SERENDAH, SELANGOR – 3 MEI 2023: 12 buah keluarga yang tinggal di Kampung Koskan Tambahan, Serendah, Selangor, telah diancam dengan perobohan rumah tanpa rumah ganti pada hari ini. Pada sekitar jam 8.30 pagi, anggota polis yang diketuai oleh Ketua Polis Balai Serendah telah datang ke Kampung Koskan Tambahan, bersama dengan jentolak yang digunakan untuk merobohkan rumah.

Pada sekitar jam 10.25 pagi, satu rundingan diadakan antara pihak penduduk Kampung Koskan Tambahan, pihak syarikat pemaju Panca Resmi Sdn Bhd, dan Saifuddin bin Shafi Muhammad selaku Pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor dan Penyelaras DUN Batang Kali. Saifuddin telah mengesyorkan kepada penduduk-penduduk kampung supaya berpindah keluar dari rumah mereka hari ini juga dan dia akan membantu dari segi infrastruktur tetapi tawaran rumah atau bantuan daripada Menteri Besar hanya akan disusuli kemudian. Pihak penduduk kampung tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan meminta supaya melanjutkan tempoh masa yang membolehkan perbincangan dan tidak melakukan perobohan rumah. Namun, pihak syarikat pemaju berkeras kepala untuk merobohkan rumah atas sebab perintah mahkamah yang diperolehinya di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Pihak penduduk telah memfaikan rayuan di Mahkamah Rayuan, dan kini sedang menunggu tarikh daripada pihak mahkamah untuk kes didengar.

Bailif mahkamah telah datang ke Kampung Koskan Tambahan pada sekitar pukul 11.15 pagi. Bailif itu memaklumkan bahawa beliau bersedia untuk menangguhkan perobohan rumah sekiranya pihak pemaju bersetuju untuk menangguhkannya. Namun, pada sekitar jam 12.15 tengah hari, pihak pemaju mengatakan bahawa perobohan rumah akan dijalankan ke atas 6 buah rumah yang sudah dikosongkan. Pada awalnya, terdapat 18 buah keluarga yang diheret ke mahkamah. Selepas kalah kes di mahkamah, 6 daripada 18 buah keluarga di situ telah keluar dari rumah mereka selepas menerima tawaran pampasan yang amat sedikit tanpa adanya rumah gantian. Pihak pemaju bertegas untuk merobohkan 6 buah rumah yang kosong itu. Selain itu, bekalan elektrik kepada seluruh kampung telah dipotong oleh petugas daripada syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB). Pada jam lebih kurang 1.30 petang, salah seorang penduduk, Muhamad Nizam, telah menerima notis untuk mengalihkan kendang kambingnya dalam tempoh 7 hari.

Saifuddin bin Shafi Muhammad kemudiannya menyatakan dalam hantaran facebooknya bahawa:

  • Perobohan dan pemindahan ditangguhkan sehingga ke 11 Mei, sementara itu Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Batang Kali akan mencarikan rumah sewa buat 12 buah keluarga;
  • Juga proses pembelian Rumah Selangorku seperti yang dinyatakan Menteri Besar Selangor akan dibincangkan dengan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS);
  • Pemaju dan TNB setuju untuk memasang semula bekalan elektrik yang dipotong untuk memberi laluan perobohan 6 buah rumah yang telah berpindah lebih awal. Sekiranya terdapat perubahan, pihaknya akan meminjamkan genset untuk kegunaan 12 buah rumah. 

Bekalan elektrik yang dipotong untuk memberi laluan kepada perobohan 6 buah rumah kosong itu telah disambung balik pada sekitar jam 5 petang.

Aktivis-aktivis daripada Gabungan Marhaen, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bergegas ke Kampung Koskan Tambahan pada hari ini untuk bersolidariti dengan penduduk-penduduk kampung yang berhadapan dengan ancaman perobohan rumah.

E. Parameiswary, Penyelaras Gabungan Peneroka Bandar – MARHAEN menyatakan kekecewaan Gabungan Marhaen terhadap apa yang berlaku pada hari ini. Sekretariat Gabungan Marhaen mengecam sebarang pengusiran paksa terhadap penduduk-penduduk Kampung Koskan Tambahan kerana tindakan sebegini telah melanggar hak asasi manusia dan hak untuk perumahan.

Gabungan Marhaen juga kecewa kerana pihak Bailif tidak mampu menghentikan perobohan dan pengusiran paksa terhadap penduduk Kampung Koskan Tambahan, dan menyerahkan kuasa memberi kata putus kepada pihak pemaju.

Gabungan Marhaen dan Jawatankuasa Tindakan Tanah Kampung Koskan Tambahan menegaskan tuntutan penduduk kampung, iaitu:

  • Kerajaan Negeri Selangor harus mengaturkan satu mesyuarat bersama dengan semua pihak yang terlibat untuk membincangkan penyelesaian yang sewajar dalam tempoh 7 hari;
  • Sekiranya Kerajaan Negeri Selangor gagal mengaturkan perjumpaan yang diminta oleh penduduk-penduduk Kampung Koskan Tambahan, maka mereka akan membawa isu ini kepada perhatian Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri.

“Kami berharap segala langkah untuk mengusir 12 buah keluarga penduduk Kampung Koskan Tambahan ini diberhentikan dengan serta-merta, dan satu penyelesaian diambil dengan semua pihak yang terlibat. Kita juga berharap pada 11 Mei nanti, tidak akan berlakunya perobohan rumah atau pengusiran paksa oleh pemaju Panca Resmi Sdn Bhd terhadap penduduk-penduduk Kampung Koskan Tambahan,” begitu katanya Parameiswary.

Isu pengusiran yang dihadapi oleh penduduk-penduduk Kampung Koskan Tambahan ini sebenarnya bukan sesuatu yang begitu rumit untuk diselesaikan. Sekiranya Kerajaan Negeri Selangor benar-benar peka pada Nasib masyarakat bawahan, sepatutnya sudah mengambil langkah yang lebih proaktif untuk menyelesaikan kemelut penduduk-penduduk Kampung Koskan Tambahan sebelum berlakunya apa-apa ancaman perobohan rumah. Lebih-lebih lagi, perobohan rumah dan pengusiran paksa terhadap golongan rakyat marhaen tanpa sebarang rumah gantian yang bersesuaian bukannya satu pendekatan yang MADANI!

Maklumat lanjut tentang isu pengusiran paksa yang dihadapi oleh penduduk-penduduk Kampung Koskan Tambahan boleh dibaca di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *