oleh Jeyakumar Devaraj

Sekarang baru lebih sebulan sejak Malaysia meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang berkuatkuasa pada 29 November 2022 berikutan penyerahan dokumen ratifikasi oleh Azmin Ali ketika dia masih memegang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada bulan September 2022. Walaupun pelbagai memorandum dan rayuan telah diserahkan, Kerajaan Perpaduan PH-BN yang baharu masih tidak menekan butang “jeda” (pause) untuk CPTPP, dan beberapa kumpulan masyarakat madani semakin bimbang.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) membantah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat (AS), Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan sekarang ini CPTPP kerana semua perjanjian ekonomi ini memburukkan lagi ketidakseimbangan dalam masyarakat sekarang dengan memperkukuhkan lagi posisi perniagaan asing yang besar dengan mengorbankan kebajikan rakyat dan alam sekitar. Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) yang termaktub dalam CPTPP hanyalah salah satu contoh amalan berat sebelah yang berpihak kepada pelabur asing.

Peruntukan ISDS memberikan pelabur asing pilihan untuk memintas mahkamah-mahkamah di Malaysia untuk menyaman kerajaan kita dalam salah satu daripada beberapa tribunal antarabangsa sekiranya mana-mana tindakan atau dasar kerajaan menjejaskan keuntungan pelabur asing itu. Peruntukan ISDS dalam perjanjian pelaburan dua hala (BIT) antara Perancis dan Mesir telah digunakan oleh Veolia, sebuah syarikat Perancis yang mendapat kontrak pengurusan sisa buangan di Iskandariah, Mesir, untuk menyaman kerajaan Mesir kerana meningkatkan gaji minimum. Aduan Veolia ialah peningkatan dalam gaji minimum telah mengurangkan keuntungannya dan oleh itu “mengekspropriasi” syarikat tersebut. Mereka menuntut bayaran 175 juta Euro sebagai pampasan. Kes itu berlarutan selama 6 tahun sebelum Tribunal membuat keputusan yang berpihak kepada Mesir. (Ya, memang bagus bahawa Mesir telah menang, tetapi hakikatnya kes itu berlarutan selama 6 tahun mengatakan banyak perkara.)

Dalam nada yang sama, Chevron menggunakan peruntukan ISDS dalam BIT antara AS dan Ecuador untuk menyaman kerajaan Ecuador selepas Chevron diarahkan oleh Mahkamah Agung Ecuador untuk membayar pampasan yang besar kepada komuniti orang asal yang menuduh aktiviti perlombongan Chevron telah mencemarkan sistem sungai di mana mereka bergantung untuk air dan makanan. Chevron berhujah bahawa perjanjian perdagangan bebas yang dilaksanakan itu mewajibkan kerajaan Ecuador untuk memastikan saman seperti ini tidak boleh difailkan terhadap Chevron, dan ia menuntut bahawa pampasan yang diarahkan oleh Mahkamah Agung Ecuador itu ditanggung oleh kerajaan Ecuador. Chevron telah menang dalam kes ini dan turut dianugerahkan kos juga!

Lebih dekat dengan negara kita, pada tahun 2011, syarikat rokok Philip Morris menyaman kerajaan Australia dengan menggunakan peruntukan ISDS dalam BIT dengan Hong Kong. Walaupun ia sebuah syarikat yang berpangkalan di AS, Philip Morris menggunakan anak syarikatnya di Hong Kong untuk menuntut pampasan berjuta-juta dolar bagi kerugian dalam keuntungannya pada masa depan yang timbul daripada ketetapan kerajaan Australia untuk mensyaratkan paket rokok mempamerkan gambar lesi kanser.

Corak yang muncul daripada contoh-contoh di atas mendedahkan sistem nilai yang menyokong perjanjian ekonomi seperti CPTPP – iaitu keuntungan syarikat pelabur besar harus berada di puncak sistem hak, jauh lebih tinggi berbanding kebajikan pekerja biasa (gaji minimum di Mesir), alam sekitar (kes Chevron di Ecuador) dan kesihatan awam (paket rokok). Sudah tentu ini tidak akan dapat diterima oleh semua warga yang berpemikiran betul.

PSM bersetuju bahawa pelabur asing juga mempunyai hak. Adalah tidak adil untuk mengekspropriasi pelaburan mereka, dan mereka patut mendapat bantuan undang-undang jika mereka merasakan bahawa mereka telah dilayan secara tidak adil oleh kerajaan atau rakan kongsi perniagaan tempatan mereka. Namun, kenapa membenarkan mereka untuk memintas mahkamah di negara tuan rumah dan terus pergi kepada tribunal antarabangsa yang merupakan wilayah bagi sesetengah peguam “pemangsa” sangat bijak yang pakar dalam menyaman kerajaan untuk berjuta-juta USD?

PSM berpendapat bahawa hak istimewa yang diberikan kepada pelabur-pelabur asing dalam CPTPP adalah keterlaluan dan memudaratkan kesejahteraan rakyat Malaysia. Justeru, kami bersama-sama dengan organisasi-organisasi masyarakat madani untuk menggesa Malaysia menarik diri keluar daripada CPTPP secepat mungkin supaya penilaian yang mendalam dan seimbang dapat dijalankan mengenai risiko dan manfaat CPTPP. Perkara 4 dalam dokumen CPTPP membenarkan mana-mana negara yang menyertainya untuk menarik diri daripada perjanjian ini dengan memberikan notis 6 bulan. Kerajaan baharu kita boleh menjelaskan bahawa mereka baru mengambil alih kuasa, maka mereka memerlukan sedikit masa untuk menilai semula sebuah dokumen yang merangkumi bidang begitu luas – 30 bab dan pelbagai lampiran yang setebal 2,000 muka surat.

Adalah amat penting untuk Malaysia menyatakan bahawa negara kita berhasrat untuk menarik diri keluar daripada CPTPP sementara kita menjalankan usaha yang sewajarnya, kerana semakin banyak hari berlalu selepas tarikh ratifikasi, semakin tinggi risiko untuk satu atau lebih pelabur yang datang selepas tarikh ratifikasi itu akan menyaman negara kita dalam tribunal antarabangsa dengan alasan bahawa mereka telah melabur di Malaysia kerana peruntukan tertentu dalam CPTPP yang terus ditarik balik kemudian apabila Malaysia keluar daripada perjanjian ini – iaitu mereka boleh mendakwa bahawa mereka telah “ditipu” oleh kerajaan Malaysia. Mereka juga boleh berhujah bahawa mereka mempunyai hak untuk menggunakan peruntukan ISDS kerana peruntukan ini adalah berkuatkuasa semasa mereka membuat pelaburan di sini.

PSM menyeru pada Kerajaan Perpaduan PH-BN supaya mendengar suara rakyat dan mengambil serius tentang isu CPTPP. Tarik diri segera supaya satu analisis kos-manfaat yang betul dapat dijalankan.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *