Protes besar-besaran di Perancis berjaya memaksa kerajaan pimpinan Presiden Emmanuel Macron untuk menggugurkan rang undang-undang yang penuh kontroversi.
Bandar-bandar utama di seluruh Perancis, seperti Paris, Lyon, Rennes, Tours, Montpellier, Nantes, Toulouse, Pau dan sebagainya, dilanda gelombang protes khususnya pada 28 November 2020, dengan rakyat turun ke jalanan untuk menyatakan bantahan mereka terhadap rang undang-undang yang mengharamkan pengambilan gambar atau video anggota polis dan meningkatkan pengawasan daripada pihak berkuasa.
Mobilisasi besar-besaran yang terbaru ini merupakan satu kebangkitan yang hebat selepas sekatan aktiviti politik yang berlarutan untuk beberapa bulan kebelakangan ini di Perancis berikutan penularan wabak COVID-19. Ramai anak muda telah mengambil bahagian dalam aksi demonstrasi. Pelajar-pelajar sekolah menengah, pelajar-pelajar universiti dan anak-anak muda dari kawasan kejiranan golongan pekerja, berprotes untuk membantah keganasan polis, rasisme dan juga keadaan hidup yang semakin susah.
Parti La République En Marche! yang diasaskan oleh Emmanuel Macron, bersama-sama dengan sekutunya parti Agir, telah mengemukakan pindaan kepada undang-undang keselamatan global di negara Perancis pada bulan Oktober 2020, untuk mengharamkan pengambilan gambar yang menunjukkan muka atau identiti mana-mana pegawai polis yang sedang bertugas “dengan tujuan merosakkan integriti fizikal dan psikologi mereka”. Kesalahan yang disabit di bawah rang undang-undang baru ini boleh dikenakan hukuman penjara maksimum satu tahun dan denda maksimum €45,000 (bersamaan lebih kurang RM221,400). Rang undang-undang tersebut telah mengundang kecaman daripada aktivis-aktivis hak sivil dan kumpulan-kumpulan wartawan. Kerajaan Perancis juga menerima amaran daripada Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Kontroversi berkaitan dengan rang undang-undang keselamatan yang dicadangkan kerajaan Macron menjadi lebih hebat lagi apabila video yang menunjukkan seorang warga keturunan Afrika, Michel Zecler, dipukul oleh anggota polis menular di ruangan siber. Peristiwa Zecler dikasari ini hanyalah salah satu contoh kepada amalan rasisme dan keganasan yang wujud dalam pasukan polis Perancis. Rakyat Perancis menjadi lebih marah apabila kerajaan cuba melindungi kekebalan polis dengan rang undang-undang terbarunya.
Macron yang menjadi Presiden Perancis sejak tahun 2017, sekali lagi menghadapi satu krisis politik serius yang tercetus akibat daripada kontradiksi dalam pemerintahannya. Kerajaan Macron cuba menonjolkan dirinya sebagai jaguh “kebebasan bersuara” berikutan peristiwa pembunuhan Samuel Paty oleh golongan ekstremis, tetapi pada masa yang sama ia memberikan kebebasan yang sepenuhnya kepada pihak polis untuk mengganas, menindas, menyalahguna kuasa dan mencenderakan rakyat biasa. Rang undang-undang “keselamatan global” yang kontroversi telah menyempurnakan dasar kerajaan Macron untuk mewujudkan “liberalisme” yang bersifat autoritarian. Respon kerajaan Perancis yang dipegang oleh golongan elit politik yang berfahaman neoliberal sekarang ini terhadap krisis kesihatan, sosial dan ekologi yang mendalam hari ini hanyalah penindasan terhadap mereka yang bangkit melawan. Ini telah ditunjukkan dalam cara kerajaan Macron menangani Gerakan Jaket Kuning dan mogok pekerja yang menentang “pembaharuan” sistem pencen. Kerajaan Macron telah gagal menangani krisis dengan cara yang berkesan, kecuali hanya tahu mengagihkan berbilion euro kepada syarikat korporat besar.
Namun begitu, kebangkitan rakyat yang hebat tetap mampu menewaskan dasar kerajaan yang anti-rakyat. Seperti yang pernah berlaku sebelum ini dalam Gerakan Jaket Kuning dan mogok pekerja melawan “pembaharuan” sistem pencen, kerajaan Macron terpaksa juga tunduk di bawah tekanan kebangkitan massa yang hebat. Walaupun rang undang-undang “keselamatan global” telah diluluskan oleh Perhimpunan Nasional, iaitu dewan rakyat parlimen Perancis, pada 24 November 2020, dan menunggu untuk kelulusan Dewan Senat, tetapi parti pemerintah telah mengumumkan pada 30 November 2020 untuk menggugurkan rang undang-undang yang kontroversi ini dan akan “menulis semula” perkara yang kontroversi dalam rang undang-undang tersebut. Ini mungkin adalah taktik kerajaan untuk meredakan kemarahan rakyat, tetapi juga menunjukkan bahawa protes rakyat memang berkesan.
2 thoughts on “Perancis: Rakyat bangkit lawan dasar Liberal yang autoritarian”