Pada bulan Januari setiap tahun, golongan elit masyarakat yang kaya raya dan pemimpin kerajaan yang kebanyakannya pro-kapitalis di seluruh dunia akan berkumpul di Davos, sebuah pusat peranginan pergunungan yang terletak di Timur Banjaran Alp, Switzerland, untuk menghadiri persidangan Forum Ekonomi Dunia (WEF). Forum Ekonomi Dunia telah menjadi platform kepada golongan elit sedunia untuk berbincang dan bertukar pandangan tentang situasi serta cabaran yang dihadapi oleh ekonomi sedunia. Dalam erti kata lain, golongan elit kapitalis bersidang setiap tahun untuk berbincang bagaimana mengekalkan kapitalisme global. Forum Ekonomi Dunia di Davos pada tahun ini diadakan pada 16-20 Januari 2023.
Pada tahun ini, golongan elit kaya sedunia bersidang di Davos pada ketika dunia sedang dilanda dengan pelbagai krisis yang mendalam akibat daripada kepincangan intrinsik sistem kapitalis global itu sendiri, termasuk kemelesetan ekonomi sedunia, krisis inflasi yang membawa kepada krisis kos sara hidup, peperangan yang berterusan di Ukraine akibat daripada persaingan geopolitik kuasa besar, kesan pandemik COVID-19 yang belum lagi ditangani sepenuhnya, krisis iklim sedunia yang membawa bencana alam yang semakin serius, dan sebagainya.
Surat daripada segelintir golongan kaya yang berhati nurani
Pada ketika golongan elit kaya sedunia bersidang di Davos juga, sebahagian orang daripada golongan elit kaya ini telah menyeru kepada kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk mengenakan cukai yang lebih banyak ke atas mereka untuk menangani ketidaksamarataan ekonomi yang semakin teruk.
Lebih 200 orang jutawan dan hartawan dari 13 buah negara mengemukakan seruan ini dalam satu surat terbuka yang bertajuk “Kos Kekayaan Melampau” (The Cost of Extreme Wealth). Mereka yang menandatangani surat terbuka ini termasuk Mark Rufallo (pelakon terkenal yang melakonkan watak Bruce Banner / Hulk dalam francais filem adiwira Marvel Cinematic Universe), Marlene Engelhorn (jutawan Austria yang merupakan keturunan Friedrich Engelhorn, pengasas syarikat BASF di Jerman) dan Abigail Disney (pembikin filem dokumentari yang merupakan cucu kepada salah seorang pengasas bersama The Walt Disney Company).
Surat terbuka daripada golongan kaya yang mahu kerajaan sedunia mengenakan cukai ke atas mereka ini berkata, “Kita sedang hidup dalam zaman yang melampau. Kemiskinan semakin meningkat dan ketidaksamarataan kekayaan yang semakin melebar; kebangkitan nasionalisme yang anti-demokratik; cuaca yang melampau dan kemerosotan ekologi; kelemahan mendalam dalam sistem sosial yang kita berkongsi; dan pengecutan peluang untuk berbilion-bilion rakyat biasa untuk memperolehi gaji yang mampu sara hidup.”
“Perkara-perkara yang melampau adalah tidak mampan, selalunya berbahaya, dan jarang sekali diterima untuk masa yang panjang. Jadi kenapa, dalam zaman pelbagai krisis ini, anda terus menerima kekayaan yang melampau?” tanya surat terbuka ini.
“Sejarah untuk lima dekad yang lalu adalah kisah kekayaan tidak mengalir ke mana-mana kecuali menuju ke atas. Dalam beberapa tahun lalu, trend ini telah diperhebatkan lagi. Dalam tempoh dua tahun pertama semasa pandemik, 10 orang yang terkaya di dunia menggandakan kekayaan mereka sementara 99% rakyat melihat pendapatan mereka merosot. Bilionair dan jutawan telah menyaksikan kekayaan mereka meningkat bertrilion-trilion dolar, sementara kos untuk semata-mata hidup sekarang sedang melumpuhkan keluarga-keluarga biasa di seluruh dunia,” begitunya kata-kata daripada mereka yang masih mampu berfikir dan berhati nurani dalam kalangan orang kaya. “Penyelesaiannya adalah jelas untuk dilihat semua. Kamu, selaku perwakilan global kami, harus mengenakan cukai ke atas kami, golongan mahakaya, dan kamu harus mula sekarang.”
“Kekurangan tindakan pada masa sekarang adalah amat membimbangkan. Pertemuan ‘elit global’ di Davos untuk membincangkan ‘Kerjasama dalam sebuah Dunia yang Berpecah-belah’ adalah sia-sia jika anda tidak mencabar punca asas perpecahan ini. Mempertahankan demokrasi dan membina kerjasama memerlukan tindakan untuk membina ekonomi yang lebih adil sekarang juga – ia bukan satu masalah yang boleh dibiarkan kepada anak-anak kita untuk menyelesaikannya. Sekarang ialah masanya untuk menangani kekayaan melampau; sekarang ialah masanya untuk mengenakan cukai ke atas golongan mahakaya,” tegas kata surat terbuka The Cost of Extreme Wealth. “Kenakan cukai ke atas golongan mahakaya dan lakukannya sekarang. Ia ialah ekonomi yang mudah dan masuk akal. Ia ialah pelaburan dalam kebaikan bersama kita dan sebuah masa hadapan yang lebih baik yang kita semua berhak menikmatinya, dan sebagai jutawan, kami mahu membuat pelaburan itu. Apa – atau siapa – yang sedang menghalang anda?”
1% terkaya meraih 2/3 kekayaan baharu sejak tahun 2020
Menurut laporan baharu yang diterbitkan oleh Oxfam International pada 16 Januari 2023, golongan 1% terkaya telah meraih hampir dua pertiga daripada semua kekayaan baharu (bernilai USD 42 trilion) yang dicipta sejak tahun 2020, hampir dua kali ganda berbanding kekayaan yang diperolehi 99% rakyat terbawah di seluruh dunia. Dalam tempoh satu dekad yang lalu, golongan 1% terkaya di dunia telah menguasai lebih kurang separuh daripada semua kekayaan baharu.
Sejak tahun 2020, semasa dunia dilanda pandemik COVID-19 dan krisis kos sara hidup, USD 26 trilion (63%) daripada semua kekayaan baharu yang dihasilkan oleh tenaga kerja sedunia telah dikuasai oleh golongan 1% terkaya, sementara hanya USD 16 trilion (37%) pergi kepada semua orang yang lain di dunia.
Laporan Oxfam yang bertajuk “Survival of the Richest” ini mendedahkan bahawa kekayaan golongan bilionair di dunia sedang meningkat sebanyak USD 2.7 bilion sehari, walaupun inflasi telah mengatasi gaji untuk sekurang-kurangnya 1.7 bilion orang pekerja di dunia (satu angka yang lebih daripada jumlah penduduk India). Seorang bilionair mengaut kira-kira USD 1.7 juta untuk setiap 1 dolar kekayaan baharu yang diperolehi seorang yang berada dalam golongan 90% terbawah.
Syarikat makanan dan tenaga telah menggandakan keuntungan mereka pada tahun 2022, membayar USD 257 bilion kepada pemegang saham yang kaya, sementara lebih 800 juta orang terpaksa tidur dalam kelaparan. Keluarga Walton yang memiliki separuh saham syarikat Walmart, menerima bayaran sebanyak USD 8.5 bilion pada tahun lalu. Gautam Adani, seorang bilionair India yang merupakan pemikik syarikat tenaga utama di dunia, telah menyaksikan lonjakan dalam kekayaannya sebanyak USD 42 bilion (46%) pada tahun 2022 sahaja. Lebihan keuntungan korporat telah menyumbang kepada sekurang-kurangnya separuh daripada inflasi yang berlaku di Australia, Amerika Syarikat dan Britain.
Hanya 4% daripada setiap dolar hasil cukai datang daripada cukai kekayaan, dan separuh daripada bilionair di dunia tinggal di negara yang tiadanya cukai perwarisan harta pusaka ke atas kekayaan yang diturunkan kepada anak-anak mereka. Mereka akan menurunkan kekayaan bebas cukai sebanyak USD 5 trilion kepada waris mereka, satu jumlah yang lebih besar daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seluruh benua Afrika.
Masa untuk golongan mahakaya bayar lebih banyak cukai
Menurut Oxfam, cukai sebanyak 5% ke atas kekayaan golongan bilionair di dunia boleh mengumpul sebanyak USD 1.7 trilion setahun, cukup untuk mengeluarkan 2 bilion orang daripada kemiskinan, membiayai rancangan sedunia selama 10 tahun untuk menamatkan kelaparan, menyokong negara-negara miskin yang dilanda impak perubahan iklim, dan menyediakan perkhidmatan kesihatan sejagat dan perlindungan sosial kepada setiap orang yang hidup di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana rendah.
“Mengenakan cukai ke atas golongan mahakaya dan syarikat korporat besar ialah pintu keluar untuk krisis-krisis yang bertindihan hari ini. Ini masanya kita memusnahkan mitos selesa yang mengatakan bahawa pengurangan cukai untuk golongan terkaya bagaimanapun akan menyebabkan kekayaan mereka ‘menitis’ kepada orang lain. Pengurangan cukai selama 40 tahun untuk golongan mahakaya telah menunjukkan bahawa air pasang tidak dapat mengangkat semua kapal – kecuali hanya kapal mewah,” kata Gabriela Bucher, Pengarah Eksekutif Oxfam International.
Laporan Oxfam juga menunjukkan bahawa kadar cukai ke atas golongan terkaya adalah lebih tinggi pada satu ketika dahulu. Namun, dalam tempoh 40 tahun kebelakangan ini, kerajaan-kerajaan di benua Afrika, Asia, Eropah dan Amerika telah mengurangkan kadar cukai ke atas golongan terkaya. Pada masa yang sama, mereka meningkatkan kadar cukai ke atas barangan dan perkhidmatan, yang ditanggung secara tidak seimbang oleh golongan yang paling miskin dan memburukkan lagi ketidaksamarataan gender. Dalam tahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua, kadar cukai pendapatan persekutuan Amerika Syarikat yang tertinggi pernah mencecah lebih 90% dan berada pada purata 81% antara tahun 1944 hingga 1981. Tahap cukai yang lebih kurang sama juga diamalkan di negara-negara kaya yang lain pada zaman pembangunan ekonomi mereka yang paling berjaya dan memainkan peranan penting dalam perluasan akses kepada perkhidmatan awam seperti pendidikan dan kesihatan. Penghakisan terhadap percukaian progresif merupakan salah satu pendekatan yang diambil oleh kerajaan-kerajaan yang mengamalkan dasar ekonomi neoliberal untuk melindungi keuntungan golongan korporat besar.
Gabriela Bucher berkata, “Mengenakan cukai ke atas golongan mahakaya ialah prasyarat strategik untuk mengurangkan ketidaksamarataan dan menghidupkan semula demokrasi. Kita perlu melakukan ini untuk inovasi. Untuk perkhidmatan awam yang lebih kukuh. Untuk masyarakat yang lebih bahagia dan lebih sihat. Dan untuk menangani krisis iklim, dengan melabur dalam solusi yang melawan pelepasan gila daripada mereka yang terkaya.”
Oxfam menyeru kepada kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk:
- Memperkenalkan cukai kekayaan solidariti dan cukai durian runtuh (windfall tax) secara sekali kutip (one-off) untuk menghentikan pengautan keuntungan yang melampau daripada krisis.
- Meningkatkan cukai secara kekal ke atas golongan 1% terkaya. Misalnya, mengenakan sekurang-kurangnya 60% cukai ke atas pendapatan mereka, dengan kadar yang lebih tinggi lagi untuk mereka yang berpendapatan berjuta-juta dan berbilion-bilion. Kerajaan harus secara khususnya meningkatkan cukai ke atas perolehan modal, yang sekarang ini dicukai pada kadar yang lebih rendah berbanding bentuk pendapatan yang lain.
- Mengenakan cukai ke atas kekayaan golongan 1% terkaya pada kadar yang cukup tinggi untuk mengurangkan bilangan dan kekayaan orang terkaya secara ketara, dan mengagihkan semula sumber-sumber ini.
- Menggunakan hasil daripada cukai-cukai ini untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan dalam sektor-sektor pemecahan ketidaksamarataan, seperti kesihatan, pendidikan dan keterjaminan makanan, dan untuk membiayai peralihan yang adil ke arah sebuah dunia yang rendah karbon.
Perjuangan rakyat untuk keadilan sosial harus diperhebatkan
Dunia kita sedang dilanda pelbagai krisis dan ancaman yang merosakkan kehidupan rakyat jelata. Ancaman yang paling ketara datang daripada kelas sosial yang bersidang di Davos pada bulan Januari setiap tahun. Jika golongan elit masyarakat sedunia yang bersidang dalam Forum Ekonomi Dunia di Davos benar-benar hendak menyelamatkan dunia daripada kehancuran, maka mereka harus menyerahkan kekayaan dan kekuasaan mereka kepada pekerja-pekerja mereka dan rakyat bawahan sedunia – iaitu kelas masyarakat yang benar-benar mempunyai keupayaan dan keterdesakan untuk menangani cabaran yang sedang dihadapi oleh dunia kita.
Pada masa ini, kelas pekerja dan rakyat bawahan sering dipecah-belahkan oleh golongan elit politik yang berkhidmat untuk golongan mahakaya, melalui pelbagai permainan politik yang kotor dan mengundang lebih banyak masalah. Adalah penting untuk kita membina semula kuasa rakyat dari bawah untuk memperjuangkan alternatif kepada sistem kapitalis global yang penuh kepincangan ini. Hanya dengan solidariti kelas bawahan yang terbina daripada gerakan perjuangan rakyat bawahan untuk keadilan sosial, barulah kita dapat mengatasi cabaran pelbagai krisis yang dihadapi dunia hari ini dan membina sebuah masa hadapan yang lebih cerah untuk semua. Kita harus memperhebatkan lagi usaha menggerakkan perjuangan rakyat marhaen untuk keadilan sosial dan kesejahteraan bersama.
One thought on “Kenakan cukai lebih tinggi ke atas golongan terkaya untuk tangani ketidakadilan sosial sedunia”