Ratusan ribu petani dan pekerja di India berganding bahu untuk mengadakan aksi mogok besar-besaran di seluruh negara itu pada 25 September 2020 dalam gelombang demonstrasi terbaru, untuk membantah tiga rang undang-undang yang diluluskan secara tergesa-gesa dalam parlimen dalam seminggu yang lalu. Petani-petani berprotes kerana rang undang-undang yang dibawa oleh kerajaan BJP di bawah pimpinan Narendra Modi itu merupakan serangan secara langsung terhadap golongan petani, di mana undang-undang tersebut hanya akan menguntungkan syarikat korporat dengan mengorbankan kehidupan rakyat bawahan kerana harga hasil pertanian akan terjejas dan keadaan kerja semakin tidak terjamin.  

Mereka yang berprotes membuat sekatan jalanraya dan landasan keretapi untuk membantah undang-undang baru yang anti-petani. Di negeri Punjab dan Haryana yang terletak di Utara India di mana ditanamnya kebanyakan gandum di dalam negara India, petani-petani telah lantang bersuara membantah pertanian kontrak dan penyahkawalseliaan harga.

Petani-petani India telah bermobilisasi di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Petani Seluruh India, sebuah organisasi yang menggabungkan lebih 250 kumpulan petani di negara itu.

Tiga rang undang-undang yang dibantah oleh petani-petani India itu ialah:

  • Rang Undang-undang Perdagangan dan Perniagaan Pengeluaran Petani (Promosi dan Pemudahan) 2020;
  • Rang Undang-undang Perjanjian Jaminan Harga dan Perkhidmatan Pertanian Petani (Pemberdayaan dan Perlindungan) 2020;
  • Rang Undang-undang Komoditi Penting (Pindaan) 2020.

Rang undang-undang tersebut diluluskan dalam Lok Sabha (Dewan Rakyat India) pada 17 September 2020, dan kemudiannnya diluluskan dalam Rajya Sabha (Majlis Negeri-negeri yang merupakan dewan atas Parlimen India) pada 20 September 2020. Rang undang-undang tersebut dibentangkan dalam kedua-dua dewan dalam keadaan tergesa-gesa, dan diluluskan tanpa kehadiran wakil rakyat parti pembangkang.

“Pembaharuan” undang-undang dalam sektor pertanian yang dibawa oleh kerajaan Modi di India ini akan melonggarkan peraturan berkaitan dengan penjualan, perhargaan dan penyimpanan hasil pertanian. Undang-undang tersebut menyebabkan petani-petani miskin di India terdedah lebih lanjut lagi kepada ancaman kuasa pasaran yang didominasi oleh golongan kapitalis mahakaya, memusnahkan peluang petani untuk mendapatkan harga yang berpatutan bagi hasil pertanian mereka, di samping memberi lebih ruang kepada syarikat korporat untuk menembusi dan memainkan peranan yang lebih besar dalam sektor pertanian.

Kerajaan Modi cuba mempertahankan rang undang-undang yang diluluskan secara tergesa-gesa dalam Parlimen ini, dengan mengatakan bahawa rang undang-undang tersebut akan meningkatkan pelaburan swasta dalam sektor pertanian, di mana ia akan menjana 15% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk India. Namun, tindakan kerajaan Modi telah dikritik dan dikecam oleh parti-parti pembangkang dan organisasi-organisasi sosial.

Undang-undang baru ini membenarkan peniaga besar membeli hasil pertanian dalam kuantiti yang lebih besar daripada apa yang dibenarkan dalam pasar borong milik kerajaan. Kerajaan Modi mengatakan perubahan ini akan memanfaatkan petani-petani kerana membolehkan mereka mendapatkan harga yang lebih baik melalui ekonomi pasaran bebas. Namun, “manfaat” yang sepatutnya dinikmati oleh petani ini telah dipertikaikan oleh petani-petani sendiri. Golongan petani merupakan sebahagian daripada kumpulan masyarakat yang paling miskin dan paling tertindas di India, dengan ribuan petani kecil membunuh diri setiap tahun kerana mereka tidak mampu membayar hutang yang membebankan. Gerakan petani telah menyatakan bahawa pembaharuan yang pro-pasaran ini akan merampas kuasa tawar-menawar petani apabila menjual hasil pertanian mereka kepada golongan korporat.

Vijoo Krishnan, setiausaha Kesatuan Petani Seluruh India (All India Kisan Sabha, AIKS) berkata, “Rang undang-undang anti-petani yang diperkenalkan oleh kerajaan Modi merupakan undang-undang yang memberikan kebebasan kepada golongan korporat besar seperti Adani dan Ambani untuk merompak petani-petani… Undang-undang yang diperkenalkan ini akan menghapuskan pilihan penjualan tempatan bagi petani. Mereka juga akan secara beransur-ansur menghentikan harga sokongan minimum oleh kerajaan (di mana kerajaan membeli hasil pertanian pada harga jualan minimum yang terjamin). Undang-undang ini akan membawa negara ini menuju ke arah penyorokan, pasaran gelap dan pertanian kontrak korporat pada skala besar-besaran. Ini kerana undang-undang ini memberikan kebebasan kepada penyorok dan pengusaha pasaran gelap, sementara rakyat biasa akan menghadapi peningkatan hebat dalam harga tanaman makanan dan hasil pertanian yang lain. Untuk menentang semua ini, petani-petani bersatu hati turun ke jalanan di seluruh negara.”

“Petani-petani akan dimusnahkan. Kita tidak akan membenarkan kerajaan menukar petani kepada hamba abdi untuk dunia korporat,” kata Hannan Mollah, anggota Politbiro Parti Komunis India (Marxis) yang juga merupakan pemimpin Kesatuan Petani Seluruh India (AIKS).

Petani-petani India telah lama berprotes tetapi kerajaan Modi yang berhaluan kanan tetap enggan mempedulikan krisis pertanian yang semakin teruk di negara itu. Petani-petani India akan terus bermobilisasi untuk mempertahankan kehidupan mereka daripada ancaman golongan korporat.

5 thoughts on “India: Protes bantah undang-undang anti-petani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *