oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

(Berikut ialah kenyataan media PSM yang dikeluarkan pada 14 April 2023 sempena pelancaran kempen “Pencen Warga Emas”.)

Rasional:

Kemiskinan usia tua ialah satu isu masyarakat yang serius yang perlu diberikan keutamaan segera dalam perancangan dasar negara dan pengerahan sumber.

1. Populasi warga emas (berumur 60 tahun dan ke atas) pada masa sekarang ialah 4.1 juta orang. Ini merupakan 12.5% daripada jumlah warganegara kita. Adalah diramalkan bahawa angka ini akan mencecah 5.3 juta orang (15.3%) menjelang tahun 2030 dan 7.0 juta orang (20%) pada tahun 2040.

2. Dianggarkan bahawa 2.3 juta orang atau 56% daripada warga emas di negara kita pada masa ini tidak dilindungi oleh skim pencen kerajaan atau swasta dan/atau skim insurans. Mereka memerlukan bantuan pendapatan bulanan.

3. Pencen bulanan akan membantu dalam menangani cabaran harian yang dihadapi oleh kumpulan warga emas ini dan memastikan mereka hidup secara bermaruah.

4. Populasi dengan umur bekerja (berumur 18-60 tahun) adalah dianggarkan sebanyak 21 juta orang, di mana 15 juta daripadanya berada dalam tenaga kerja. 6 juta orang, dengan kebanyakannya terdiri daripada suri rumah tangga dan pelajar berada di “luar” tenaga kerja. Daripada 15 juta orang ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), hanya 7.6 juta orang merupakan pencarum aktif. Justeru, sebenarnya 13 juta orang warga Malaysia yang berada dalam lingkungan umur bekerja ini tidak mencarum untuk sebarang bentuk skim pencen/simpanan persaraan!

5. Masalah ini diburukkan lagi dengan hakikat bahawa majoriti ahli KWSP tidak akan dapat mencapai simpanan persaraan asas sebanyak RM240,000 yang diperlukan apabila bersara pada umur 55 tahun. Hampir 52% (6.67 juta orang) ahli KWSP di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan di bawah RM10,000, dengan 2 juta orang daripada mereka berada dalam lingkungan umur 40 hingga 54 tahun.

6. Semasa tempoh pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masalah ini bertambah buruk apabila terdapat pengeluaran wang sebanyak RM145 bilion daripada KWSP. Sebahagian besar pengeluaran simpanan wang ini adalah oleh mereka yang mempunyai simpanan terendah.

7. Majoriti besar daripada mereka yang mempunyai simpanan KWSP yang rendah dan mereka yang tiada simpanan KWSP langsung adalah daripada kumpulan berpendapatan isi rumah B40. Mereka tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membekalkan pemakanan dan pendidikan kepada anak-anak mereka, apatah lagi menyokong ibu bapa mereka yang serba kekurangan.

Oleh itu, keperluan untuk melaksanakan skim “Pencen Warga Emas” sejagat adalah amat terdesak.

Cadangan dan pembiayaan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru untuk melaksanakan Skim Pencen Sejagat yang melindungi semua penduduk Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas yang tidak menerima apa-apa pencen kerajaan atau pencen swasta. Cadangan kami ialah setiap orang yang layak patut dibayar dengan pencen RM500 sebulan.

Pada masa ini, terdapat sebanyak 2.4 juta orang penduduk Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas. Lebih kurang 25% daripadanya ialah penerima pencen kerajaan. Skim yang kami usulkan ini akan memanfaatkan 1.8 juta orang warga emas dan akan menelan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM10.8 bilion setahun (1.8 juta orang X RM500 X 12 bulan).

Skim sebegini akan meningkatkan kualiti hidup warga emas kita dengan hebatnya dan membolehkan mereka untuk menjalani usia tua mereka dengan lebih bermaruah. Ia juga akan mengurangkan beban kewangan yang sedang ditanggung oleh anak-anak mereka. Penyuntikan RM10.8 bilion ke dalam ekonomi negara kita akan meningkatkan hasil jualan perniagaan-perniagaan kecil di seluruh negara dan meningkatkan pendapatan peniaga-peniaga kecil di Malaysia.

Kami percaya bahawa negara kita mampu melaksanakan skim ini:

  • Jumlah belanjawan negara kita pada tahun 2023 ialah RM390 bilion. RM11 bilion hanya 2.8% daripada jumlah belanjawan.
  • Menurut Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan, kerajaan boleh menjimat sebanyak RM17 bilion sekiranya kerajaan tidak memberi subsidi bahan api kepada golongan T20. (Astro Awani 28/2/2023) Jumlah subsidi bahan api pada tahun 2022 ialah RM50.8 bilion. Daripada jumlah ini, 35% pergi kepada T20.
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa RM10 bilion boleh dijimatkan sekiranya sistem perolehan kerajaan diperketatkan. (Majlis Dialog Belanjawan 2023 di Kementerian Kewangan – 17/1/2023)

PSM merancang untuk mengadakan dua sesi perbincangan meja bulat sebelum bulan Oktober 2023 untuk mencari ilham bagaimana hasil pendapatan kerajaan dapat dipertingkatkan supaya wujudnya dana yang mencukupi untuk memperkukuhkan perlindungan sosial dan mengurangkan kesan perubahan iklim.

Untuk jangka masa yang panjang, kerajaan perlu memulakan sebuah dana seperti Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk sistem perlindungan sosial yang dipertingkatkan seperti yang diperjuangkan oleh PSM dan banyak lagi kumpulan lain. Dana KWAP telah meningkat daripada geran awal kerajaan sebanyak RM500 juta pada tahun 1991 kepada RM42 bilion pada tahun 2007, dan kepada RM159 bilion pada penghujung tahun 2021. Untuk memulakan sebuah dana baharu, sebahagian keuntungan yang diperolehi oleh Petronas dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain perlu diperuntukkan bagi tujuan ini.

Adalah tidak berguna hanya sekadar bercakap tentang membina sebuah masyarakat yang “penyayang” dan “inklusif”. Kita perlu mengamalkan skim-skim dan program-program yang menjadikan hasrat-hasrat ini satu kenyataan. Skim Pencen Sejagat akan menjadi pelengkap yang amat dialu-alukan dan dihargai untuk jaringan perlindungan sosial di Malaysia.

==========

Dr Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Tandatanganilah petisyen menuntut pelaksanaan skim Pencen Warga Emas di sini.

2 thoughts on “Seruan PSM: Laksanakan Pencen Warga Emas Sejagat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *