GEOGE TOWN, PULAU PINANG – 22 MAC 2023: Projek pembinaan Jalan Pintasan Ayer Itam – Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang sedang dilaksanakan pada masa sekarang telah menimbulkan kebimbangan masyarakat madani mengenai keselamatan penduduk di sekitar tapak projek dan potensi kesan buruk terhadap alam sekitar. Tragedi yang meragut nyawa seperti tanah runtuh Granito dan Bukit Kukus mungkin berulang lagi di Pulau Pinang, sekiranya tiada tindakan konkrit diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan risiko kejadian yang mengancam nyawa rakyat dan alam sekitar!

Masalah ini telah diketengahkan dalam satu sidang akhbar yang diadakan oleh Penang Forum pada hari ini. Turut hadir dalam sidang akhbar ialah Mohideen Abdul Kader selaku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Meena Raman selaku Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Khoo Salma Nasution selaku Timbalan Presiden Persatuan Warisan Pulau Pinang (PHT), Dr. Lim Mah Hui daripada Penang Forum dan wakil penduduk di kawasan perumahan yang berdekatan dengan projek pembinaan jalan.

Projek pembinaan Jalan Pintasan Ayer Itam – Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang juga dikenali sebagai “Pakej 2”, ialah salah satu daripada 3 pakej pembinaan jalan utama yang dilaksanakan oleh Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, untuk tujuan “meleraikan kesesakan lalu lintas dan menghadapi peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya”, di mana objektif ini ialah sesuatu yang saling bercanggahan – kesesakan lalu lintas berlaku kerana terlalu banyak kenderaan di jalan raya, maka bukankah membina jalan baharu untuk meningkatkan jumlah kenderaan di jalan raya akan memburukkan lagi kesesakan lalu lintas?

Jalan Pintasan Ayer Itam – Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang sepanjang 6 km (dengan 4.2 km jalan bertingkat) yang mempunyai 4 lorong kereta dikatakan akan berfungsi sebagai jalan alternatif antara kawasan utara dan selatan Pulau Pinang, di mana masa perjalanan dari Air Itam yang terletak di tengah-tengah Pulau Pinang ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang terletak di pesisir pantai di timur Pulau Pinang akan dikurangkan dari 40 minit ke 5 minit.

Namun, dengan pembinaan Jalan Pintasan Ayer Itam – Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu telah dimulakan, pelbagai kerisauan telah timbul dalam kalangan penduduk yang tinggal berdekatan dengan tapak projek. Salah satu kebimbangan utama ialah zon penampan keselamatan antara jalan raya dan blok pangsapuri yang berpenghuni di kedua-dua belah jalan raya itu adalah terlalu kecil. Terdapat juga kebimbangan mengenai keberkesanan pelan kawalan hakisan dan mendapan tanah, terutamanya semasa musim hujan yang mungkin terjadinya aliran lumpur dan tanah runtuh yang membahayakan nyawa penduduk di sekitar.

(foto: facebook)

Penang Forum menyatakan bahawa adalah penting untuk mengambil kira langkah-langkah keselamatan kejuruteraan supaya mengelakkan sebarang kemalangan yang boleh membahayakan nyawa mereka yang berada di kawasan itu dan menyebabkan kemusnahan alam sekitar yang ketara.

Pembinaan jalan ini dilakukan di atas lereng bukit yang sangat curam. Penebangan pokok dan pembukaan jalan di kawasan bukit ini mendedahkan kawasan sekitarnya kepada risiko tanah runtuh yang agak tinggi. Sebelum ini, pernah berlakunya insiden tanah runtuh serius yang membawa maut di Pulau Pinang, seperti tanah runtuh di tapak perumahan Granito di Tanjung Bungah pada 21 Oktober 2017 yang meragut nyawa 11 orang pekerja, dan tanah runtuh di tapak pembinaan jalan raya di Bukit Kukus pada 19 Oktober 2018 yang membunuh 9 orang.

Mohideen Abdul Kader mengkritik kerajaan yang terlalu ghairah dalam membina jalan raya baharu untuk meningkatkan lagi bilangan kenderaan di jalan raya, di mana-mana projek-projek ini tidak mempedulikan penduduk-penduduk yang tinggal berdekatan. “Kerap kalinya orang ramai tidak diberitahu sepenuhnya tentang kesan projek-projek pembinaan besar-besaran yang sedang berjalan terhadap alam sekitar dan komuniti mereka sendiri,” ulas Mohideen.

Dr. Lim Mah Hui juga berkata bahawa hanya membina lebuh raya tanpa dasar pengangkutan awam yang proaktif tidak akan memanfaatkan rakyat.

Khoo Salma Nasution mengetengahkan isu ketidaktelusan dan maklumat yang mengelirukan mengenai projek Jalan Pintasan Ayer Itam – Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. Khoo Salma membangkitkan persoalan sama ada projek Jalan Pintasan Ayer Itam – Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu melibatkan pembinaan terowong atau tidak. Menurut Khoo Salma, jika merujuk kepada halaman facebook “Jalan Pintasan Pakej 2: Ayer Itam – Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu”, pelan lebuh raya baharu itu nampaknya mempunyai 3 jalan terowong. “Kami ingin tahu sama ada projek ini mengikut laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) yang diluluskan atau terdapatnya sebarang perubahan terhadap pelan jalan yang asal,” kata Khoo Salma. “Sekiranya terdapat sebarang perubahan, kami ingin tahu sama ada ia telah diluluskan atau tidak, dan apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk mengurangkan sebarang potensi kesan negatif terhadap alam sekitar dan masyarakat sekitar.”

(gambar rajah: facebook)

Wakil penduduk dari kawasan yang berdekatan tapak pembinaan jalan itu mengadu tentang tempoh masa kerja yang panjang di tapak pembinaan itu telah mengganggu kehidupan mereka. Kerja pembinaan yang dijalankan dari pukul 7 pagi hingga 7 malam, telah menimbulkan gangguan dan kesukaran kepada penduduk-penduduk setempat, khususnya golongan warga emas dan mereka yang bekerja shif malam (yang perlu berehat di rumah pada waktu siang). Para penduduk juga bimbang tentang risiko tanah runtuh di kawasan mereka kerana pembinaan yang dijalankan di lereng bukit. Para penduduk turut merungut tentang mereka tidak tahu siapa patut dihubungi untuk menyuarakan kebimbangan mereka.  

Penang Forum membangkitkan beberapa persoalan yang kritikal mengenai projek pembinaan Jalan Pintasan Ayer Itam – Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu:

  • Apakah langkah keselamatan kejuruteraan yang telah diambil untuk memastikan keselamatan penduduk di kawasan yang terkesan?
  • Adakah terowong di jalan berbukit yang dibina itu menggunakan mesin pengorek terowong atau kaedah potong dan timbun?
  • Berapakah luas zon penampan keselamatan antara jalan raya dan blok pangsapuri yang berpenghuni, dan apakah langkah yang telah diambil untuk memastikan keselamatan penduduk sekiranya berlaku kemalangan?
  • Apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk mengawal hakisan dan mendapan semasa musim hujan, dan bagaimana ia akan dipantau dan dikuatkuasakan?
  • Adakah projek pembinaan jalan berbukit ini mengikut reka bentuk jalan seperti yang termaktub dalam laporan EIA yang diluluskan, atau adakah sebarang perubahan terhadap pelan yang asal? Jika terdapat perubahan, adakah ia telah mendapat kelulusan, dan apakah langkah khusus yang perlu diambil untuk mengurangkan potensi kesan negatif terhadap alam sekitar dan masyarakat sekitarnya?
  • Adakah pemantauan berterusan dilakukan terhadap keselamatan dan kesan kepada alam sekitar lanjutan daripada projek pembinaan jalan ini? Jika ya, bagaimanakah ini dijalankan dan berapa kerap ia dilakukan?

Meena Raman berkata bahawa cerun bukit di mana projek pembinaan Jalan Pintasan Ayer Itam – Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dilaksanakan itu adalah lebih curam berbanding Granito dan Bukit Kukus. “Ini ialah satu kawasan yang sensitif. Kerajaan harus bertemu dengan penduduk-penduduk setempat untuk memberi penerangan yang terperinci dan mengemukakan langkah-langkah yang meyakinkan penduduk-peduduk. Jika tidak, para penduduk tidak akan dapat tidur lena,” ulas Meena.

Dr. Lim Mah Hui berkata bahawa mungkin sudah lambat pada masa ini untuk menghentikan projek pembinaan jalan ini sepenuhnya, tetapi kerajaan harus mengambil tindakan migitasi segera untuk menjamin keselamatan penduduk-penduduk tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *