Screenshot_2020-07-14 1200px-Flag_map_of_Malaysia svg png (PNG Image, 1200 × 400 pixels)

oleh Dr Jeyakumar Devaraj 

Semua orang dinasihati supaya belajar dari kesilapan. Begitu juga dengan gerakan politik – jika mereka mahu melakukan yang lebih baik pada masa depan. Malangnya, saya tidak melihat pandangan sebegitu dibangunkan dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) dalam kebanyakan perbincangan yang saya adakan dengan mereka sejak “Langkah Sheraton” yang mencetuskan kejatuhan Kerajaan PH.

Penyokong PH bukan Melayu sukar memahami mengapa sokongan Melayu terhadap PH sudah jatuh begitu ketara. Ramai dalam kalangan mereka berasa jengkel – bagaimana mungkin orang Melayu boleh bertolak ansur dengan golongan kleptokrat yang mencuri dari dana awam? Adakah orang Melayu terlalu mudah terperdaya dengan propaganda UMNO-PAS? Adakah mereka tidak dapat melihat bagaimana elit UMNO telah memperkayakan diri mereka sendiri? Dan banyak lagi…

Saya ingin mengutarakan satu analisis yang mungkin dapat menjernihkan pandangan. Ianya berkait rapat dengan pertembungan naratif mengenai sifat negara bangsa Malaya/Malaysia.

Biar saya jelaskan. Konsensus yang dicapai dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 adalah berdasarkan naratif bahawa ini ialah “Tanah Melayu”, sebahagian daripada Kepulauan Melayu, “Nusantara Melayu”. Naratif inilah yang menjadi asas kepada penerimaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai “agama Persekutuan” (yang boleh dikatakan tidak jelas takrifannya), dasar afirmatif bagi orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan serta penerusan sistem politik kesultanan pra-kolonial walaupun ianya sudahpun dikurangkan kuasa eksekutifnya. Pada waktu yang sama, naratif ini juga mengiktiraf sumbangan masyarakat bukan Melayu kepada pembangunan ekonomi Malaya. Oleh itu, Perlembagaan Persekutuan juga memberikan golongan bukan Melayu hak kewarganegaraan, hak untuk menggunakan dan mengembangkan bahasa sendiri, mengamalkan agama sendiri serta menikmati perlindungan hak yang sama rata di bawah undang-undang negara. Secara kebetulan, naratif Nusantara Melayu juga dicerminkan lewat beberapa fasal di dalam Perlembagaan Rakyat, yang dirumuskan oleh gabungan PUTERA-AMCJA pada tahun 1947.

Kemudian datangnya Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada tahun 1963, dengan naratif alternatif “Malaysian Malaysia”. Bunyinya menarik – kita semua warga Malaysia, maka kita patut bekerjasama untuk membangunkan sebuah negara yang harmoni. Akan tetapi, subteks naratif oleh PAP juga termasuk anggapan bahawa – kita semua ialah imigran, termasuklah orang Melayu, kerana majoritinya datang dari Jawa, Sumatera, Sulawesi dan malah ada yang lebih jauh lagi (India dan Timur Tengah). Oleh itu, warga Malaysia sepatutnya sama rata dalam segenap hal – Bahasa Tionghua dan Bahasa Tamil juga sepatutnya menjadi bahasa rasmi, setaraf dengan Bahasa Melayu, dan semua agama patut dilayan secara sama rata. Perlu adanya pembahagian kuasa antara negara dan agama, dan dasar afirmatif perlu diganti segera dengan sistem yang berasaskan meritokrasi supaya negara dapat membangun dengan lebih pesat pesat dan efisien.

Naratif PAP, yang berlainan sama sekali dengan naratif Nusantara Melayu, tidak boleh diterima oleh pemimpin Melayu pada tahun 1963-1965 dan Singapura kemudiannya diminta untuk meninggalkan Persekutuan (mungkin itulah yang dimahukan oleh Lee Kuan Yew juga!) Namun, naratif PAP diteruskan dan dihidupkan dalam kalangan komuniti bukan Melayu oleh DAP semenjak itu. Ianya masih kekal sebagai sesuatu yang paling dibenci oleh golongan nasionalis Melayu hari ini, termasuklah ramai antara mereka yang mempunyai pandangan progresif.

Ada apa dengan Muhyiddin?

Pada awalnya, sukar untuk saya menerangkan keputusan Muhyiddin Yassin untuk membawa Parti BERSATU keluar daripada PH pada penghujung bulan Februari 2020 lalu. Beliau ialah seorang ahli politik yang dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Najib Razak lima tahun yang lalu (tepatnya pada 28 Julai 2015), dan juga seorang yang berkempen cukup kuat untuk menjatuhkan UMNO dan Najib. Namun begitu, pada bulan Februari 2020, beliau bersedia untuk menyerahkan semula kuasa kepada gabungan yang didominasi oleh golongan kleptokrat UMNO. Sudah tentu pengkritiknya mengatakan bahawa ianya semua adalah kerana nafsu untuk berkuasa – terdapat kuasa yang berpusat di pejabat Perdana Menteri, dan godaan untuk berada di tampuk kekuasaan yang sukar untuk dibendung apatah lagi bagi seseorang itu, kuasa hanya selangkah lagi.

Namun ada beberapa faktor yang lain juga. Masih ingat jawapan Muhyiddin sewaktu dicabar Lim Kit Siang untuk mengatakan bahawa dirinya warga Malaysia sepuluh tahun lalu tentang identiti yang mencorakkannya? Muhyiddin memberitahu pada wartawan, “Saya seorang Melayu terlebih dahulu, namun ingin saya katakan menjadi seorang Melayu tidaklah bermaksud anda bukan seorang warga Malaysia”. Pertelingkahan Muhyiddin dengan UMNO sejak tahun 2015 adalah berkenaan tahap rasuah pemimpin tinggi UMNO. Pertelingkahannya tidak berkaitan sama sekali dengan ketidakpersetujuannya dengan naratif Melayu Nusantara.

Adakah mungkin Muhyiddin dan pemimpin Melayu lain dalam PH semakin tidak selesa dengan ekspresi naratif Malaysian Malaysia dalam PH? Ramai penyokong PH tidak menyedari akan hal ini, namun Kerajaan PH yang baru berkuasa telah membatalkan elaun bulanan RM300 kepada 70,000 nelayan tradisional pada bulan Jun 2018. Skim subsidi harga getah yang dibayar apabila harga getah sekerap jatuh di bawah RM2.20 per kilogram, juga diberhentikan dari bulan Jun hingga Disember 2018. Skim ini telah memindah terus wang tunai ke dalam akaun 180,000 orang pengusaha getah kecil dengan keluasan tanah di bawah lima ekar jika harga getah sekerap jatuh di bawah RM2.20 sekilogram. Alasan yang diberikan kepada pemberhentian kedua-dua program ini adalah kerana Kerajaan tidak mempunyai wang yang cukup. Namun, pada masa yang sama, Kerajaan juga menyelesaikan pembayaran balik cukai GST dan cukai pendapatan yang melibatkan hampir RM37 bilion dengan mengaturkan pembayaran dividen khas sebanyak RM30 bilion daripada Petronas. Adakah ianya sesuatu yang betul untuk menjelaskan pembayaran balik cukai ini, tetapi pada masa yang sama memberhentikan program untuk golongan Melayu B20? Adakah ianya sesuatu yang bijak? Adakah PH percaya bahawa penjawat awam tidak menyedari tentang pemberhentian bantuan kepada golongan Melayu B20?

Kemudiannya, ada satu video di mana seorang pemimpin kanan DAP (yang dirakam pada tahun 2018) memuji-muji bagaimana Raja Rajendra Chola I dari Tamil Nadu telah membina kota di Kedah lebih kurang 1,000 tahun lalu. Ini ialah fakta sejarah, namun ianya dipetik seorang pemimpin DAP untuk mendukung naratif Malaysian Malaysia di mana kita semuanya pendatang kecuali Orang Asli. Terdapat juga ura-ura untuk memberhentikan skim pencen kepada penjawat awam yang baru. Individu-individu bujang B40, termasuk ibu-ibu tunggal, dikecualikan daripada program BR1M yang dinamakan semula sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH). Perdana Menteri pada masa itu Dr. Mahathir mengatakan orang Melayu itu malas. Banyak lagi kenyataan-kenyataan dan keputusan-keputusan yang dibuat tanpa pertimbangan sewajar.

Semua peristiwa dan dasar ini mengakibatkan ketidaksenangan dalam kalangan cendekiawan Melayu, termasuklah mereka yang menyokong PH pada awalnya. Sokongan Melayu kepada PH adalah sekitar 25% secara keseluruhan ketika PRU-14. Ianya jatuh kepada sekitar 17% pada penghujung tahun 2019. Dalih PH adalah orang Melayu biasa mudah terpengaruh dengan propaganda PAS-UMNO. Namun ini hanyalah analisis yang separuh masak. Bagaimana pula dengan salah langkah PH  yang menyediakan “peluru” kepada jentera propaganda UMNO? Begitu juga dengan kegagalan PH untuk melihat bagaimana naratif Malaysian Malaysia yang sukar dipertahankan kerana bercanggah hebat dengan naratif Melayu Nusantara? Ramai antara mereka dalam PH masih buta akan realiti dua naratif yang berbeza ini berkaitan dengan sifat negara bangsa Malaysia.

Adakah Anwar dapat melakukan yang lebih baik?

Pada pandangan saya, ya. Semenjak pemecatannya pada tahun 1998, Anwar Ibrahim telah mengelak daripada menggunakan unsur perkauman untuk menyerang UMNO dengan menyatakan ia tidak melakukan secukupnya untuk membela orang Melayu. Sebaliknya, Anwar fokus kepada urus tadbir yang lebih baik, menghentikan rasuah yang diamalkan elit BN, supaya bantuan kerajaan dapat sampai kepada rakyat miskin yang memerlukannya. Beliau juga berulang kali menekankan keperluan untuk memperluaskan dasar afirmatif untuk merangkumkan masyarakat bukan Melayu yang miskin, dan beliau menghubungkaitkannya dengan prinsip Islam yang mengangkat keadilan dan kesetaraan. Beliau juga berhasrat untuk menghentikan penjarahan kekayaan negara yang dilakukan oleh elit UMNO yang mementingkan diri sendiri. Orang bukan Melayu suka dengan pendekatannya yang inklusif. Golongan pekerja Melayu di kawasan bandar juga memberikan respon kepada mesejnya kerana mereka sendiri bergelut dengan pendapatan rendah dan kos sara hidup yang tinggi, sementara mereka dapat melihat bahawa elit UMNO hidup bermewah-mewahan.

Pendekatan oleh Anwar ini dapat memperbetulkan sesetengah kesilapan besar dalam Dasar Ekonomi Baru – peminggiran warga miskin bukan Melayu serta penyalahgunaan subsidi oleh elit UMNO – tanpa mencabar naratif Melayu Nusantara. Ianya sesuatu yang lebih mampan secara politikal kerana ianya tidak mengetepikan majoriti Melayu. Barangkali ianya dapat menggerakkan negara kita ke arah yang lebih baik.

Sedihnya sekali, peluang itu sudah berlalu. Bukan saja sokongan masyarakat Melayu terhadap PH jatuh secara mendadak, sokongan masyarakat bukan Melayu juga jatuh. Ramai dalam kalangan penyokong PH yang meletakkan harapan berdasarkan naratif Malaysian Malaysia sukar untuk memahami apa yang dijanjikan oleh DAP itu sukar untuk dilaksanakan dalam kadar segera. Harapan mereka itu tinggi melangit kerana permainan politik DAP sejak 50 tahun yang lepas. Selagi DAP menjadi pembangkang, mereka akan membuat tuntutan yang tidak realistik berdasarkan naratif PAP itu. Namun apabila menjadi kerajaan, realiti wujudnya naratif yang bertentangan yang perlu ditangani itu mengambil tempatnya. Namun, penyokong mereka melihat ini sebagai mengayuh ke belakang dan menjadi marah.

Selamat tinggal Reformasi?

Pendulum sedang berayun menjauhi Pakatan Harapan. Nampaknya besar kemungkinan PH akan hilang hampir satu pertiga kerusi yang dimilikinya jika pilihanraya diadakan bila-bila masa dalam tahun ini. Namun, bagi kita yang mendukung ideal Reformasi perlu jelas akan trend sosial dan ekonomi yang membawa kepada migrasi bandar dan jurang kelas di dalam masyarakat Melayu yang menjadikan mereka terpisah kepada tenaga kerja yang bergaji rendah dalam jumlah yang besar dan segelintir elit mahakaya yang terhubung secara politik. Trend ini sedang berterusan Jika elit Perikatan Nasional tidak menangani kemiskinan bandar yang semakin meningkat dan rasuah serta keborosan kelas atasan Melayu, asas untuk Reformasi II akan diwujudkan.

Diharapkan, untuk kali yang kedua ini nanti, pemimpin gerakan Reformasi akan lebih tajam secara politik. Selain lebih menyedari tentang ketegangan antara naratif berkenaan sifat negara bangsa Malaysia dan bagaimana mengendalikannya (barangkali dengan mengambil pendekatan Anwar dan meninggalkan naratif PAP), pemimpin-pemimpin Reformasi II juga harus meluangkan lebih banyak masa untuk membentuk pendirian mereka mengenai isu jaminan makanan, buruh migran, perubahan iklim, pendanaan politik, perjanjian perdagangan antarabangsa, pengurusan sisa buangan dan banyak lagi isu penting yang dihadapi oleh negara. Mereka boleh melakukannya melalui kumpulan-kumpulan perbincangan yang merentasi kaum supaya mencapai konsensus nasional dalam semua isu ini.

Pada tahun 2018, golongan “reformis” tidak bersedia dengan baik untuk mengambilalih pentadbiran negara. Setiap orang Menteri ditinggalkan terkapai-kapai untuk melakukan perubahan tanpa mempunyai Pelan Induk bagi negara yang didebatkan dan diselaraskan secara secukup-cukupnya. Kita memang perlu melakukan yang lebih baik kali ini! Dan peluang ini mungkin akan datang lebih awal daripada apa yang kita jangkakan. Kita perlu bersedia.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tulisan ini asalnya dalam Bahasa Inggeris, diterjemah ke dalam Bahasa Melayu oleh Zikri Rahman.

One thought on “Kegagalan Pakatan Harapan: Pertembungan antara naratif?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *