KUALA LUMPUR – 20 APRIL 2022: Gabungan Darurat Iklim Malaysia (GDIMY) menggesa kerajaan di semua peringkat, dari Persekutuan hingga ke Negeri dan Tempatan, untuk mengisytihar Darurat Iklim selewat-lewatnya pada Hari Malaysia tahun ini, iaitu 16 September 2022. Seruan ini dibuat oleh GDIMY dalam sidang akhbar pelancaran Surat Perisytiharan Darurat Iklim yang diadakan pada hari ini.

Mereka yang hadir dalam sesi sidang akhbar hari ini termasuk Ili Nadiah Dzulfakar daripada Klima Action Malaysia (KAMY) yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa GDIMY, Shariffa Sabrina Syed Akil selaku mantan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), Shereen Abigael yang merupakan seorang aktivis masyarakat Orang Asli Temuan, dan Adrian Banie Lasimbang yang merupakan seorang aktivis komuniti di Sabah.

GDIMY ialah sebuah gabungan organisasi masyarakat sivil dan individu yang ditubuhkan pada bulan April 2021 untuk menangani respon Malaysia terhadap darurat iklim global melalui tindakan yang segera dan bersepadu. GDIMY menuntut kepada Kerajaan Malaysia dan semua sektor dalam negara ini untuk mengisytihar darurat iklim bagi mengekalkan pemanasan dunia di bawah 2oC dengan usaha proaktif untuk membendung pemanasan dalam lingkungan 1.5oC. Sehubungan itu, tindakan yang diambil mesti menggabungkan penyelesaian iklim yang saksama dan daya tahan ke dalam semua sektor dan rancangan pembangunan, dengan tumpuan khusus pada sektor terdedah yang paling berisiko bahaya.

Surat Perisytiharan Darurat Iklim ialah sebuah dokumen dengan 46 muka surat yang dihasilkan selepas perundingan dengan pelbagai kumpulan daripada pelbagai latar belakang. “Dokumen ini amat penting pada masa sekarang untuk memastikan kerajaan kita bertanggungjawab dan bertindak segera dalam mengisytiharkan Darurat Iklim,” kata Ili Nadiah.

“Krisis iklim ini bukan sekadar perubahan pada iklim tetapi ia ialah masalah sistem… Ketidakadilan dalam sistem ini telah mencipta satu ruangan untuk satu bentuk ekonomi yang sangat merugikan planet dan juga rakyat. Jadi, kalau kita berterusan dengan sistem yang sama, kita tidak mungkin akan dapat mengatasi ancaman krisis iklim ini,” ulas Ili Nadiah.

“Sudah tiba masanya untuk Malaysia mengambil langkah mengisytihar Darurat Iklim, kerana sudah adanya 23 buah negara (dengan Kesatuan Eropah dianggap sebagai satu negara) telah mengisytiharkan Darurat Iklim, termasuk negara Bangladesh dan Singapura,” kata Shereen Abigael semasa pelancaran Surat Perisytiharan Darurat Iklim.

Terdapat 12 tuntutan yang terkandung dalam Surat Perisytiharan Darurat Iklim, dengan tuntutan yang paling utamanya ialah mengisytiharkan Darurat Iklim di peringkat kerajaan tempatan, negeri dan persekutuan di Malaysia selewat-lewatnya 16 September 2022, dengan disertakan Rangka Kerja Tindakan. Selain itu, GDIMY juga menuntut supaya:

  • Pastikan Rangka Kerja Tindakan untuk Perisytiharan Darurat Iklim adalah berasaskan prinsip, mengutamakan planet dan rakyat;
  • Menginstitusikan mekanisme dan proses tadbir urus yang bersepadu, kebolehsertaan, saksama dan berasaskan hak untuk Darurat Iklim;
  • Menegakkan Hak Rakyat untuk Maklumat berkenaan Krisis Iklim;
  • Menumpukan semua sumber yang diperlukan untuk pelaksanaan penuh Pelan Adaptasi Nasional yang holistik, saksama dan kukuh untuk Malaysia yang mengambil kira hak asasi manusia dan unjuran senario masa depan saintifik terkini;
  • Jadikan Ketahanan Komuniti sebagai keutamaan kekal dalam semua pelan mitigasi dan adaptasi, dengan menyedari bahawa daya tahan terhadap kesan iklim tidak akan dapat dicapai tanpa pemerkasaan dan pendayaan komuniti;
  • Mengutamakan kedaulatan makanan Malaysia dengan memastikan keselamatan makanan yang lengkap bagi Malaysia untuk bersedia menghadapi kesan iklim semasa dan akan datang dengan mengubah hala tuju dasar ke arah agroekologi dan menjauhi pertanian perindustrian;
  • Mengutamakan kedaulatan air Malaysia dengan memastikan keselamatan dan daya tahan air yang lengkap untuk Malaysia memandangkan kejadian kemarau dan gelombang haba diramalkan meningkat dengan ketara di Asia Tenggara;
  • Kenal pasti bahawa Darurat Iklim adalah Darurat Kesihatan dan komited kepada sistem kesihatan rendah karbon, berdaya tahan, mampan dan saksama untuk Malaysia melalui dasar iklim sihat dan kepimpinan dalam penjagaan kesihatan;
  • Komited untuk melindungi biodiversiti Malaysia yang unik dengan mengisytiharkan 55% atau lebih kawasan tanahnya sebagai hutan simpan darat, dan 30% hutan daratan yang diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya, dan 30% perairan marin sebagai Taman Laut, sambil menegakkan hak Orang Asli dan komuniti tempatan untuk memiliki dan mengurus kawasan perlindungan mengikut adat dan amalan lestari dan tradisi Orang Asli;
  • Mulakan trajektori penyahkarbonan pantas untuk Malaysia dengan pemansuhan bahan api fosil secara berperingkat dan penggunaan 100% tenaga boleh diperbaharui untuk penjanaan elektrik untuk seluruh Malaysia menjelang tahun 2035 dan memastikan daya tahan tenaga dan keadilan tenaga;
  • Segera sediakan Sistem Ekonomi Pekeliling yang regeneratif menuju ke arah “Sisa Sifar”, yang merangkumi penghapusan sepenuhnya produk dan pembungkusan tidak-terbiodegradasi-sekali-pakai menjelang tahun 2024 dan sistem pengurusan sisa untuk semua jenis sisa yang bebas toksik, karbon rendah, berdaya tahan, mampan dan saksama.

“Mengisytiharkan Darurat Iklim ialah tindakan yang diambil oleh kerajaan-kerajaan untuk mengakui bahawa manusia berada dalam keadaan darurat disebabkan oleh kadar pemanasan global yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan tindakan segera diperlukan untuk membendung atau menghentikan perubahan iklim dan mengelakkan kerosakan yang mungkin tidak dapat dipulihkan akibat daripadanya,” seruan dalam Surat Perisytiharan Darurat Iklim. “Malaysia perlu proaktif dan menangani kemelut ini sebagai darurat. Dengan melakukan tindakan yang kurang, ia akan menjadi ketidakadilan yang tidak boleh dimaafkan ke atas generasi rakyat Malaysia semasa dan akan datang. Menangani Darurat Iklim dan meletakkan negara pada laluan yang transformatif, rendah karbon, berdaya tahan, inklusif dan saksama juga akan membolehkan Malaysia melaksanakan pemulihan yang sihat daripada COVID-19 dan membina ke hadapan dengan lebih baik.”

Surat Perisytiharan Darurat Iklim yang dikemukakan oleh GDIMY ini mendapat sokongan daripada organisasi-organisasi seperti Klima Action Malaysia (KAMY), Greenpeace Malaysia, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA), Five Arts Centre, Malaysian Progressives in Australia (MPOZ), Sahabat Alam Malaysia (SAM), Kumpulan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Alliance Of River Three dan Environmental Protection Society Malaysia (EPSM).

Baca teks penuh Surat Perisytiharan Darurat Iklim dalam Bahasa Melayu di sini dan Bahasa Inggeris di sini.

Anda boleh menyatakan sokongan kepada Surat Perisytiharan Darurat Iklim ini di sini.

3 thoughts on “GDIMY gesa isytihar Darurat Iklim selewat-lewatnya Hari Malaysia 2022

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *