada tahun 2019. Jika GST kadar 6% diguna pakai, sebanyak RM291 harus dipindahkan ke dalam akaun semua keluarga B40 dan M40 secara automatik bagi setiap bulan. Ini merupakan cukai GST yang dibayar oleh sebuah keluarga dengan pendapatan bulanan RM4,849 jika GST 6% dikenakan terhadap kesemua perbelanjaannya (dan jika keluarga ini membelanjakan segala pendapatannya).

Peruntukan ini bermakna keluarga-keluarga daripada lapisan persentil 1 terbawah hingga ke persentil 39 akan menerima pemindahan wang ke dalam akaun mereka yang melebihi jumlah yang mereka bayar sebagai cukai GST. Dengan ini, satu kaedah cukai yang “regresif” dapat ditukar menjadi “progresif” dalam pelaksanaannya. Tetapi, ini akan mengurangkan dana yang diperolehi kerajaan pusat melalui GST kerana bayaran ini akan menelan bajet sebanyak RM20.1 bilion setahun11. Jadi, RM56 bilion yang dijangkakan daripada cukai GST pada kadar 6% apabila KDNK negara berjumlah RM1.7 trilion, akan dikurangkan kepada RM36 bilion selepas bayaran dibuat kepada keluarga-keluarga B40 dan M40 – tidaklah banyak sangaty berbanding RM29 bilion yang dikutip melalui SST sekarang.     

5. Cukai ke atas penggunaan bahan api

Beberapa buah negara telah mengenakan cukai terhadap pelepasan karbon dioksida. Negara Britain sedang mengenakan cukai sebanyak USD25 untuk setiap tan karbon dioksida12, manakala negara Perancis mengenakan USD52 setiap tan dan Sweden mengenakan USD137 setiap tan. Di rantau ASEAN, Indonesia sedang membuat persiapan untuk memulakan cukai ini pada tahun 2025 dengan kadar USD5.2 setiap tan. Vietnam sudah memperkenalkan cukai ke atas bahan api pada tahun 2019, tetapi pada kadar yang sangat rendah – lebih kurang USD0.50 per tan karbon dioxida. Malaysia dan Thailand belum memperkenalkan cukai ke atas pelepasan karbon dioksida.

Persaingan yang sengit antara negara-negara ASEAN untuk menarik pelabur asing (FDI) ke negara masing-masing akan membantutkan usaha mengawal pelepasan karbon dioksida. Ini kerana cukai ke atas karbon boleh menyebabkan peningkatan dalam kos pembuatan beberapa barangan. Umpamanya, di Malaysia, pengeluar terbesar karbon dioksida ialah loji-loji penjanaan elektrik dan kilang-kilang simen dan besi. Cukai karbon ini boleh meningkatkan kos tenaga elektrik, simen dan besi di dalam negara kita, dan ini boleh menjejaskan daya saing negara kita di rantau ASEAN. Tetapi, cukai ini memang membawa beberapa kebaikan selain daripada meningkatkan pendapatan kerajaan. Ia menggalakkan syarikat-syarikat yang terlibat untuk berubah ke arah tenaga yang boleh diperbaharui dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Adalah amat perlu untuk cukai karbon ini dilaksanakan di rantau ASEAN secepat mungkin, pada kadar yang berkesan dan bukan hanya sebagai satu “hiasan tingkap”(window dressing).

Oleh itu, adalah penting untuk negara-negara di ASEAN supaya mengadakan perbincangan mengenai isu cukai karbon dan mencapai satu persetujuan mengenai cara cukai ini boleh diperkenalkan di rantau ini secara seragam supaya ia tidak mewujudkan “kekurangan secara perbandingan” (comparative disadvantage) terhadap mana-mana negara yang melaksanakan cukai tersebut. Kerjasama antara negara-negara ASEAN juga akan membolehkan kita melaksanakan kadar cukai karbon yang lebih tinggi dan memacu permintaan untuk tenaga yang bersih. 

Kesimpulan

Malaysia sedang mengamalkan beberapa kaedah cukai terhadap penggunaan (consumption). Beberapa perkara berkenaan cukai-cukai ini boleh diubah suai dan dipertingkatkan. Tetapi, kita mesti sentiasa peka pada impak cukai-cukai terhadap lapisan-lapisan masyarakat yang berbeza serta memastikan bahawa usaha kita untuk meningkatkan pendapatan kerajaan tidak menyusahkan golongan B40 dan juga tidak membebankan golongan M40 secara melampau.  

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Nota

1. Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023

2. Nisbah penggunaan persendirian terhadap KDNK pada 3 suku pertama tahun 2022 = 60.9%   (Prof Yeah Kim Leng, Starbiz 21/1/2023)

3. Unit kediaman yang dijual pada tahun 2022 = 233,460 (anggaran) (The Star 16/5/2023)

4. Sejumlah 453,761 unit dibina oleh sektor kerajaan dan swasta dari tahun 2018 hingga 2022

RM1 juta ke atas                168,297

RM500,000 – 1 juta                          70,779

RM300,000 – 500,000                      51,771

RM300,000 ke bawah                      162,284 35.8%

Jawapan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, di dalam Parlimen (The Star 22/2/2023)

5. Rumah berharga RM 1 juta akan dicaj duti setem sebanyak RM24,000 setiap unit mengikut formula yang digunakan sekarang, iaitu –

              1% daripada 100,000 = RM1000

              2% daripada 400,000 = RM8,000

              3% daripada 500,000 = RM15,000

              Jumlah                               = RM24,000

Jika kadar sebanyak 4% digunakan untuk keseluruhan nilai rumah berharga RM1 juta, duti setem sebanyak RM40,000 akan dikenakan – tambahan sebanyak RM16,000 sebuah rumah, ataupun kutipan tambahan sebanyak RM537 juta untuk 33,600 buah rumah berharga RM1 juta. 

6. Pengiraan harga sebuah kereta kategori CBU dengan saiz engin di bawah 1800cc

     1.3  x 1.75  x  1.1  = 2.5 harga di negara asal

     Pengiraan harga sebuah kereta kategori CBU dengan saiz engin melebihi 2500cc    

      1.3  x  2.05  x 1.1  = 2.93 harga di negara asal

7. 600,000 buah kereta  x  RM15,000 [dianggarkan sebagai kos hitung panjang (purata) permit ini] = RM9 bilion setahun.

8.                                        KDNK                                  Kutipan GST (kadar 6%)

2017:                                   RM 1345 bil                        RM 44 bil (3.27% KDNK)

2022:                                  RM 1715 bil x 3.27% = RM 56 bil

9. Rate of stunting and malnutrition

Malaysia has not made much progress towards achieving the target of reducing anaemia among women of reproductive age, with 32.0% of women aged 15 to 49 years now affected. Meanwhile, there has also been no progress towards achieving the low birth weight target, with 11.3% of infants having a low weight at birth. Malaysia has also made no progress towards achieving the target for stunting, with 21.8% of children under 5 years of age affected, which is equal to the average for the Asia region (21.8%). Malaysia has also made no progress towards achieving the target for wasting, with 9.7% of children under 5 years of age affected, which is higher than the average for the Asia region (8.9%). 

https://globalnutritionreport.org/resources/nutrition-profiles/asia/south-eastern-asia/malaysia/

10. Jabatan Statistik: Household Income Survey 2019.  Sila rujuk Gambar Rajah 6 di Lampiran Satu

11. Butiran yang berkaitan

Bilangan keluarga di Malaysia = 7.2 juta

Pendapatan persentil ke-40 pada tahun 2019 = RM4,849

Pengiraan bayaran setiap bulan:

   (RM 4849 x 0.06) x (7.2 juta x 0.8) = RM 291 x 5.76 juta = RM1.676 bilion

Untuk satu tahun: RM 20.1 bilion 

12. https://www.statista.com/statistics/483590/prices-of-implemented-carbon-pricing-instruments-worldwide-by-select-country/

==========

Lampiran Satu

Gambah Rajah 2: Hasil Kerajaan Persekutuan 2022

  Kategori hasil  (bilion)  Jumlah
Cukai Langsung  
Cukai Korporat  
Cukai Pendapatan Individu  
Cukai Petroleum
RM84.76
RM30.64
RM19.3
RM147.2 bilion
Cukai Tidak Langsung  
Cukai Jualan dan Perkhidmatan  
Duti Eksais  
Cukai Import  
Cukai Eksport              
RM29.71
RM10.72
RM3.02
RM2.2
RM51.02 bilion
Pendapatan Bukan Cukai  
Lesen dan Permit  
Pendapatan Pelaburan
RM13.33
RM63.44a
  RM86.99 bilion
  Jumlah   RM 285.217 bilionb
a. Dividen PETRONAS menyumbang RM50 bilion daripada ini.
b. Hasil berkaitan petroleum menyumbang RM77.8 bilion (27.3% jumlah hasil)
Petroleum related revenue accounted for RM 77.8 billion (27.3% of total revenue)
Sumber: TINJAUAN FISKAL DAN ANGGARAN HASIL KERAJAAN PERSEKUTUAN 2023, Kementerian Kewangan


       

Gambah Rajah 5: Gaji minimum di beberapa buah negara/wilayah terpilih (2021)

  NegaraGaji minimum
  MalaysiaRM1200 sebulan (48 jam kerja seminggu)
  CaliforniaUSD14 sejam USD14/jam x 8jam/hari x 22 hari/bulan = USD2464/bulan = RM 10,176/bulan
  AustraliaAUD20.33 sejam (setakat bulan Julai 2021) 20.33 x 8 x 22 x 3 = RM10,734 sejam
  JermanEUR1,584.00 sebulan (Jun 2020) 1584 x 4.77 = RM7,079 sebulan

Gambar Rajah 6: Pendapatan Bulanan Isi Rumah 2019

PersentilJulat PendapatanPersentilJulat Pendapatan
  1 – 5 Terbawah  <RM 1929  51 -55  RM 5880-6471
  6 – 10  RM 1929 – 2500  56 – 60  RM 6472 – 7099
  11 – 15  RM 2500 – 2786  61 – 65  RM 7100 – 7828
  16 – 20  RM 2787  –  3169  66 – 70  RM 7829 – 8699
  21- 25  RM 3170 – 3556  71 – 75  RM 8700 – 9695
  26 – 30  RM 3557 – 3969  76 – 80  RM 9696 – 10,959
  31 – 35  RM 3970 – 4387  81 – 85  RM 10,960 – 12,586
  36 – 40  RM 4388 – 4849  86 -90  RM 12,586 – 15,039
  41 – 45  RM 4850 – 5336  91 – 95  RM 15,040 – 19,789
  46 – 50  RM 5337 – 5879  96 – 100  RM 19790 – ??
    
Jabatan Statistik Malaysia: Penyelidikan Pendapatan Isi Rumahtangga 2019

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *