PUTRAJAYA: Jaringan Menyelamat Hutan Simpan Kledang Saiong telah menyerahkan memorandum pada 12 April 2023 kepada Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, untuk mengetengahkan beberapa kesilapan besar yang wujud dalam laporan kajian impak alam sekitar (EIA) mengenai projek ladang hutan di dalam Hutan Simpan Kledang Saiong, Perak.

Jaringan Menyelamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong ialah satu gabungan kumpulan masyarakat madani yang ditubuhkan untuk menyuarakan bantahan terhadap projek pembangunan ladang monokultur di kawasan seluas 4,280 hektar di dalam Hutan Simpan Kledang Saiong, Daerah Kuala Kangsar, Perak.

Turut hadir semasa pertemuan dengan selaku Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim termasuklah Meor Razak daripada Sahabat Alam Malaysia (SAM), Damien Thanam daripada Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Mohd Yusaimi Bin Md Yusof selaku Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Ching Boon Tat daripada Pemantau Lembah Kinta dan Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang juga merupakan urus setia Jaringan Menyelamat Hutan Simpan Kledang Saiong.

Latar belakang isu

Pada bulan April 2022, 4 buah syarikat yang dimiliki oleh seorang individu telah diluluskan satu kawasan seluas 4,280 hektar di dalam Hutan Simpan Kledang Saiong untuk membangunkan projek ladang hutan yang merupakan ladang monokultur. Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak pada masa itu, telah meluluskan permohonan daripada syarikat pemaju untuk menukarkan projek pemuliharaan hutan di situ kepada projek ladang hutan.

Penduduk-penduduk kampung yang berdekatan dengan kawasan projek tersebut, termasuk kampung Orang Asli di Bukit Chermin, Kampung Rambai Tujuh dan beberapa buah kampung yang terletak di Sayong, Kuala Kangsar, telah menyuarakan kerisauan mereka dan membantah projek ladang hutan tersebut. Respon daripada pihak Menteri Besar Perak ialah pengumuman bahawa projek ladang hutan sedang menunggu keputusan daripada Kementerian Alam Sekitar berkaitan laporan EIA yang disediakan oleh Chemsain Konsultant Sdn Bhd. Chemsain Konsultant Sdn Bhd ialah syarikat perunding yang dilantik dan dibayar oleh pihak pemaju projek ladang hutan untuk menyediakan laporan EIA mengenai projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong. Pelancaran untuk projek ladang hutan tersebut dilakukan sebaik sahaja laporan EIA diterima oleh Kementerian Alam Sekitar.

Kelemahan laporan EIA mengenai Projek Ladang Hutan Kledang Saiong

Kumpulan-kumpulan masyarakat madani dan individu-individu yang prihatin pada isu alam sekitar telah meneliti laporan EIA yang disediakan oleh syarikat perunding Chemsain Konsultant Sdn Bhd. Penelitian dan penilaian oleh kumpulan-kumpulan masyarakat madani mendapati bahawa laporan EIA tersebut adalah tidak profesional dan amat berpihak kepada kehendak pemaju, di samping memperkecilkan kesan-kesan negatif kepada alam sekitar dan masyarakat tempatan yang bakal dibawa oleh projek yang menebang habis hampir keseluruhan kawasan hutan seluas 4,280 hektar yang diperuntukkan untuk mewujudkan ladang hutan yang bersifat monokultur (iaitu ditanam dengan sejenis spesies pokok sahaja).

Antara kesilapan dan kelemahan laporan EIA yang dikenal pasti ialah:

1. Jangkaan hakisan tanah yang diragui

Pihak perunding Chemsain Konsultant membahagikan kawasan projek kepada lebih daripada 150 bahagian kecil untuk meramalkan hakisan tanah yang akan berlaku pada setiap peringkat projek – sebelum projek dimulakan, peringkat pembalakan, peringkat penanaman pokok balak baharu dan selepas ladang hutan diwujudkan. Yang amat menghairankan adalah, berdasarkan jangkaan Chemsain Konsultant, kadar penghakisan tanah adalah sembilan kali lebih tinggi sebelum projek dilancar berbanding selepas ladang hutan diwujudkan di kesemua 150 bahagian tanah yang dikaji.

Perkara ini jelas membuktikan bahawa syarikat Chemsain Konsultant menggunakan andaian bahawa keseluruhan 4280 hektar kawasan hutan telahpun dibalak secara intensif sebelum ini dan sekarang merupakan “hutan miskin” (severely depleted forest). Ini jauh daripada realitinya. Kawasan hutan yang diperuntukkan untuk projek ladang hutan tersebut bukannya hutan miskin.

Gambar satelit kawasan cadangan Projek Ladang Hutan Kledang Saiong

2. Risiko banjir tidak dipandang serius

Risiko banjir bagi kampung-kampung berdekatan projek dan di tebing Sungai Perak dan Sungai Pelus tidak diambil serius, sebaliknya diremeh-temehkan. Laporan EIA tidak membangkitkan keperluan untuk memantau pemendapan sungai tempatan dan Sungai Perak atau mengesyorkan pembersihan sungai untuk membuang pasir dari semasa ke semasa.  

Beberapa kampung di tebing Sungai Pelus (sebuah anak sungai kepada Sungai Perak yang kualanya terletak 3 km lebih ke hulu dari lokasi projek perhutanan ini) sedang mengalami banjir tiga atau empat kali setahun, contohnya di Kampung Tok Sirat, Kampung Lintang, dan Kampung Pulau Mentimun. Kekerapan dan keseriusan banjir akan bertambah akibat projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong.

Penduduk-penduduk Kampung Rambai yang terletak satu km dari sempadan selatan kawasan ladang hutan tersebut pernah mengalami banjir teruk apabila satu blok hutan di hulu kampung mereka dilesen untuk pembalakan “selektif”. Mereka amat risau bahawa pelaksanaan projek ini akan menyebabkan banjir yang lebih berbahaya pada masa hadapn. Namun, kerisauan mereka tidak diambil berat oleh pakar perunding Chemsain Konsultant.

3. Pertembungan antara haiwan liar dan masyarakat tempatan

Laporan EIA mengakui bahawa ada kemungkinan besar pelaksanaan projek ladang hutan akan mencetuskan konflik antara binatang liar dan masyarakat tempatan. Tetapi laporan tersebut tidak memberi pandangan sama ada dan bagaimana kerugian yang bakal dialami oleh para penduduk di kampung-kampung yang terbabit akan dibayar pampasan. Isu sumber dana untuk pemulihan dan bayaran ganti rugi kepada orang kampung yang terlibat dalam pertembungan tidak dibincang. Mekanisme untuk mengenal pasti dan menyiasat insiden pertembungan antara binatang liar dan manusia dan untuk menentukan kerugian yang dialami juga tidak dibincang.

 4. Situasi Orang Asli Kampung Bukit Chermin tidak diambil berat

Kampung Orang Asli Kampung Bukit Chermin terletak 0.5 km dari sempadan projek Ladang Hutan dan merupakan kampung terdekat dengan projek ini. Mereka akan mengalamai banyak masalah apabila projek ini dilaksanakan termasuk kehilangan punca pendapatan (hasil hutan), kehilangan punca makanan (binatang buruan, ikan sungai, dan lain-lain lagi), risiko banjir, pencemaran air minuman mereka (300 orang pekerja akan duduk di tapak projek), dan pertembungan dengan binatang liar. Mereka telah memberitahu kepada pihak pakar perunding Chemsain Konsultant bahawa mereka tidak mahu projek ini dilaksanakan.   

Adalah juga harapan masyarakat Orang Asli Bukit Chermin agar sebahagian daripada hutan di sekeliling mereka diwartakan sebagai kawasan hutan simpan khas untuk mereka. Perkara ini tidak dibincang dalam laporan EIA yang disediakan oleh Chemsain Konsultant. Isu pampasan kepada masyarakat orang asli bagi kehilangan punca pendapatan (daripada pengutipan dan jualan hasil hutan) dan sumber protein utama mereka (ikan sungai) pun tidak disentuh.

5. Kehilangan biodiversiti

Laporan EIA mengakui bahawa kehilangan biodiversiti tidak dapat dielakkan jika projek ladang hutan dilaksanakan. Beberapa spesies binatang dan burung yang terlindung akan kehilangan habitat mereka. Fakta ini sendiri merupakan sebab yang kukuh untuk membatalkan projek Ladang Hutan ini. Tetapi Chemsain Konsultant senyap sahaja tentang hakikat ini.

6. Sistem pemantauan dan pemulihan terhadap kesan negatif berkaitan pembangunan ladang hutan yang tidak realistik

Syarikat perunding Chemsain Konsultant mengesyorkan setiap syarikat yang terlibat dalam projek ladang hutan melantik seorang pegawai pembersihan untuk memantau:

  • perangkap kelodak dan kolam kelodak ini supaya ia terus berkesan;
  • pengendalian sisa buangan seperti minyak jentera dan minyak pelinciran bagi memastikan minyak-minyak tersebut tidak memasuki sungai;
  • sistem pembentungan najis bagi lebih daripada 300 orang pekerja yang akan menetap di kawasan projek ini supaya tidak mencemari air sungai yang merupakan punca air;
  • masak/minum untuk orang kampung berdekatan.

Kaedah yang mengharapkan 4 orang pegawai bawahan dalam syarikat pemaju untuk dapat mengawal selia semua isu berkaitan pencemaran yang disenaraikan di atas merupakan satu kaedah yang langsung tidak realistik.

Kumpulan masyarakat sivil gesa Kementerian Alam Sekitar tolak laporan EIA Ladang Hutan Kledang Saiong

Laporan EIA Chemsain Konsultant menunjukkan bahawa syarikat tersebut memang mempunyai kemahiran dalam ilmu mengkaji impak projek terhadap alam sekitar. Chemsain Konsultant memahami formula untuk mengira banyak perkara, umpamanya cara menjangka kadar hakisan tanah. Tetapi malangnya, Chemsain Konsultant menggunakan kepakarannya untuk cuba sedaya upaya menghalalkan satu projek yang tentu akan membawa banyak kesan buruk kepada alam sekitar dan masyarakat tempatan.    

Oleh kerana laporan EIA yang disediakan oleh Chemsain Konsultant mengandung banyak kelemahan dan beberapa perkara penting telah disalah tafsir ataupun tidak dikaji secara serius dan realistik, maka Jaringan Menyelamat Hutan Simpan Kledang Saiong menggesa pada oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim supaya menolak laporan EIA tersebut.

Pertemuan antara Jaringan Menyelamat Hutan Simpan Kledang Saiong dengan Nik Nazmi pada 12 April 2023 telah berlangsung dalam suasana mesra. Nik Nazmi mengatakan bahawa pihaknya akan mengkaji dan memperhalusi kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam penyediaan laporan EIA. Nik Nazmi juga berkata bahawa beliau akan cuba meluangkan masa dalam bulan Mei 2023 untuk meninjau kawasan cadangan projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong, dan juga kawasan ladang monokultur di dalam hutan simpan di Kelantan.

Nik Nazmi berkata bahawa beliau tiada kuasa untuk menghentikan projek-projek yang dicadangkan itu, tetapi Kementeriannya boleh menolak laporan EIA yang bermasalah.

2 thoughts on “Kumpulan alam sekitar ketengahkan kelemahan laporan EIA Projek Ladang Hutan Bukit Saiong

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *