KUALA LUMPUR – 30 OKTOBER 2022: Pakatan Harapan (PH) telah menolak permintaan minimum daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kerjasama pilihan raya dengan tidak memberi laluan kepada PSM untuk bertanding mana-mana kerusi! Keputusan ini dimaklumkan kepada PSM dalam sepucuk surat rasmi daripada PH yang bertarikh 30 Oktober 2022.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM merangkap Pengarah Pilihan Raya PSM, dengan tiada satu kerusi diberikan, adalah jelas bahawa PH tidak berminat lagi dengan pembentukan pakatan pilihan raya dengan PSM.

“Kami kecewa kerana perkara ini hanya dimaklumkan kepada kami begitu lewat walaupun kenyataaan Rafizi Ramli pada hari Jumaat lalu (28 Oktober 2022) bahawa terdapat 3 kerusi diperuntukkan kepada PSM dan MUDA,” kata S. Arutchelvan. “PSM telah meminta pembentukan satu pakatan pilihan raya dengan PH kerana ia merupakan kehendak ahli-ahli dan penyokong-penyokong kami serta anggota-anggota masyarakat madani bahawa PSM tidak patut bertanding secara sendiri sebaliknya menyertai sebuah gabungan. Selepas menilai semua gabungan parti politik yang sedia wujud – BN, PN dan PH, ahli-ahli PSM memutuskan pada masa itu untuk memulakan proses pembentukan pakatan pilihan raya dengan PH yang merupakan gabungan parti politik yang paling berkepelbagaian etnik dan progresif dalam kalangan tiga gabungan utama itu.”

“PH kemudiannya melalui saluran rasmi bersetuju dengan memulakan proses pembentukan pakatan pilihan raya dengan PSM. Dalam dua mesyuarat yang diadakan antara PH dan kami, PSM mengemukakan permintaan yang sangat minimum.  Kami telah meminta supaya Pengerusi kami, Dr. Jeyakumar Devaraj, diberi laluan untuk bertanding di Sungai Siput kerana beliau merupakan calon yang paling sesuai dan terbaik untuk menang di Sungai Siput,” ulas Arutchelvan lebih lanjut lagi. “Kami juga memberikan dua pilihan kerusi Parlimen yang tidak disandang oleh PH sekiranya PH enggan melepaskan kerusi Sungai Siput. Kami juga meminta 3 kerusi Dewan Undangan Negeri yang disandang oleh BN. Walau bagaimanapun, kami telah menyatakan bahawa kami boleh menerima tawaran mana-mana kerusi Parlimen dan 2 kerusi DUN. Nik Nazmi dan Steven Sim daripada pasukan rundingan PH berkata bahawa isu yang kami bawa ini hanya boleh diselesaikan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang akhirnya memaklumkan kami pada hari ini – 6 hari sebelum hari penamaan calon – mengenai keputusan yang mengecewakan ini.”

“Kami kecewa bahawa tiadanya usaha yang serius daripada PH untuk mempercepatkan proses ini atau mencari jalan walaupun banyak usaha daripada pihak kami. Kami juga sedar bahawa ramai orang yang mengharapkan kami bekerjasama dengan PH akan berasa kecewa,” kata Arutchelvan lebih lanjut lagi. “Kami hanya ingin memberitahu ahli-ahli dan penyokong-penyokong kami bahawa kami sudah cuba. Pakatan pilihan raya ini telah berakhir tetapi bukannya perjuangan kita.”

“PSM melihat Pilihan Raya Umum ke-15 yang hanya 15 hari dari sekarang sebagai pilihan raya yang penting dan pilihan raya yang susah bagi PH kerana keadaan yang sedia wujud dan berasaskan keputusan beberapa pilihan raya negeri yang terbaru. Jadi, kami hendak memobilisasi jentera dan komuniti akar umbi kami menuju usaha ini,” Arutchelvan berkata lagi. “Dengan perkembangan terbaru ini, PSM akan mengadakan satu mesyuarat Jawatankuasa Pusat tergempar pada hari ini (30 Oktober 2022) dan mesyuarat Jawatankuasa Nasional pada hari esok – badan pembuat keputusan yang kedua tinggi dalam PSM untuk memutuskan tindakan kami yang seterusnya berdepan dengan PRU-15.”

5 thoughts on “PH enggan lepas kerusi kepada PSM: Pakatan pilihan raya PSM-PH temui jalan buntu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *