oleh Rani Rasiah
Lebih kurang 20 orang pekerja pengurusan dan teknikal sebuah syarikat pengeluar papan suis elektrik di Ipoh, Kinta Switchgear Sdn Bhd (KSG), menanggung akibat kerana meletakkan terlalu banyak kepercayaan dan kesetiaan pada majikan mereka.
Kinta Switchgear pada satu ketika merupakan sebuah syarikat yang sibuk dengan lebih 80-100 orang pekerja. Syarikat ini berada dalam proses penggulungan tikar pada pertengahan tahun 2019, iaitu sebelum berlakunya pandemik, tetapi pekerja-pekerjanya tidak dimaklumkan tengtang perkara itu. Syarikat ini terus beroperasi seperti biasa, tetapi gaji pekerja tidak dibayar secara penuh. Tenaga kerja di situ juga mula berkurangan selepas itu.
Selepas setahun setengah, pada awal tahun 2021, pihak majikan menulis satu surat panjang lebar kepada pekerja-pekerjanya, bercerita tentang kesempitan kewangan yang dihadapi syarikat, sambil menyebut tentang perintah penggulungannya. Dengan bayaran gaji yang sudah dikurangkan banyak dan tidak boleh diharapkan lagi, lebih banyak pekerja meninggalkan syarikat ini untuk mencari pekerjaan di tempat lain.
Namun demikian, lebih kurang 20 orang pekerja, kebanyakannya dengan tempoh perkhidmatan 20 tahun atau lebih, telah kekal di situ untuk menyokong majikan mereka, mengekalkan operasi syarikat, sambil percaya pada janji majikan bahawa dia akan menyelesaikan semua tunggakan gaji pada banyak tarikh akhir yang ditetapkannya. Program subsidi upah PERKESO yang diperoleh majikan untuk pekerja-pekerja syarikat juga mendorong pekerja-pekerja ini untuk terus kekal di situ.
Undang-undang insolvensi menyatakan bahawa syarikat yang menggulung tikar harus menamatkan segera kontrak pekerjaan dan berhenti operasi, tetapi Kinta Switchgear melanggar undang-undang ini dengan terus beroperasi selama 2 tahun setengah sebelum memberi notis pemberhentian kerja kepada pekerja-pekerja yang masih berada di situ pada bulan Disember 2021. Pihak majikan memberi jaminan lanjut bahawa semua gaji tertunggak dan faedah pemberhentian kerja akan diselesaikan pada pertengahan bulan Februari 2022.
Namun, pihak majikan tidak membuat apa-apa bayaran, dan pada masa itulah pekerja-pekerja terasa kena tipu. Mereka berasa mereka telah dipergunakan oleh majikan selama 2 tahun untuk membantunya dalam menyokong situasi kewangannya dengan mengorbankan kebajikan pekerja sendiri, dan mencabuli hak pekerja. Pekerja-pekerja juga mempersoalkan sikap berdiam diri dan kegagalan bertindak oleh Jabatan Insolvensi dalam melindungi pekerja.
Adalah masih tidak dapat pasti bahawa selepas aset syarikat dicairkan, sama ada pekerja-pekerja ini akan dibayar gaji yang belum dibayar, melebihi RM20,000 setiap orang, dan faedah pemberhentian kerja mereka.
Pekerja-pekerja Kinta Switchgear terasa mereka telah dikhianati oleh majikan mereka. Mereka berkata berdasarkan pengalaman ini bahawa mereka tidak patut percaya pada majikan mereka pada awalnya, malah mereka sepatutnya telah meninggalkan syarikat ini setahun yang lalu dan mendapatkan satu lagi kerja. Mereka berpandangan bahawa seorang majikan yang penyayang dan bertanggungjawab sepatutnya menasihatkan pekerja-pekerjanya lebih awal lagi untuk pergi bekerja di tempat lain, atau seperti seorang majikan yang dikenali mereka, menggadaikan hartanahnya sendiri untuk membayar gaji pekerja yang tertunggak.
==========
Rani Rasiah ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).
==========
Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.