Pada penghujung tahun 2022, marilah kita imbas kembali sepintas lalu sebahagian pergolakan politik dan sosio-ekonomi yang berlaku di dalam negara Malaysia sepanjang setahun yang lalu.

1. PRU-15: Penjajaran semula politik tanah air – Pembentukan Kerajaan Perpaduan dan Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri ke-10

(Tangkap layar dari laman web Astro Awani)

Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang diadakan pada 19 November 2022 yang menyaksikan pertarungan sengit antara tiga gabungan parti politik yang utama menghasilkan keadaan parlimen tergantung untuk kali pertamanya dalam sejarah pilihan raya di negara kita. Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan yang paling teruk dalam sejarahnya. Selepas melalui 5 hari yang penuh dengan ketidaktentuan, Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022, dan terbentuknya Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Ahli Parlimen Bebas. Perikatan Nasional (PN) yang menguasai 74 kerusi dalam Dewan Rakyat menjadi pembangkang utama.

2. Najib masuk penjara

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib Razak bagi kesalahan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta. Keputusan Mahkamah Persekutuan ini menjadikan Najib bekas Perdana Menteri Malaysia pertama yang dimasukkan ke dalam penjara kerana dakwaan jenayah. Seminggu selepas Najib dimasukkan ke dalam penjara, Rosmah Mansor, isteri kepada Najib, telah disabit kesalahan dalam kes rasuah berkaitan projek kuasa hibrid solar dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

3. PRN Johor: BN menang besar tanpa majoriti undi popular

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada 12 Mac 2022 menyaksikan BN memenangi lebih dua pertiga kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor tanpa memperolehi majoriti undi popular. Kemenangan BN-UMNO dalam PRN Johor memberikan keyakinan kepada UMNO untuk mendesak supaya PRU diadakan lebih awal (tetapi menghasilkan keputusan yang teruk untuk BN-UMNO).

4. Protes Tangkap Azam Baki

Aksi protes “Tangkap Azam Baki” diadakan pada 22 Januari 2022 untuk mengetengahkan isu skandal korupsi yang melibatkan Azam Baki selaku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

5. Banjir dan tanah runtuh

Sekali lagi banjir melanda, khususnya di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia, semasa musim monsun. Turut menggegarkan seluruh negara ialah peristiwa tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember 2022 yang meragut nyawa 31 orang.

6. Gaji minimum RM1,500

Selepas desakan demi desakan daripada pelbagai organisasi, termasuk Parti Sosialis Malaysia (PSM), kerajaan akhirnya melaraskan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan mulai bulan Mei 2022. Namun begitu, kelonggaran telah diberikan kepada majikan yang mengupah kurang daripada 5 orang pekerja di mana pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 ditangguhkan, dan penangguhan tersebut dipanjangkan lagi sehingga 1 Julai 2023 selepas Kerajaan Perpaduan ditubuhkan pasca PRU-15. Sementara itu, pekerja-pekerja perkhidmatan sokongan (seperti pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan) di premis-premis kerajaan (termasuk sekolah dan hospital) masih tidak dibayar mengikut kadar gaji minimum baharu oleh kontraktor yang mengupah mereka pada penghujung tahun 2022.

7. Inflasi dan krisis kos sara hidup

Rakyat Malaysia terus dibelenggu dengan masalah kos sara hidup yang meningkat. Masalah inflasi dan krisis kos sara hidup yang melanda negara kita berpunca daripada pelbagai faktor khususnya kegawatan ekonomi berikutan pandemik COVID-19, gangguan kepada bekalan makanan dunia kerana perang di Ukraine dan sifat intrinsik dalam sistem ekonomi kapitalis yang sering mengundang krisis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *