Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

BATU GAJAH: 18 orang petani dari Pusing, Perak, berjaya mendapatkan satu perintah di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret Batu Gajah yang bertarikh 3 Disember 2021 untuk kekal berada di tanah yang diusahakan mereka sehingga pertikaian berkenaan tanah mereka diselesaikan di Mahkamah Tinggi.

Petani-petani kecil yang terlibat dalam isu ini telah meneroka dan mengusahakan tanah di kawasan belakang Bandar Baru Puspa, Pusing, Perak, untuk aktiviti pertanian dan penternakan selama lebih 20-30 tahun. Tanah seluas 120 ekar tersebut merupakan tapak bekas lombong. Selepas operasi perlombongan diberhentikan sekitar awal tahun 1980-an, penduduk-penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Pusing telah membangunkan tanah terbiar ini dengan aktiviti pertanian dan penternakan yang produktif. Mereka telah menghasilkan pelbagai tanaman seperti buah manga, durian, limau, tebu, kelapa, pisang, jagung, ubi kayu dan kelapa sawit, di samping pelbagai jenis ikan ternakan, seperti ikan luhu, ikan susu, ikan tongsan dan sebagainya.

Petani-petani kecil ini telah membelanjakan banyak wang dan menaburkan keringat mereka untuk membangunkan tanah ini, bukan sahaja sebagai punca rezeki mereka, tetapi juga mengeluarkan makanan untuk kegunaan tempatan. Hasil pertanian dari kawasan ini telah dihantar untuk dijual di pasaran tempatan. Sesetengah petani ini pernah diberi Lesen Pendudukan Sementara (LPS) untuk tujuan pertanian, dan mereka juga pernah membuat permohonan untuk geran tanah daripada kerajaan. Sebelum ini, mereka tidak pernah menerima sebarang gangguan ataupun ancaman pengusiran daripada mana-mana pihak, termasuk Kerajaan Negeri Perak.

Namun, petani-petani di Pusing ini dikejutkan pada 1 Oktober 2019 apabila sebuah papan tanda didirikan oleh syarikat Tee Yam Holdings Sdn Bhd di situ dengan dakwaan bahawa tanah berkenaan adalah milik syarikat itu. Pihak syarikat Tee Yam Holdings Sdn Bhd membawa masuk jentolak untuk menceroboh tanah pertanian tanpa sebarang notis ataupun proses mahkamah. Pihak syarikat pemaju tidak mendapatkan perintah mahkamah untuk milikan kosong sebelum mengusir petani-petani di situ. Pokok-pokok buah-buahan yang berada di situ telah ditebang. Tanaman dan ternakan yang diusahakan petani-petani kecil di situ terancam. Syarikat pemaju itu juga memagarkan tempat tersebut dan memasang satu pintu besar yang berkunci untuk menghalang petani-petani daripada memasuki kawasan tersebut.

Tindakan syarikat pemaju yang tidak berkemanusiaan itu telah menyebabkan petani-petani yang lama mengusahakan tanah pertanian mereka mengalami kerugian yang besar. Dari 13 Oktober 2019 hingga 15 Januari 2020, petani-petani di Pusing telah membuat sebanyak 16 aduan polis terhadap syarikat Tee Yam Holdings Sdn Bhd atas perbuatannya yang menceroboh tanah dan mengganggu petani-petani di situ. Pihak polis mengarahkan kes ini untuk dirujukkan kepada Mahkamah Majistret terdekat. Oleh yang demikian, 18 orang petani di Pusing telah memfailkan satu aduan awam di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret Batu Gajah pada 18 Mei 2020.

Dalam penghujahan bertulisnya, peguam yang mewakili petani-petani Pusing, Bawani KS, yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), mengatakan bahawa pertikaian tanah yang wujud antara petani-petani dengan syarikat yang mendakwa dirinya pemilik tanah itu harus diselesaikan melalui satu tindakan sivil oleh pihak yang mempunyai hak milik ke atas tanah tersebut untuk mendapatkan milikan kosong. “Sehingga kini, tiada sebarang perintah milikan kosong daripada responden (syarikat syarikat Tee Yam Holdings Sdn Bhd) ke atas tanah tersebut. Ini menunjukkan responden telah melanggar Seksyen 7(2) Akta Relief Spesifik 1950, yang menyatakan bahawa tuan tanah tidak dibenarkan untuk mengusir penyewa dan/atau mendapatkan kembali hak milik hartanah kecuali mendapat perintah daripada mahkamah. Ini juga diakui oleh saksi responden semasa perbicaraan, bahawa sehingga kini responden masih tiada sebarang perintah mahkamah,” kata Bawani.

“Tindakan responden (syarikat Tee Yam Holdings Sdn Bhd) adalah tidak sah di sisi undang-undang kerana ia telah menghalang pengadu-pengadu (18 orang petani Pusing) daripada memasuki kawasan pertanian mereka tanpa sebarang tindakan mahkamah. Ini telah menyebabkan pengadu-pengadu kehilangan punca pendapatan mereka untuk tempoh lebih daripada setahun dan lapan bulan,” Bawani berhujah dengan lebih lanjut lagi.

Setelah mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak, Majistret Batu Gajah memutuskan untuk mengeluarkan perintah di bawah Seksyen 99 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan menghentikan tindakan pencerobohan tanah oleh syarikat pemaju dan membolehkan petani-petani terus mengusahakan tanah pertanian mereka sehingga pertikaian tanah berkenaan diselesaikan melalui proses undang-undang yang sewajarnya. Satu salinan perintah juga telah diserahkan kepada Ketua Polis Daerah Batu Gajah.

Petani-petani di Pusing ini dapat berasa lega sedikit kerana ancaman pengusiran paksa terhadap mereka dapat diberhentikan sementara pada masa ini.

2 thoughts on “Petani Pusing dapat perintah mahkamah hentikan pengusiran paksa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *