Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) pada 8 Mac 2023.

Kami, Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) yang terdiri daripada 16 buah NGO, begitu prihatin berkenaan dengan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dan ingin mempertahankan hutan ini bagi generasi yang akan datang.

Gabungan PHSKLU menyeru pihak Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran YAB Dato’ Seri Amirudin Shari untuk segera bertindak mewartakan semula HSKLU. Perkara ini sudah tertangguh hampir 18 bulan dan sepertinya tiada tindakan proaktif. Sehingga hari ini kawasan seluas 930.93 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang telah dinyahwarta pada 12 Ogos 2021 masih belum diwartakan semula walaupun Kerajaan Negeri Selangor telah memberi jaminan berkali-kali bahawa perkara ini akan dilakukan.

Berikut merupakan garis masa ringkas bagi memahami status semasa HSKLU:

8 Oktober 2021Satu surat telah dihantar kepada YAB Dato’ Seri Amirudin Shari bagi memohon penjelasan berkenaan proses mewartakan semula HSKLU, namun surat tersebut tidak berjawab.
Disember 2021YAB Dato’ Seri mengisytiharkan pewartaan semula HSKLU akan dilakukan menjelang suku pertama tahun 2022.
25 Mac 2022Beliau turut memberi jaminan sekali lagi bahawa HSKLU akan diwartakan semula sebelum Hari Raya Aidilfitri, pada minggu pertama bulan Mei 2022.
8 April 2022Pejabat Menteri Besar Selangor telah mengeluarkan satu kenyataan media di mana Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara dengan kadar segera.
10 Februari 2023YAB Dato’ Seri telah menyatakan sekali lagi di media massa bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor sudah menyatakan bahawa kawasan HSKLU yang dinyahwartakan akan diwartakan semula.

Walau bagaimanapun, sehingga hari ini kawasan seluas 930.93 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang telah dinyahwarta pada 12 Ogos 2021 masih belum diwartakan semula walaupun Kerajaan Negeri Selangor telah memberi jaminan berkali-kali bahawa perkara ini akan dilakukan.

Pihak Gabungan PHSKLU telah membangkitkan isu ini bukan sahaja melalui media sosial malah termasuklah serahan surat kepada YAB Dato’ Seri sendiri. Namun, tiada jawapan yang jelas daripada pihak Kerajaan Negeri Selangor.

Oleh demikian, pada hari ini, Gabungan PHSKLU telah bersepakat dengan tuntutan kepada YAB Dato’ Seri Amirudin Shari untuk segera mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada atau sebelum 31 Mei 2023 (sebelum Pilihan Raya Negeri Selangor berlangsung). Kerajaan Negeri Selangor harus menepati janji.

Wakil daripada PHSKLU menyerahkan surat kepada Pejabat Menteri Besar Selangor pada 8 Mac 2023 dengan seruan kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara dengan segera sebelum Pilihan Raya Negeri Selangor.

==========

Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) terdiri daripada organisasi-organisasi berikut:

  1. Center for Orang Asli Concerns (COAC)
  2. Five Arts Centre
  3. Global Environment Centre (GEC)
  4. Greenpeace Malaysia
  5. Malaysian Nature Society (MNS) Selangor Branch
  6. MISI: Solidariti
  7. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  8. Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA)
  9. Persatuan Kesedaran dan Keadilan Iklim Malaysia (Klima Action Malaysia-KAMY)
  10. Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat
  11. Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera (GRASS) Malaysia
  12. Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA)
  13. Sahabat Alam Malaysia (SAM)
  14. Shaq Koyok, aktivis Orang Asli
  15. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
  16. Treat Every Environment Special Sdn Bhd (TrEES)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *