oleh Sivarajan Arumugam

Terdapat banyak komen dan kritikan terhadap rasional Menteri Ekonomi untuk mengawalselia kenaikan harga barang. Rafizi Ramli mencadangkan kepada para pengguna untuk mengurangkan pembelian ayam supaya mengurangkan harganya. Komennya dibalas oleh Carmelo Ferlito, Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Market Education (CME), bahawa inflasi yang meningkat sekarang sebenarnya disebabkan oleh dasar fiskal dan monetari meluas yang diperkenalkan untuk mengurangkan kesan pandemik COVID-19 di mana RM305 bilion (23% daripada KDNK) diperuntukkan pada tahun 2020 dan RM225 bilion (15% daripada KDNK) diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

Kedua-dua diagnosis terhadap masalah ini merupakan perspektif biasa yang dikongsi oleh ahli ekonomi dan pembuat dasar borjuis di mana kesimpulan mereka selalunya terjebak dalam satu daripada dua sudut pandangan sama ada: (1) inflasi disebabkan oleh terlalu banyak wang dalam peredaran (seperti bantuan rangsangan kerajaan kepada rakyat) atau (2) inflasi ialah akibat daripada lebihan permintaan dalam ekonomi apabila pengguna terus membeli walaupun harga adalah tinggi.

Menurut Rafizi, pendulum harga sepatutnya berfungsi seperti yang dibayangkan oleh Adam Smith, apabila permintaan bertambah, harga barang akan meningkat, mewujudkan margin keuntungan yang menarik. Itu akan menginspirasikan lebih banyak pengeluar untuk turut mengambil bahagian dan mula mengeluarkan (membekalkan) barangan tertentu itu sehingga jualannya melebihi permintaan, maka harga akan mula jatuh. Harga dalam sebuah sistem pasaran yang ideal sepatutnya tertarik kepada harga semula jadi tetapi ini jarang berlaku dalam pasaran sebenar yang penuh dengan monopoli dan aktiviti penimbunan.

Kita harus memberi perhatian bahawa inflasi sepanjang tahun 2022 merupakan satu fenomena seluruh dunia, seperti yang kita saksikan di Eropah dan Amerika Syarikat. Oleh itu, punca inflasi tidak boleh disimpulkan dengan cara yang simplistik tetapi ia memerlukan pengambilkiraan pelbagai faktor.

Kejutan pandemik telah menyebabkan kenaikan harga yang ketara pada keseluruhannya, apabila logistik merentasi sempadan terganggu dan rantaian bekalan global gagal. Sistem pengeluaran kapitalis bukannya dibina untuk menahan kejutan seperti pandemik dan perubahan iklim. Selepas sekatan pergerakan dicabut, harga bahan makanan meningkat secara mendadak.

Tidak dapat dinafikan bahawa ia juga disebabkan oleh “permintaan terpendam” di mana pembelian perkhidmatan dan barangan yang ditangguhkan semasa sekatan pergerakan sedang dibelanjakan sekarang, menyebabkan peningkatan dalam permintaan dalam tempoh yang singkat. Sebagai warga Malaysia yang sukakan makanan, banyak keluarga mula makan di luar selepas mereka dipaksa untuk dikurung di dalam rumah semasa beberapa kali kawalan pergerakan dalam tempoh dua tahun. Oleh it,  kedua-kedua peningkatan dalam kos input pengeluaran dan peningkatan permintaan yang mendadak akan menyebabkan lonjakan harga makanan sekarang ini.

Berbalik kepada diagnosis Rafizi dan CME, saya berpendapat bahawa kesimpulan simplistik mereka akan mendatangkan kesan buruk kepada rakyat. Rakyat, khususnya golongan B40, tidak boleh mengubah tabiat pemakanan mereka dalam sekelip mata, kerana daging ayam menawarkan sumber protein yang murah berbanding ikan. Dengan perubahan iklim dan pengurangan dalam stok ikan, sajian ikan merupakan barangan yang mewah untuk bukan sahaja golongan berpendapatan rendah, tetapi juga keluarga berpendapatan menengah. Adalah mudah untuk menasihati orang ramai bahawa mereka patut mencari sumber alternatif, tetapi masyarakat terpaksa membeli pilihan yang sedia ada untuk mereka di pasar atau kedai terdekat yang dapat diakses. Sekiranya pasaran tidak menawarkan pilihan yang lain, mereka akan membeli daging ayam yang mudah diperolehi untuk membekalkan pemakanan yang seimbang untuk anak-anak mereka. Dengan tiadanya peningkatan dalam gaji sebenar, mereka terpaksa mengetatkan lagi tali pinggang mereka dalam perbelanjaan lain yang penting seperti kesihatan atau perumahan supaya dapat menyediakan makanan kepada tanggungan mereka. Bukankah kita sudah terdengar banyak laporan mengenai keadaan menyedihkan dalam hal ehwal kewangan rakyat pekerja seperti kekurangan simpanan untuk kecemasan dan hutang yang terlalu membebankan?

Kesimpulan Carmelo Ferlito juga akan cenderung kepada mencadangkan bahawa untuk mengurangkan peredaran wang dalam pasaran, kerajaan perlu mengurangkan bantuan tunai yang diberikan kepada keluarga-keluarga yang memerlukannya dan mungkin juga menghentikan peningkatan gaji minimum. Pandangan simplistik ini menganggap bahawa apabila rakyat mempunyai kurang wang untuk berbelanja, maka akan kurangnya wang yang mengejar barangan dan ia akan mengurangkan permintaan agregat dan mengekang inflasi. Ini juga merupakan satu tindakan yang mengundang bencana kepada keluarga berpendapatan rendah, menolak mereka lebih jauh lagi ke dalam kemiskinan.

Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan melihat pada penyelesaian yang holistik dan bukannya penyelesaian cepat. Untuk memastikan rakyat dijamin dengan pemakanan yang sihat, barangan makanan haruslah mampu diperoleh. Kita harus mempertingkatkan tahap sara diri tempatan kita secara seriusnya dan bukannya bergantung pada import makanan yang mudah terdedah kepada turun naik harga semasa pandemik, perang (Ukraine) dan bencana iklim. Gaji perlu ditingkatkan dan tidak disekat untuk merangsang ekonomi tempatan, kerana rakyat pekerja ialah pengguna yang berbelanja dalam ekonomi tempatan, bukan seperti golongan bilionair yang melabur dalam instrumen spekulatif kewangan untuk pengumpulan kekayaan mereka sendiri.

Bahagian KDNK yang diterima oleh pekerja kita (pampasan) hanya 34.8% daripada KDNK nominal negara kita pada tahun 2021, mengesahkan bahawa kita masih dibayar kurang untuk nilai yang kita wujudkan untuk ekonomi. Kabinet Anwar Ibrahim harus bekerja secara koheren di mana setiap Kementerian melengkapi sesama sendiri untuk mencapat matlamat mereka. Pengurusan inflasi, kawalan harga, kedaulatan makanan dan misi pembasmian kemiskinan harus diselaraskan ke arah program bersama untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Diterjemah daripada tulisan asal di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *