womens-day-protest

8 Mac setiap tahun, menandakan Hari Wanita Antarabangsa. Hari yang bermakna ini didedikasi kepada semua wanita yang telah berjuang untuk menegakkan hak wanita dan kesamarataan gender.

Hari Wanita Antarabangsa mempunyai sejarah asal usul yang radikal dan revolusioner. Hari Wanita Antarabangsa sebenarnya lahir daripada gerakan sosialis lebih seratus tahun dahulu.

Asal usul yang radikal

Pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20, semakin ramai wanita dijadikan pekerja yang diperas tenaga kerja mereka untuk keuntungan pemodal besar dengan perluasan sistem ekonomi kapitalis yang semakin pesat. Pertumbuhan pekerja wanita yang pesat ini membolehkan perkembangan pesat dalam gerakan menuntut hak wanita, khususnya di kalangan wanita kelas pekerja. Di Eropah, Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD), sebuah parti kelas pekerja yang berhaluan kiri pada masa itu, telah membentuk satu gerakan pekerja wanita sosialis di negara Jerman. Satu biro dalam SPD yang dipimpin oleh wanita telah ditubuhkan pada tahun 1891, dengan Clara Zetkin, seorang tokoh kiri Jerman, menjadi pemimpin yang penting dalam organisasi tersebut. Ketika biro wanita SPD ini ditubuhkan, wanita di Prusia Jerman masih dilarang untuk menghadiri mesyuarat politik atau menyertai parti politik.

4754_0
Clara Zetkin (kiri) dalam perhimpunan massa

Clara Zetkin telah berhujah bahawa kelas pekerja tidak akan menang dalam perjuangan pembebasan daripada penindasan kelas tanpa penyertaan wanita. Di bawah pimpinan Clara Zetkin, gerakan wanita pekerja di Jerman telah berkembang dengan pesatnya, dengan keanggotaan wanita dalam SPD bertambah daripada 10,500 orang pada tahun 1907 kepada 150,000 pada tahun 1913. Zetkin memimpin biro wanita SPD sehingga Internasional Kedua (organisasi antarabangsa yang dianggotai SPD) berpecah dalam persoalan sama ada menyokong kerajaan negara sendiri mengambil bahagian dalam Perang Dunia I atau tidak. Zetkin bersama dengan Karl Liebknecht, Rosa Luxemburg, Luise Kähler dan beberapa orang lagi pemimpin SPD menolak dasar SPD yang berjanji pada kerajaan bahawa tidak akan mengadakan sebarang mogok pekerja ketika perang. Zetkin menentang penglibatan negara Jerman dalam perang imperialis, dan menganjurkan persidangan antarabangsa wanita sosialis anti-perang pada tahun 1915 di Berlin. Oleh sebab pendiriannya yang anti-perang, Zetkin pernah ditangkap beberapa kali ketika Perang Dunia I.

Pada tahun 1908, 30,000 orang pekerja kilang baju yang bermogok di New York, Amerika Syarikat, kebanyakannya wanita migran, telah berarak di bandar tersebut untuk menuntut pengurangan jam kerja, kenaikan gaji dan hak untuk mengundi. Mogok tersebut berlarutan untuk 3 bulan dan pekerja memenangi kebanyakan tuntutan mereka. Jawatankuasa Nasional Wanita yang ditubuhkan oleh Parti Sosialis Amerika (SPA) pula menyeru pada masa itu untuk menetapkan satu hari setiap tahun untuk beraksi massa sebagai usaha berkempen untuk hak mengundi wanita. Pada 28 Februari 1909, SPA menganjurkan aksi “Hari Wanita Kebangsaan”. Ketika itu, tercetusnya mogok pekerja dan demonstrasi massa menuntut hak mengundi wanita dan memprotes terhadap layanan yang tidak berperikemanusiaan di kilang-kilang.

Aksi massa di Amerika Syarikat telah mengilhamkan pemimpin sosialis di Eropah untuk menganjurkan apa yang dikenali sebagai Hari Wanita Antarabangsa selepas itu.

Pada 26-27 Ogos 1910, semasa Persidangan Wanita Sosialis Antarabangsa yang diadakan oleh Internasional Kedua di Copenhagen, Denmark, tokoh sosialis Jerman, Luise Zietz telah mencadangkan usul untuk meraikan “Hari Wanita Antarabangsa” setiap tahun dan disokong oleh Clara Zetkin. Persidangan yang dihadiri oleh 100 orang aktivis wanita kiri dari 17 buah negara itu telah bersetuju dengan cadangan tersebut sebagai strategi untuk memperjuangkan kesamarataan dan hak mengundi untuk semua termasuk wanita. Slogan yang digunakan untuk Hari Wanita Antarabangsa pada masa itu ialah “undi untuk wanita akan menyatukan kekuatan kita dalam perjuangan untuk sosialisme.”

Selain membincangkan strategi untuk memperjuangkan hak mengundi sejagat bagi wanita, Persidangan Wanita Sosialis di Copenhagen juga membincangkan perlindungan sosial untuk kaum ibu dan kanak-kanak, termasuk cuti bersalin dan perlindungan kesihatan, persoalan perang dan keamanan, kewajipan wanita untuk menentang chauvinisme, tuntutan untuk kerja 8 jam sehari dan debat tentang kerja waktu malam.

tdih-march08-HD.jpg

Hari Wanita Antarabangsa dan Revolusi Rusia

Alexandra Kollontai, tokoh revolusioner Rusia yang juga merupakan wakil untuk pekerja-pekerja tekstil Saint Petersburg dalam Persidangan Wanita Sosialis di Copenhagen pada masa itu, menulis bahawa, “pertumbuhan gerakan proletariat wanita sepanjang tiga tahun yang lepas ini adalah ketara diperhatikan dalam pembukaan Persidangan Copenhagen. Di Stuttgart (iaitu di mana diadakannya Persidangan Wanita Sosialis yang pertama pada tahun 1907), jumlah delegasi ialah 52 orang, di Copenhagen mereka sudah berjumlah lebih kurang 100 orang dan mewakili 17 buah negara… Parti-parti sosialis dan kesatuan-kesatuan sekerja mempunyai wakil, bersama-sama dengan kelab-kelab, persatuan-persatuan dan kesatuan-kesatuan pekerja wanita yang mengambil pendirian kelas. ”

Pendirian politik yang diambil oleh Zetkin dan Kollontai dalam persoalan gender-kelas, adalah bertentangan dengan kepimpinan parti mereka pada masa itu yang lebih menumpu pada perjuangan kelas, tetapi kedua-dua tokoh kiri ini telah berulang kali menegaskan bahawa pembebasan wanita perlu menjadi sebahagian daripada perjuangan kelas yang lebih luas.

Setahun selepas itu, iaitu pada tahun 1911, Hari Wanita Antarabangsa telah disambut untuk kali pertama. Hari Wanita Antarabangsa yang pertama disambut pada 19 Mac 1911. Tarikh itu dipilih oleh wanita Jerman kerana pada hari yang sama pada tahun 1848, raja Prusia yang menghadapi pemberontakan bersenjata rakyat Jerman pada masa itu, telah menjanjikan banyak reformasi sosial, termasuklah hak mengundi untuk wanita yang masih belum lagi ditunaikan. Sejuta risalah telah diedarkan di seluruh negara Jerman sebelum Hari Wanita Antarabangsa pada tahun 1911. Sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang pertama itu diraikan oleh lebih sejuta orang di Austria, Denmark, Jerman dan Switzerland. Mereka yang berarak pada hari itu telah mengemukakan tuntutan seperti hak mengundi untuk wanita, hak untuk wanita memegang jawatan awam, hak untuk kerja, menghentikan diskriminasi berasaskan seks dan sebagainya. Pada awalnya, Hari Wanita Antarabangsa disambut dengan mogok kerja, perarakan dan protes dengan tuntutan politik yang dianggap sangat radikal pada waktu itu.

Pada tahun 1917, pekerja wanita di ibu negara Rusia pada masa itu, Saint Petersburg (dipanggil Petrograd ketika itu), telah menyambut Hari Wanita Antarabangsa dengan mengadakan mogok kerja dan demonstrasi besar-besaran. Tuntutan yang dibawa dalam demonstrasi adalah “roti dan keamanan”, sebagai bantahan terhadap penglibatan Empayar Tsar Rusia dalam Perang Dunia I dan masalah ekonomi yang diakibatkan oleh pemerintahan Tsar pada masa itu. Golongan pekerja wanita Rusia telah mula menyambut Hari Wanita Antarabangsa sejak tahun 1913.

Demonstrasi Hari Wanita di Rusia pada tahun 1917 telah diadakan pada 23 Februari mengikut Kalendar Julian (iaitu 8 Mac mengikut Kalendar Gregorian), di mana protes besar-besaran akhirnya mencetuskan Revolusi Februari yang menjatuhkan pemerintahan Tsar. Pekerja-pekerja tekstil yang kebanyakannya kaum wanita di Saint Petersburg yang mula bermogok telah menghantar wakil untuk meminta sokongan daripada pekerja yang lain, sehingga mencetuskan mogok besar-besaran, dan kemudiannya semua pekerja turun berdemonstrasi di jalanan sehingga rejim Tsar jatuh. Aksi politik yang hebat sehingga menjatuhkan pemerintahan Empayar Rusia ini, menunjukkan kehebatan perjuangan kaum wanita dalam menentang sistem.

Sambutan Hari Wanita Antarabangsa mencetus revolusi yang menjatuhkan kekuasaan golongan oligarki dan merangsang kebangkitan perjuangan pekerja, itulah semangat asal Hari Wanita Antarabangsa.

Dengan matlamat memperjuangan hak mengundi untuk wanita telah direalisasikan di kebanyakan negara di seluruh dunia, sambutan Hari Wanita Sedunia telah diteruskan sebagai satu hari solidariti antarabangsa bagi wanita dalam perjuangan untuk kesamarataan ekonomi, sosial dan politik.

130612_qa0em_rci-statusquo-karencho_sn635

Sambutan untuk meraikan semangat revolusioner wanita

8 Mac disambut sebagai Hari Wanita secara rasminya oleh Rusia selepas Revolusi Oktober 1917. Vladimir Lenin, pemimpin revolusi Rusia, telah menyahut seruan Zetkin dengan mengisytiharkan Hari Wanita Antarabangsa sebagai hari cuti pada tahun 1922.

Di Sepanyol, berikutan kemenangan Fron Popular dalam pilihanraya pada bulan Februari 1936, Isidora Dolores Ibárruri Gómez, seorang pemimpin Parti Komunis Sepanyol yang terkenal ketika itu, telah memimpin ribuan wanita berdemonstrasi di Madrid pada 8 Mac 1936 dengan seruan mempertahankan Republik Sepanyol Kedua daripada ancaman fasis.

Di negara China, anggota-anggota parti komunis mula menyambut Hari Wanita pada tahun 1922, kemudiannya selepas pembentukan Republik Rakyat China pada tahun 1949, 8 Mac telah diisytihar sebagai hari cuti rasmi dengan pekerja wanita mendapat cuti setengah hari pada hari itu.

Pada tahun 1960-an, tercetusnya gelombang kedua gerakan feminisme di negara-negara Barat, dengan aktivis wanita giat berjuang menentang diskriminasi seks dan mencabar susunan seksis dalam masyarakat patriarki. Pada masa yang sama, menegakkan hak wanita telah menjadi sebahagian daripada politik arus perdana di peringkat antarabangsa.

1975 beijing-conference.jpg

Hari Wanita Antarabangsa diiktiraf PBB

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengumumkan bahawa tahun 1975 disambut sebagai Tahun Wanita Antarabangsa. Pada tahun itu, Persidangan Wanita Sedunia yang Pertama telah diadakan di Mexico City, ibu negara Mexico, dan meluluskan “Deklarasi Mexico tentang Kesamarataan Wanita dan Sumbangan Mereka kepada Pembangunan dan Keamanan”.

Pada tahun 1977, PBB secara rasminya mengiktiraf 8 Mac sebagai Hari Wanita Antarabangsa, dan mengundang negara-negara anggotanya untuk menyambut hari tersebut.

Pada tahun 1979, Perhimpunan Agung PBB telah menerima Konvensyen tentang Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW), satu dokumen antarabangsa penting yang menggariskan hak-hak wanita. Negara Malaysia menandatangani CEDAW pada tahun 1995.

Pada tahun 1980, Persidangan Wanita Sedunia yang Kedua diadakan di Copenhagen, Denmark. Persidangan tersebut telah bersetuju bahawa CEDAW merupakan batu penanda sejarah yang penting untuk perlindungan hak wanita. Persidangan tersebut juga bersetuju bahawa perlunya tindakan dalam 3 bidang: i. akses yang samarata untuk pendidikan; ii. peluang pekerjaan untuk wanita; iii. perkhidmatan kesihatan yang mencukupi untuk wanita adalah penting untuk mencapai matlamat yang digariskan dalam Persidangan Pertama di Mexico.

Persidangan Wanita Sedunia yang Ketiga diadakan di Nairobi, Kenya, pada tahun 1985. Persidangan tersebut telah menggariskan bidang di mana kesamarataan wanita boleh diukur, misalnya langkah-langkah berperlembagaan dan undang-undang; kesamarataan dalam penyertaaan masyarakat; kesamarataan dalam penyertaan politik; dan proses membuat keputusan. Persidangan tersebut juga bersetuju bahawa wanita perlu turut serta dalam semua bidang kegiatan manusia, bukan sahaja bidang yang berkaitan dengan gender.

Pada tahun 1995, Persidangan Wanita Sedunia yang Keempat diadakan di Beijing, China. Persidangan tersebut telah meluluskan Deklarasi Beijing, satu resolusi PBB yang menggariskan prinsip-prinsip kesamarataan antara lelaki dan wanita. Platform untuk Tindakan, satu pelan tindakan yang bersejarah juga dipersetujui oleh 189 buah kerajaan di dunia, memfokus pada 12 bidang kritikal untuk diberi perhatian, dan membayangkan satu dunia di mana setiap wanita boleh membuat pilihan secara bebas, seperti penglibatan dan politik, mendapat pendidikan, mempunyai pendapatan, dan juga hidup dalam masyarakat yang bebas daripada keganasan dan diskriminasi.

14889044161485371155Tanenbaum_Englershesbeautifulwhenshesangryjpg666.jpg

Tiba masanya untuk kembalikan semangat radikal Hari Wanita Antarabangsa

Hari Wanita Antarabangsa disambut di lebih 100 negara di seluruh dunia. Sebanyak 27 buah negara menetapkan Hari Wanita Antarabangsa sebagai cuti umum, termasuk Afghanistan, Kuba, Kemboja, Nepal, Rusia, Vietnam dan Zambia.

Sambutan Hari Wanita Antarabangsa semakin tersasar jauh daripada asal usul politiknya yang radikal, dengan hanya menjadikan hari ini untuk “menghargai pengorbanan wanita” tanpa menyentuh asas susunan masyarakat kapitalis dan patriarki yang mewujudkan ketidaksamarataan gender.

Namun begitu, kita dapat menyaksikan usaha memulihkan semangat radikal Hari Wanita Antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya dengan seruan untuk mogok wanita pada Hari Wanita Antarangsa.

Momentum gelombang baru dalam gerakan feminis semakin hebat, dengan gerakan menentang keganasan gender seperti kempen Me Too dan gerakan Ni Una Menos (Seorang pun tidak boleh kurang), memberi rangsangan kepada perkembangan perjuangan pembebasan wanita dalam era ancaman semakin hebat daripada politik berhaluan kanan yang bersifat patriarki. Tiba masanya untuk kita memulihkan semangat asas Hari Wanita Antarabangsa, iaitu menggerakkan perjuangan kesamarataan gender bersama-sama dengan perjuangan menentang kapitalisme.

2 thoughts on “Hari Wanita Antarabangsa – satu sejarah ringkas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *