oleh Arveent Kathirtchelvan

Keadaan politik di Malaysia, terutamanya akhir-akhir ini, telah berkisar pada memilih gabungan politik yang kurang jahat berbanding yang lain, bukannya gabungan mana yang memang layak mendapat undi. Ramai yang mengundi Pakatan Harapan (PH) berbuat demikian untuk menghalang Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) daripada memperolehi kuasa, bukannya atas sebab menyokong Pakatan Harapan. Kini, terutamanya selepas Pakatan Harapan menerima Barisan Nasional sebagai rakan gabungan utamanya, malah bergerak pantas untuk memulihkan imejnya, sentimen dialihkan untuk menunjukkan gabungan PH-BN sebagai benteng menentang arus hijau PN. Sekali lagi, rakyat Malaysia terpaksa memilih gabungan yang kurang jahat, terutamanya apabila pilihan raya negeri yang akan datang tidak lama lagi.

Kritikan sah terhadap dasar PH, daripada penghinaan terhadap komuniti LGBTQ+ kepada penelitian keterlaluan terhadap filem Mentega Terbang dan kini berubah fikiran dalam menyokong pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), di samping peningkatan konservatisme dalam PH itu sendiri, ditepis dengan ancaman lembaga politik yang bernama PN.

Kita yang marah terhadap kes rasuah Muhyiddin Yassin terpaksa berdepan dengan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan pengaruhnya dalam UMNO diperkukuhkan selepas pengecualian yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri (Saifuddin Nasution daripada PKR) untuk menghalang pertandingan dua jawatan teratas UMNO. Kita masih kekal dalam CPTPP, perjanjian perdagangan bebas yang akan menjejaskan tenaga produktif tempatan terutamanya dalam sektor pertanian, dengan Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri (Liew Chin Tong daripada DAP) menjustifikasikan CPTPP walaupun menghadapi tentangan daripada petani tempatan. Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM), juga dikenali sebagai Akta Sakit Hati, masih terlalu luas interpretasinya, malah berpotensi untuk menyekat kebebasan bersuara. Menteri Komunikasi dan Digital (Fahmi Fadzil daripada PKR) pula menyatakan bahawa ia tidak disalahgunakan. Dalam hal ini, rakyat Malaysia harus berfikir seketika dan bertanya pada diri mereka sendiri, apakah yang mereka inginkan daripada kerajaan PH-BN sekarang?

Kesemua ini kini dibenarkan untuk menghalang PN daripada berkuasa. Tetapi apakah gunanya kuasa jika ia tidak boleh digunakan untuk melaksanakan perubahan-perubahan yang perlu dan telah diperjuangkan sejak beberapa dekad lalu yang juga telah dijanjikan oleh pemimpin dalam kerajaan itu sendiri? Rakyat Malaysia ditegah daripada menanyakan hal ini melalui momokan kebarangkalian kewujudan kerajaan PN. “Tiada pilihan lain selain kami”, PH dan BN seakan-akan berkata. Menurut mereka, hanya ada satu cara rakyat Malaysia menggunakan kuasa politik, iaitu melalui pilihan raya, dan hanya ada satu pilihan munasabah, iaitu PH-BN.

Ini adalah satu pembohongan. Tindakan politik tidak bermula dan berakhir dengan pilihan raya. Rakyat biasa boleh menggunakan kuasa mereka melalui pelbagai kaedah, terutamanya dengan mengorganisasi diri dalam kesatuan-kesatuan dan kumpulan-kumpulan solidariti untuk mendesak perubahan yang diperlukan. Kaedah yang paling berkesan sudah tentunya melalui kesatuan di tempat kerja mereka dan berunding dengan majikan untuk gaji dan keadaan kerja yang lebih baik. Melalui organisasi sebegini, jika berlaku pertikaian, tindakan industri seperti mogok dan piket boleh dijalankan untuk memaksa majikan bertindak. Apabila tokoh-tokoh terkenal seperti Menteri Kesihatan (Dr. Zaliha Mustafa daripada PKR) dan Ahli Parlimen Ipoh Timur (Howard Lee dari DAP) kelihatan suam-suam kuku dalam pandangan mereka terhadap tindakan mogok, adalah lebih penting bagi pekerja untuk mengatur diri mereka sendiri.

Selain itu, individu-individu yang berkongsi fikiran yang sama harus bersatu dan membentuk rangkaian-rangkaian untuk memperjuangan hak mereka sendiri. Rangkaian sebegini boleh berskala besar, contohnya persatuan petani di Malaysia boleh merangkumi ribuan individu dengan perpaduan mereka memberikan mereka kuasa yang besar untuk menuntut perubahan. Persatuan-persatuan lain yang serupa, contohnya dalam kalangan penduduk flat kos rendah, pekerja ladang, pekerja tidak formal dan pelajar universiti juga boleh ditubuhkan. Dengan cara ini, rakyat Malaysia tidak perlu menunggu kitaran pilihan raya seterusnya atau bergantung pada janji-janji wakil rakyat mereka semata-mata.

Pada kebanyakan masa, apa-apa yang dijanjikan tidak dilaksanakan kerana kurangnya tekanan daripada pihak-pihak yang terkesan. Perihal gaji, sebagai contoh, mendapat lebih banyak tekanan daripada para majikan sedangkan gerakan teratur yang serupa daripada para pekerja tidak wujud. Sekiranya rangkaian sedemikian wujud, walaupun kurang perhatian daripada kerajaan, tekanan secukupnya boleh diwujudkan supaya keperluan para pekerja didengari. Inilah demokrasi, rakyat biasa dengan lantang dan tegas memperjuangkan keperluan-keperluan mereka, bukan sekadar berharap pada janji-janji kosong ahli politik.

Di Parti Sosialis Malaysia (PSM), kami memperkasa rakyat marhaen dalam memperjuangkan hak mereka melalui pelbagai kaedah. Yang paling utama, kami mengorganisasi massa melalui fron kami, Gabungan Marhaen. Dalam organisasi ini, kami mempunyai banyak kumpulan yang mewakili pelbagai sektor, termasuk pekerja ladang, pekerja kontrak, penternak, pemandu lori dan peneroka bandar. Kami juga menyokong Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS). Melalui gerakan rakyat ini, kami telah berjaya memenangi banyak kes untuk golongan marhaen dan memberi manfaat secara material kepada mereka dalam pelbagai cara. Hanya untuk para pekerja ladang sahaja, kami telah menggerakkan lebih 60 buah ladang di lima buah negeri dengan ratusan rumah dimenangi.

Sudah tiba masanya rakyat Malaysia menyedari bahawa kebergantungan kita terhadap ahli politik yang bercakap manis, tidak kira betapa progresifnya mereka kelihatan pada mulanya, adalah strategi yang gagal. Saya ingin mengajak semua orang yang sedang membaca ini untuk datang berorganisasi bersama-sama. Sertai kesatuan, atau jika tiada kesatuan untuk anda, wujudkan satu kesatuan. Sertai organisasi yang dipenuhi dengan individu-individu sehaluan untuk memperjuangkan hak anda. Kita harus fahami bahawa politik bukanlah pertandingan untuk populariti dan anda berhak memenuhi keperluan anda. Hanya jika kita mengorganisasi diri kita dan terlibat secara aktif dalam perjuangan, barulah kita dapat pastikan bahawa kita juga akan mendapat tempat duduk di meja bulat. Jika tidak, hanya 222 orang sahaja yang akan bercakap sesama mereka sendiri tentang siapa yang boleh mengendalikan rancangan negara untuk masa hadapan.

==========

Arveent Kathirtchelvan ialah Ketua Pemuda Sosialis PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *