TAPAH, PERAK / REMBAU, NEGERI SEMBILAN – 5 NOVEMBER 2022: Dua orang calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 menghadapi perlawanan 5-penjuru di kawasan masing-masing.

Proses penamaan calon telah berlangsung pada hari ini untuk pemilihan wakil rakyat bagi 222 buah kerusi Parlimen dan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri di 3 buah negeri (Perlis, Perak dan Pahang). Pilihan Raya Kecil untuk kerusi DUN Bugaya di Sabah juga berlangsung serentak dengan PRU-15.

PRU-15 menyaksikan persaingan yang sengit. Tiada satu kerusi menang tanpa bertanding. Menurut maklumat yang dipaparkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 945 orang calon bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen. Sebanyak 206 orang bertanding menggunakan logo Pakatan Harapan (PH), 178 orang bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN), 148 orang bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN), 116 orang bertanding sebagai calon Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG), 52 orang calon daripada Parti Warisan, dan 31 orang calon mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS). Namun, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang bergabung dalam PN bertanding dengan menggunakan logo parti sendiri di 22 kawasan Parlimen (14 di Kelantan dan 8 di Terengganu), sementara Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang bergabung dalam PH pula bertanding dengan logo sendiri di 8 kawasan Parlimen (semuanya di Sarawak). Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang membentuk pakatan pilihan raya dengan PH bertanding dengan logo sendiri di 6 kawasan Parlimen.

Parti-parti politik lain yang bertanding termasuk Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang bertanding di 16 kerusi Parlimen, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding sebanyak 13 kerusi Parlimen, Parti Sarawak Bersatu (PSB) bertanding untuk 10 kerusi, dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) bertanding untuk 5 kerusi. Selain itu, terdapat sebanyak 108 orang bertanding sebagai calon bebas.

Dalam pertandingan untuk kerusi DUN di 3 buah negeri pula, sebanyak 64 orang calon merebut 15 kerusi DUN Perlis, 220 orang calon bersaing untuk 59 kerusi DUN Perak, dan 150 orang berlawan untuk 42 kerusi DUN Pahang.

Pertandingan 10-penjuru berlaku di kawasan Parlimen P115 Batu menjadikan ia tempat dengan perlawanan paling sengit, sementara persaingan paling sengit untuk kerusi DUN ialah pertandingan 7-penjuru di kawasan DUN N47 Chenderiang di Perak dan Pilihan Raya Kecil kawasan DUN Bugaya di Sabah.

PSM bertanding hanya 1 kerusi Parlimen, iaitu P131 Rembau yang terletak di Negeri Sembilan, dan meletakkan seorang lagi calon untuk bertanding di kawasan DUN N48 Ayer Kuning di Perak.

Tinagaran Subramaniam, calon PSM untuk kerusi Parlimen Rembau.

S. Tinagaran, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Tina, bertanding sebagai calon PSM di kawasan Parlimen P131 Rembau. Cikgu Tina berdepan dengan calon-calon daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG).

5 orang calon bagi kawasan Parlimen Rembau ialah:

  1. Hj. Nazree Yunus (PN-BERSATU)
  2. Mohamad Hassan atau dikenali sebagai Tok Mat (BN-UMNO)
  3. Jufitri Joha (PH-PKR)
  4. Tinagaran Subramaniam atau dikenali sebagai Cikgu Tina (PSM)
  5. Ramly bin Awalludin (PEJUANG)

Terdapat sebanyak 133,551 orang pengundi berdaftar yang layak mengundi di kawasan Parlimen Rembau dalam PRU-15. Cikgu Tina, satu-satunya calon PSM untuk kerusi Parlimen dalam PRU kali ini, ialah calon yang bernombor 4 di atas kertas undi kawasan Parlimen Rembau. Cikgu Tina bertembung dengan gergasi politik Tok Mat yang merupakan Timbalan Presiden UMNO.

Bawani KS, calon PSM untuk kerusi DUN Ayer Kuning di Perak.

Bawani KS turut menghadapi perlawanan 5-penjuru di kawasan DUN N48 Ayer Kuning di Perak. Bawani juga berdepan dengan calon-calon daripada BN, PH, PN dan PEJUANG.

5 orang calon bagi kawasan DUN Ayer Kuning ialah:

  1. Haji Ishsam Haji Shahruddin (BN-UMNO)
  2. Mohd Nazri Hashim (PH-AMANAH)
  3. Muhammad Noor Farid Zainal atau dikenali sebagai Uztaz Farid (PN-PAS)
  4. Maziah Binti Salim (PEJUANG)
  5. Bawani KS (PSM)

Jumlah pengundi berdaftar yang layak mengundi di kawasan DUN Ayer Kuning ialah 31,940 orang. Bawani KS merupakan calon yang bernombor 5 di atas kertas undi kawasan DUN Ayer Kuning.

Di luar pusat penamaan calon di Tapah, Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional PSM, turut hadir bersolidariti dengan Bawani KS yang dicalonkan untuk bertanding di kawasan DUN Ayer Kuning, salah satu kawasan DUN di bawah kawasan Parlimen Tapah. “Berbanding dengan calon parti lain, calon PSM akan lebih memfokus pada membawa isu-isu rakyat marhaen, seperti hak tanah adat komuniti orang asli, pembinaan rumah sewa beli untuk golongan B20, usaha menghentikan pengusiran terhadap petani-petani yang mengeluarkan makanan dan sebagainya,” kata Dr. Jeyakumar. “PSM bekerja secara rapat dengan rakyat biasa. Apabila kita adanya wakil rakyat daripada PSM masuk ke dalam Parlimen atau DUN, isu-isu rakyat biasa ini akan dapat didengar di dalam dewan.”

Berbeza dengan parti politik lain yang hanya mengerahkan penyokong-penyokong parti untuk hadir bersorak semasa penamaan calon, mereka yang hadir memberi sokongan kepada calon PSM termasuklah rakyat marhaen daripada pelbagai sektor seperti pekerja kontrak, pekerja ladang, petani, aktivis sosial dan sebagainya. Ini juga kenapa PSM menggunakan slogan “Pilih Suara Marhaen” dalam kempen pilihan raya umum kali ini, dengan hasrat membawa suara rakyat marhaen yang lebih lantang ke dalam Parlimen Malaysia dan DUN Perak.

S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM, pula hadir bersolidariti dengan Tinagaran yang bertanding di kawasan Parlimen Rembau. “PSM memilih untuk bertanding di Rembau kerana ia ialah kubu paling kuat bagi UMNO di Negeri Sembilan. Sebagai sebuah parti yang dinamik dan berani dalam perjuangan, PSM bersedia menghadapi cabaran yang besar ini,” kata S. Arutchelvan. “PSM yang sentiasa memperjuangkan nasib rakyat marhaen bertekad untuk membawa suara marhaen ke dalam Parlimen!”

Berikut ialah sepintas lalu suasana semasa penamaan calon di Rembau dan Tapah yang disertai oleh PSM:

**********

Rembau, Negeri Sembilan

**********

Tapah, Perak

One thought on “Perlawanan 5-penjuru di kawasan PSM bertanding

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *