PUTRAJAYA – 29 DISEMBER 2022: Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) menggesa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menyampaikan kerisauan rakyat tentang penyertaan Malaysia ke dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) kepada perhatian Kabinet dan mengkaji semula keputusan ratifikasi CPTPP yang boleh menjejaskan keterjaminan makanan di negara kita.

Satu rombongan yang terdiri daripada wakil FKMM menyerahkan memorandum kepada Mohamad Bin Sabu, Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, pada hari ini, dengan tujuan menyeru pada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan supaya melaksanakan penilaian dan kajian terperinci berkenaan perkara-perkara yang diketengahkan oleh masyarakat sivil mengenai impak ratifikasi terhadap industri makanan dan hak pengeluar makanan (termasuk petani, penternak, nelayan dan sebagainya) di dalam negara kita. Memorandum daripada FKMM ini telah disokong oleh 54 buah organisasi yang terdiri daripada pertubuhan petani, pertubuhan penternak, pertubuhan nelayan, persatuan pengguna, kumpulan alam sekitar, badan hak asasi manusia, pertubuhan sosial dan parti politik. Memorandum tersebut telah diterima oleh Mohamad Bin Sabu sendiri.

Turut hadir bersama semasa penyerahan memorandum ialah Nurfitri Amir Muhammad selaku Ketua Koordinator FKMM, Azlan Awang selaku jurucakap Gabungan Kedaulatan Negara, Chee Yoke Ling daripada Third World Network, Dr. Jeyakumar Devaraj selaku Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Sivarajan Arumugam selaku Setiausaha Agung PSM.

“Perkara yang paling utama yang hendak kami bawa ialah isu berkenaan dengan hak petani yang tidak boleh dicabar untuk menyimpan, berkongsi dan menjual benih,” kata Nurfitri Amir Muhammad, Ketua Koordinator FKMM, semasa menyerahkan memorandum kepada Mohamad Sabu. “Mereka yang bercakap tentang import dan eksport tidak ada hak untuk menafikan hak tradisi petani ini untuk menyimpan, berkongsi dan menjual benih.”

“CPTPP mewajibkan negara kita untuk menyertai Konvensyen UPOV 1991,” ulas Nurfitri. “UPOV 1991 ialah sebuah konvensyen yang memberikan perlindungan dan hak monopoli yang meluas kepada pembiak baka tumbuhan bagi tujuan kononnya menggalakkan pelaburan dan inovasi. Sistem UPOV berat sebelah dan menafikan kepentingan dan sumbangan petani. UPOV menghalang petani melakukan inovasi dan menafikan hak tradisi petani untuk menyimpan, bebas berkongsi dan menjual benih terlindung yang dituai dari kebun mereka sendiri.”

Selain itu, memorandum daripada FKMM juga mengetengahkan isu-isu berikut:

  • Subsidi untuk nelayan boleh disekat jika seseorang nelayan menangkap spesis ikan yang dikategorikan sebagai spesis yang berkurangan kerana terlalu banyak ditangkap. Tidak ada pengecualian berkenaan hal ini untuk nelayan kecil atau nelayan pantai. Peraturan ini tidak adil kerana ia meletakkan kesalahan kekurangan spesis ikan kepada nelayan kecil sedangkan punca utama kepupusan ikan adalah daripada pencemaran dan penggunaan pukat yang diharamkan oleh bot-bot tunda yang besar.
  • CPTPP memberikan keistimewaan perlindungan pemasaran eksklusif selama 10 tahun terhadap agrokimia yang akan menyebabkan harga racun pertanian meningkat tiga kali ganda. Walaupun adalah lebih baik supaya para petani beralih kepada kaedah pertanian alami, perubahan mendadak dalam harga racun kimia boleh menyebabkan petani gulung tikar dengan lebih awal. Para penternak pula akan menanggung kos ubatan veterinar yang lebih mahal akibat daripada undang-undang harta intelek yang lebih ketat berdasarkan bab Harta Intelek dalam teks perjanjian ini.
  • CPTPP mensyaratkan pemansuhan tarif atau cukai import kepada 0% terhadap hampir keseluruhan produk pertanian yang diproses dan belum diproses. Selain memberikan pendapatan kepada kerajaan, tarif import juga adalah sebuah mekanisme untuk melindungi petani, nelayan dan penternak tempatan daripada berlakunya lambakan produk import yang murah dan mungkin juga berkualiti rendah. Tanpa tarif, lambakan import akan berlaku.
  • Dalam CPTPP, permit-permit import yang bertujuan untuk melindungi pengguna dan pasaran tempatan tidak boleh digunakan secara bebas oleh agensi-agensi terbabit seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk melindungi petani dan penternak daripada lambakan import. Contohnya, apabila cili asing yang murah dan berkualiti rendah memenuhi pasaran dan menjejaskan petani tempatan pada masa hadapan, FAMA akan menghadapi sekatan baharu jika hendak membantu mengurangkan import melalui mekanisme sanitari dan fitosanitari.
  • Peluang usahawan tempatan dalam sektor pertanian akan semakin mengecil. Lambakan produk import dan perkhidmatan asing ke dalam negara boleh menyebabkan kilang-kilang dan usahawan-usahawan tempatan gulung tikar. Lambakan produk import akan menggembirakan pengguna pada jangka masa pendek. Namun, tanpa sedar ini akan membunuh pengeluar dan peniaga tempatan sehingga semua keperluan pengguna akan bergantung kepada negara luar.

Chee Yoke Ling daripada Third World Network berkata, “Analisis kos dan faedah yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) langsung tidak mengkaji kesan CPTPP terhadap petani, penternak, nelayan dan usahawan dalam sektor pertanian atau kesannya terhadap pengguna. Kesan CPTPP terhadap keterjaminan makanan negara tidak dinilai dalam analisis kos dan faedah tersebut. Ini ialah satu masalah yang besar. Inilah sebabnya kami datang ke sini pada hari ini untuk meminta pada kerajaan baharu dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan supaya mengkaji semula tindakan ratifikasi CPTPP.”

One thought on “Kerajaan harus kaji semula ratifikasi CPTPP yang jejaskan petani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *