Parti Sosialis Bersatu Venezuela (PSUV) meraih kemenangan besar dalam “Pilihanraya Mega” di Venezuela pada 21 November 2021, setelah memenangi 19 daripada 23 jawatan gabenor negeri yang dipertandingkan. (Nota: Keputusan pilihanraya di negeri Barinas telah dipertikaikan. ) Ini memberi tamparan hebat kepada kuasa imperialis Amerika Syarikat dan budak suruhannya di Venezeula.

Rakyat Venezuela mengundi pada 21 November 2021 untuk memilih gabenor di 23 buah negeri, 335 orang datuk bandar, 253 orang ahli dewan perundangan negeri dan 2,471 orang ahli majlis tempatan. Ia digelar “Pilihanraya Mega” kerana pilihanraya untuk peringkat negeri dan pilihanraya tempatan diadakan secara bersama. Ini merupakan pilihanraya yang ke-27 di Venezuela sejak tahun 1998.

Peratusan keluar mengundi dalam “Pilihanraya Mega” ini ialah 42.3%, meningkat hampir 12 titik peratusan berbanding Pilihanraya Parlimen Venezuela pada bulan Disember 2020. Ini telah menerbalikkan trend penurunan peratusan keluar mengundi di Venezuela beberapa tahun kebelakangan ini yang terjadi akibat daripada sabotaj daripada parti pembangkang yang berhaluan kanan. Lebih 70,000 orang calon daripada sebanyak 111 buah parti telah mengambil bahagian dalam “Pilihanraya Mega” ini, termasuk parti-parti berhaluan kanan yang disokong oleh kuasa imperialis Amerika Syarikat dan memboikot pilihanraya sebelum ini. Menurut pandangan Roberto Picón, Rektor Majlis Pilihanraya Kebangsaan (CNE), peningkatan peratusan keluar mengundi ini merupakan “langkah pertama untuk mengaktifkan semula politik di Venezuela dan membina semula keyakinan terhadap institusi”.

Calon-calon pilihanraya daripada spektrum politik yang luas telah diberi masa siaran yang mencukupi dalam media awam dan swasta untuk mempromosi cadangan politik mereka yang memfokus pada bagaimana memulihkan perkhidmatan awam di negara itu yang terjejas teruk akibat krisis ekonomi dan sekatan daripada Amerika Syarikat.

Dengan parti pemerintah PSUV mendapat kemenangan besar, Presiden Nicolás Maduro berjanji untuk bekerjasama dengan pemimpin pembangkang yang dipilih. Maduro menyeru untuk mengadakan dialog politik dengan semua gabenor dan datuk bandar yang dipilih. Maduro berkata dalam satu hantaran twitter, “Dengan kemenangan pilihanraya ini, kita akan terus memperkukuhkan keamanan dan kestabilan di Venezuela. Kita akan lihat kemakmuran baharu dan penjanaan kekayaan datang daripada tempat kerja dan usaha kolektif. Rakyat telah membuat keputusan dan menunjukkan jalannya.”

(foto: José Luis Granados Ceja)

PSUV telah berjaya merampas jawatan gabenor di negeri Mérida, Táchira dan Anzoátegui yang dipegang oleh ahli politik pembangkang berhaluan kanan, di samping berjaya menangkis cabaran hebat daripada kuasa pembangkang berhaluan kanan di beberapa buah negeri, seperti Miranda, Carabobo, Bolívar dan Apure. PSUV juga memenangi jawatan Datuk Bandar Caracas, ibu negara Venezuela. PSUV memenangi sekurang-kurangnya 205 jawatan datuk bandar. Walapun PSUV menang besar dari segi perolehan jawatan, tetapi ia hanya meraih 45.7% undi. Jika bukannya parti-parti pembangkang berpecah dengan teruk, PSUV akan kehilangan banyak jawatan gabenor dan datuk bandar.

Golongan pembangkang telah memenangi 3 jawatan gabenor, dengan “Meja Bulat Perpaduan Demokratik” (MUD) menang di negeri Zulia dan Cojedes, sementara Pakatan Demokratik (AD) yang lebih moderat menang di negeri Nueva Esparta.

Blok pembangkang berhaluan kiri, Alternatif Revolusioner Popular (APR), walaupun tidak memenangi apa-apa jawatan gabenor, tetapi berjaya meningkatkan peratusan undinya di beberapa buah negeri.

Reaksi kerajaan Amerika Syarikat terhadap keputusan “Pilihanraya Mega” di Venezuela memang dapat dijangkakan, dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken, menuduh kerajaan pimpinan Maduro “merampas hak rakyat Venezuela untuk menyertai sebuah proses pilihanraya yang bebas dan adil” tanpa mengemukakan apa-apa bukti yang kukuh dalam kenyataannya pada 22 November 2021. Kerajaan Amerika Syarikat masih berdegil dengan pendiriannya yang menyokong Juan Guaidó sebagai “Presiden Sementara” Venezuela sedangkan Guaidó telah kehilangan kredibilitinya selepas pelbagai cubaannya untuk merampas kuasa telah menemui kegagalan. Adalah amat jelas sekali bahawa kuasa imperialis Amerika Syarikat masih akan terus menggunakan apa jua cara yang kotor untuk menyahstabilkan kerajaan Bolivar di Venezuela.

Kerajaan Venezuela mengecam tindakan Amerika Syarikat yang terus mengabaikan proses demokratik di sebuah negara berdaulat dan cubaannya yang hendak memburuk-burukkan pilihanraya di Venezuela pada 21 November 2021. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri Venezuela, kerajaan Venezuela mengatakan bahawa imperialisme Amerika Syarikat dan sekutunya di Venezuela ialah pihak yang kalah besar dalam pilihanraya terbaru ini.

Lebih 300 orang tetamu antarabangsa telah hadir sebagai pemerhati pilihanraya kali ini, termasuk rombongan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Carter Center dan Kesatuan Eropah (EU). Chong Yee Shan, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), turut menyertai rombongan pemerhati dalam “Pilihanraya Mega” di Venezuela ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *