Berikut ialah kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada 2 Mei 2023 mengenai isu pengusiran paksa yang sedang dihadapi oleh penduduk-penduduk Kampung Koskan Tambahan di Daerah Hulu Selangor, Selangor.

Hari ini, kami telah hadir ke Kampung Koskan Tambahan, Serendah, Hulu Selangor, bagi bertemu penduduk kampung yang telah menerima notis untuk mengosongkan kediaman.

Kami menggesa agar rumah-rumah penduduk kampung di Kampung Konkan Tambahan tidak dirobohkan sehingga rundingan selesai. Mereka telah menetap di situ lebih daripada 40 tahun, dan tidak ada tempat untuk ditujui sekiranya dirobohkan. Apa yang lebih menyedihkan, mereka menerima notis mengosongkan tanah ketika umat Islam sedang bersiap menyambut Aidilfitri.

Penduduk memaklumkan bahawa mereka tidak menerima sebarang tawaran seperti yang didakwa oleh Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS), dan sekiranya ada, ia bersifat individu dan bukan dengan wakil penduduk.

Menurut penduduk juga, permohonan hak milik tanah telah dibuat sebanyak dua kali di lot yang sama, dan kedua-duanya ditolak dengan dua alasan berbeza; kali pertama kerana dikatakan ia tanah rizab sungai, namun penolakan kali kedua pula kerana ia tanah milik persendirian. Ini melahirkan kekeliruan dalam kalangan penduduk dan diharapkan agar hal ini dapat diperjelaskan, dengan disertakan kedudukan sebenar lot tanah yang dimaksudkan.

Penduduk kampung bersedia menerima rumah Selangorku seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, namun berharap terdapat perjanjian hitam putih sebelum mereka berpindah keluar. Adalah juga amalan Kerajaan Negeri Selangor sejak tahun 2008 untuk menyelesaikan isu perumahan rakyat B40 sebelum ada pengusiran paksa.

Parti Sosialis Malaysia (PSM), serta Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), akan terus mengekori rapat berkaitan isu ini, dan akan memberikan segala sokongan yang perlu kepada penduduk kampung.

Kami menggesa agar Kerajaan Negeri Selangor campurtangan segera, memberhentikan pengusiran paksa dan memastikan penduduk kampung mendapat pembelaan, sesuai slogan madani yang dianjurkan kerajaan.

==========

Kenyataan bersama ini dikeluarkan oleh S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Amir Hadi selaku Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *