(gambar arkib)

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

1. Pada bulan September 2022, firma guaman Leon & Lim telah menghantar surat kepada petani-petani di kawasan Chemor, Perak, yang mengarahkan mereka untuk keluar dari kawasan tersebut dengan segera.  Menurut surat itu, petani ialah penceroboh.

2. Kawasan seluas 90 ekar yang diusahakan oleh petani-petani Chemor telah dilupuskan kepada 2 buah anak syarikat Liew Yin Yin Land Sdn Bhd pada tahun 2020. Syarikat-syarikat itu ialah Kinding Maju Sdn Bhd dan Infinite Acres Sdn Bhd.

3. Hakikatnya adalah, kawasan ini telah diterokai oleh petani-petani sejak tahun 1930-an. Selepas tahun 1950, semua petani dipindahkan ke Kampung Baru Tanah Hitam, tetapi mereka diizinkan untuk teruskan dengan aktiviti pertanian pada siang hari.

4. Pada tahun 1980-an, petani di kawasan ini telah ditawarkan pajakan tanah untuk terus menanam sayur-sayuran. Petani-petani di sini berminat untuk meneruskan aktiviti pertanian, dan mereka telah mengisi borang-borang yang diberi serta menghadiri sesi temu duga, tetapi projek persayuran tersebut tidak dilancarkan.

5. Dari tahun 1930-an sehingga 2020 (apabila tanah dilupuskan kepada syarikat swasta), pihak berkuasa tidak pernah mengarahkan petani di kawasan ini untuk menghentikan aktiviti pertanian ataupun mengosongkan tanah walaupun pihak berkuasa mengetahui bahawa petani-petani sedang mengusahakan tanah itu. Ini bermakna terdapat “persetujuan tersirat” (implied consent) daripada pihak berkuasa untuk petani-petani terus bercucuk tanam di situ.

6. Petani-petani di kawasan Chemor membangkitkan persoalan berikut:

  • Apakah asasnya untuk syarikat yang baru mendapat hak milik tanah itu menggelar petani-petani yang sudah lama mengusahakan tanah di situ sebagai “penceroboh”?
  • Mengapa Syarikat Liew Yin Yin Land Sdn Bhd memohon tanah tersebut walaupun sedar tentang kewujudan petani kecil yang mengusahakannya untuk sekian lama?
  • Mengapa Kerajaan Negeri Perak melupuskan tanah tersebut kepada syarikat swasta untuk melaksanakan projek pertanian sedangkan petani-petani yang sedia ada sudah memajukan kebun sayur dan kolam ikan di situ selama lebih 80 tahun?
  • Apakah asasnya untuk Kerajaan Negeri Perak memberi tanah ini kepada sebuah syarikat yang ada hubungan rapat dengan seorang pemimpin MCA walaupun sedar adanya 18 orang petani yang sedang mengusahakan tanah tersebut?
  • Adakah isu keterjamnian makanan negara diambil kira apabila kerajaan Negeri Perak mengambil keputusan untuk melupuskan tanah-tanah persayuran?

**********

Petani-petani di kawasan Chemor telah menyerahkan satu surat kepada Pejabat Menteri Besar Perak pada 13 April 2022, selepas mereka menerima surat daripada syarikat Kinding Maju Sdn Bhd pada bulan Mac 2022 yang mengatakan bahawa ia ialah pemilik untuk tanah yang sedang diusahakan oleh petani-petani di situ. Petani-petani ini kemudiannya mengutus surat kepada pengarah-pengarah syarikat Kinding Maju Sdn Bhd dan Infinite Acres Sdn Bhd pada 4 Julai 2022, dengan seruan kepada pihak syarikat supaya mengekalkan aktiviti pengeluaran makanan dan memajak tanah tersebut kepada petani untuk tempoh masa selama 10 tahun. Petani-petani juga menghantar satu surat kepada pihak peguam Leon & Lim pada 4 Oktober 2022, untuk membalas notis peguam yang bertarikh 21 September 2022.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *