oleh Dr. Nasir Hashim

I. PENGENALAN

1. Tujuan artikel ini menawarkan pedoman dan pengalaman yang lalu kepada mereka yang ingin berjuang mempertahankan hak rakyat.

2. Perjuangan ini bukanlah perkara yang enteng dan terpaksa mengharungi pelbagai rintangan.

3. Mereka perlu mengkaji semula/bedah siasat (post-mortem) tentang apa yang sudah berlaku pada peristiwa tersebut dan di samping itu berusaha menajamkan atau merevolusikan lagi perjuangan ke tahap yang lebih tinggi lagi.

4. Kupaslah penulisan-penulisan dan buku-buku yang lalu dan sarankanlah pendekatan yang lebih berani, tajam dan berkesan.

5. Kukuhkan lagi semangat dengan ungkapan keramat daripada pejuang-pejuang nan lalu;

“Biarlah kita bersikap realistik dan lakukan perkara yang mustahil.” (Che Guevara)

 “Istilah mustahil tidak wujud dalam kamus saya.” (Napoleon Bonaparte)

 “Peranan seorang ahli falsafah (intelektual) bukan hanya menterjemahkan perkara yang berlaku dalam berbagai-bagai cara dan bentuk. Perkara yang lebih bermakna/afdal lagi adalah bertindak mengubahkannya.” (Karl Marx)

6. Kita mulakan perbincangan dengan menjelaskan istilah perubahan (change).

II. PERUBAHAN (CHANGE)

1. Perkara yang kekal di dunia ini ialah perubahan (the only constant in this world is change).

2. Perubahan merupakan asas atau inti sari kepada segala jenis perkembangan dalam tamadun dunia.

3. Perubahan setempat berkesinambungan dengan perkara-perkara yang berlaku di peringkat global, nasional, peribadi/keluarga, masyarakat dan dengan alam sekitar

4. Perubahan ini menjurus kepada hubungan antara dua pihak dan juga cara mana kita melaksanakan program berdasarkan matlamat yang direncanakan. Bahkan kesemuanya ini memerlukan khidmat manusia sebagai pemangkin (catalyst).

5. Diharap sangat pemangkin ini bertindak secara holistik atau menyeluruh dan tidak terikat dengan pandangan emosi, kepakaran tertentu ataupun bervisi terowong (tunnel vision).

6. Diharapkan semua menumpukan perbincangan mengikut asas rujukan (reference points) yang disetujui bersama supaya tidak timbul kekeliruan atau terkeluar tajuk.

7. Dengan cara ini mereka mudah membandingkan sesuatu mengikut:

  • A.   Keadaan dalam diri – seperti pengalaman, ilmu, fitrah insani, naluri, kesedaran hakiki (primordial consciousness), hati nurani (conscience);
  • B.    Keadaan luar diri (sekitaran) – seperti sosial, budaya dan pembangunan fizikal.

8. Mengikut agama Islam, roh manusia sudah pun dilengkapkan dengan fitrah insani, naluri, hati Nurani, kesedaran hakiki dan keistimewaan jantung manusia. Namun begitu, perkara fitrah insani seperti kebenaran, keadilan, kasih sayang dan kebahagiaan wujud dalam bentuk abstrak belaka. Sekiranya kita ingin mencari abstraksi ini, kita pasti tidak ketemuinya kerana kesemuanya ini merupakan hasil hubungan antara dua pihak dalam masyarakat. Maka nilai dan makna istilah-istilah abstrak ini menjadi realiti kehidupan sesudah kita bergiat dalam masyarakat. Kita mengenali keadilan sesusah mengalami atau menyaksikan ketidakadilan atau kekejaman. Kita tidak akan kenal nilai kebaikan sekira tidak didedahkan kepada kejahatan atau penipuan yang berlaku dalam masyarakat.

9. Maka ramai para falsafah, intelektual dan agamawan asyik mencanangkan dan memuja perkara-perkara yang abstrak hingga terpisah jauh daripada keluhan dan penderitaan rakyat. Maka golongan cerdik pandai seperti ini lebih selesa bertelagah tentang penggunaan istilah yang paling tepat; lebih menfantasikan masalah rakyat; mengugut dengan balasan neraka jahanam; dan cenderung melipatgandakan hukuman dan denda. Kesemuanya ini berlaku kerana keangkuhan, serba tahu/ bodoh sombong dan tidak mahu bersama rakyat mempertahankan hak (takut tergugat kerjaya).

III. MANUSIA SEBAGAI PEMANGKIN

1. Secara semula jadi, manusia di dunia ini berperanan sebagai pemangkin, penggerak masyarakat dan pencetus perubahan seperti mana Nabi Muhammad selaku Khalifah, menjadi orang tengah/pemangkin antara rakyat dengan Tuhannya. Lagi pun roh dalam diri manusia merupakan milikan Allah belaka dan dipinjamkan semasa hidup di dunia ini. Maka secara langsung dan tidak langsung manusia memang luar biasa kerana berpotensi memiliki sifat-sifat Allah dalam 99 nama Nya yang disebut dalam Al-Quran.

2. Biarlah kita kiaskan keadaan ini. Manusia apabila berdiri tegak, bahagian atas badannya ke arah langit tinggi dan bahagian bawah badannya ke arah bumi yang dipijak. Kita anggap langit melambangkan kebaikan dan sebaliknya bumi melambangkan kejahatan. Manusia pula tersepit antara langit dan bumi, lantas menjadi orang tengah atau pemangkin yang perlu mengimbangkan dua sifat yang bercanggah ini.

3. Jantung manusia terletak di tengah-tengah badan dan menjadi organ pemangkin utama.

4. Apa pula dengan keistimewaan jantung manusia, walhal organ ini merupakan segumpal daging sebesar penumbuk tuannya. Namun begitu, ilmu terkini mendedahkan betapa teristimewanya Jantung (qalb) manusia yang mempunyai sifat-sifat yang sungguh teristimewa seperti berikut:

  • A. Al-Quran lebih mementingkan jantung manusia berbanding otak manusia dan menyebut dua kali lebih banyak apabila dibandingkan dengan otak manusia. Al-Quran menyebut Qalb (nama jantung) sebagai organ pemangkin yang mudah berbolak-balik atau berubah-ubah kerana tarikan kebaikan (pengaruh langit/ malaikat) dan kejahatan (pengaruh tanah/ syaitan). Inilah sifat pemangkin yang terdedah kepada dua aspek yang bercanggah. Jantung mereka yang beriman dan ikhlas berjaya mendorong manusia ke jalan yang benar, berprinsip, dinamik dan berperikemanusiaan.
  • B. Jantung manusia memiliki kuasa elektro-magnetik yang terbesar dalam badan. Kuasa elektrik jantung 100 kali lebih tinggi dan kuasa magnetik jantung 5000 kali lebih tinggi apabila dibandingkan dengan kuasa elektro-magnetik otak. Ini bermakna gelombang elektro-magnetik jantung bukan sahaja mempengaruhi dan mampu menggetar seluruh badan bahkan berkembang bebas melepasi badan dan terus ke alam kosmos. Semua yang bernyawa dan tidak bernyawa memiliki atom dan molekul sendiri dan dijana oleh kuasa tenaga elektro-magnetik masing-masing. Justeru, kuasa tenaga elektro-magnetik yang lebih besar, berupaya mengubah struktur dan sifat atom dan molekul di sekelilingnya. Maka itu para spiritual dan saintis tegaskan bahawa kuasa elektro-magnetik jantung manusia membolehkan mereka menyertai dan mengubah realiti sekelilingnya. Ilmu fizik kuantum, ilmu sains fizik yang terkini dan tercanggih mensahihkan kejadian ini.
  • C. Jantung memiliki sejumlah 40,000 sel saraf (sensory neurites) pada bahagian atas organ jantung. Bentuk dan sifat sel-sel saraf ini serupa dengan sel-sel saraf otak. Dengan kuasa elektro-magnetik yang ada pada diri jantung, maka jantung terus berhubung dengan otak (coherence) bahkan merupakan penentu keputusan (decision maker) dan otak pula mematuhi arahannya (administrative center). Jantung juga boleh membuat keputusan sendiri, ada memori, deria, intelek, perasaan tersendiri. Saranan jantung mudah dan tepat walhal kedua-dua belah otak manusia amat dipengaruhi oleh nafsu sekitarannya. Selain itu, jantung juga memiliki kimia organik dan hormon yang mengawal sistem badan, injap saluran darah dan penentu jumlah darah yang harus mengalir pada seluruh badan.

5. Manusia hadir di dunia ini semenjak 200,000 tahun yang lalu dan struktur serta DNA badannya tidak berubah dan tidak melalui proses evolusi. Para saintis masih tidak jumpa fosil yang membuktikan bahawa asal usul manusia daripada spesies monyet, cimpanzi dan orang hutan. Bahkan kita juga bukan daripada keturunan spesies yang terdekat dengan manusia, iaitu spesies Neanderthal kerana kromosom ‘Y’nya berlainan dengan manusia. Dipercayai bahawa pada zaman dahulu, spesies ini hidup bersama dan berkeluarga dengan manusia. Kesemua keadaan ini membuktikan bahawa DNA dan baka manusia kekal dan sempurna 200,000 tahun dahulu. Malahan selama ini manusia berjaya menangani segala jenis dugaan. Walhal pada masa yang sama, haiwan, tumbuhan, serangga dan kuman terpaksa mengubah DNA masing-masing apabila berhadapan dengan cabaran persekitaran yang terbaharu dan berterusan.

6. Mengikut masyarakat Islam, semua manusia di dunia ini datang daripada keturunan Nabi Adam dan Allah telah mengajar Nabi Adam segala-galanya. Justeru, semua manusia di bumi ini berpotensi melakukan perkara-perkara luar biasa. Media massa sering memberitakan tentang manusia zaman dahulu dan sekarang yang melakukan perkara-perkara yang mengagumkan.

7. Jelas bahawa evolusi pada diri manusia bukan pada DNAnya tetapi pada evolusi budaya manusia (cultural evolution). Manusia secara berkelompok, berupaya menajamkan intelek dan menggembleng potensi melalui berkomunikasi, bertukar pandangan, ilmu dan pengalaman. Hasilnya lebih cepat apabila dibandingkan dengan proses evolusi DNA yang memakan ratusan tahun lamanya.

8. Kalau dikaji ilmu perubatan tradisional pula, pengamalnya berpendirian bahawa badan manusia cukup sempurna dan jantungnya berkuasa mengawal keadaan (self-regulation) dan mampu memulihkan diri sendiri (self-healing). Mereka menggembleng ilmu tentang lima elemen/unsur dalam alam (api, tanah, logam, air, angin/pepohon) dan dikaitkan dengan sifat dan perjalanan setiap organ dalam badan. Bukan itu sahaja. Ilmu tradisional menggunakan ilmu hubungan dialektika bagi mengimbangi dan menjana tenaga yang bercanggah (Yin-Yang) dan saling mempengaruhi. Badan kerahkan kuasa tenaga Chi/Qi bagi mengekalkan kesihatan badan.

IV. HUBUNGAN DIALEKTIKA

1. Mengharapkan keikhlasan seseorang itu tidak memadai. Dia perlu bersikap kritikal dan analitik terhadap diri sendiri dan segala di sekelilingnya.

2. Jangan terlalu bangga kerana dapat menolong orang walhal masalah hakiki mereka tidak selesai kerana sendiri tidak mempertikaikan punca yang mengekalkan kemiskinan, penindasan dan penderitaan.

3. Sekira ingin menyelesaikan masalah, pendirian hidup pemangkin haruslah berasaskan falsafah, ideologi, prinsip dan keimanan tertentu.

4. Apakah pendekatan hubungan dialektika (dialectical relationship) ini dapat menyelesaikan masalah?

A. Pendekatan ini menjelaskan cara mana seseorang itu mengimbangkan dua sifat yang bercanggah tetapi saling mempengaruhi. Lagi pun kita menggemblengnya demi kepentingan rakyat dan bukan bertujuan mengumpul kekayaan dan memasyhurkan diri.

B. Aktivis/pemangkin perlu berlapang dada, bersikap holistik/menyeluruh terhadap semua pihak. Pendekatan ini mengambil kira aspek INI DAN ITU dan BUKAN INI ATAUPUN ITU belaka. Misalnya kita tidak dapat memisahkan hubungan yang saling mempengaruhi antara kedua-dua pihak seperti suami-isteri; strategi-taktik; teori-praktis; konfrontasi-rundingan dan sebagainya. Sekeping duit kertas tidak laku sekira satu antara mukanya sudah tercemar dan cacat teruk.

C. Hubungan dialektika ini bukan diketemui beberapa tahun kebelakangan ini. Bahkan sudah wujud sebelum manusia bertapak di dunia ini, iaitu semenjak zaman azali di mana sudah wujud hubungan langit-bumi; gunung-lurah; siang-malam; panas-sejuk; kering-basah; pasang-surut laut; elektron-foton dan sebagainya

D. Datuk moyang kita yang bijaksana menyaksikan tanda-tanda yang berlaku di sekitar mereka lalu dikaitkannya dengan hubungan antara manusia; manusia dengan Tuhanya; dan manusia dengan alam.

E. Pahlawan Sun Tzu telah menulis buku Seni Peperangan (Art of War) 2500 tahun dahulu dan cekap menggembleng konsep hubungan dialektika bagi mengatasi cabaran musuhnya.

F. Di samping itu, semua kepercayaan dan agama turut mengamalkan pendekatan hubungan dialektika ini misalnya; Yin-Yang-Tao (Cina), Purusha-Prakriti-Moksha (Hindu), Jamal-Jalal-Kamal (Islam), Tesis-Antitesis-Sintesis (Socialisme). Masyarakat asal dan pendalaman juga menggembleng ilmu ini dan mengimbangi hubungan material dengan spiritual.

G. Surah Ar-Rahman (55) dalam Al-Quran juga menyebut hubungan dialektika ini, hinggakan penterjemahnya Abdullah Yusuf Ali mengungkapkan Surah ini sebagai ‘Simfoni dualiti menuju penyatuan’ (symphony of duality towards unity). Lagi pun semua di dunia ini wujud berpasangan/bercanggah yang kita tahu dan ada yang kita belum tahu (Q 36:36).

H. Maka wujudlah tiga jenis Hubungan Dialektika, iaitu:

  • i. Hubungan Dialektika Material – dipelopori Marx bagi mengkaji kapitalisme dalam urutan sistem pengabdian, feudal, kapitalisme dan sosialisme.
  • ii. Hubungan Dialektika Metafizik/ idea/falsafah – dipelopori Hegel dan berkaitan dengan fitrah, roh, jiwa dan nafsu.
  • iii. Hubungan Dialektika antara dunia Material dengan dunia Spiritual/Kerohanian – dipelopori konsep fizik kuantum (quantum physics), ilmu sains tercanggih yang mengatasi fizik klasik (classical physics).

Sesiapa jua yang mengabaikan ketiga-tiga hubungan ini, dia seolah-olah berjalan tempang meskipun kedua-dua kakinya sihat belaka. Pendek kata, analisis, pandangan, wawasan dan perjuangannya turut cacat.

V. AKTIVISME 

1. Diharapkan aktivisme ini menjurus ke arah reformasi dan revolusi. Misalnya, ramai mengkaji semula kelemahan dan kekuatan taktik (post-mortem) mereka selepas melakukan program tindakan dan membaikinya (reformasi). Di samping itu, dengan pengalaman terbaharu, mereka harus merevolusikan atau tingkatkan langkah menuntut hak yang lebih besar lagi. Kita perlu memenangi pertempuran kecil demi memenangi peperangan yang besar (we have to win small battles to win the war). Pendek kata, pemangkin perlu mereformasi dan juga merevolusikan segala aspek kehidupan.

2. Maka, perjuangan ini bukanlah suatu pesta minuman teh atau makan malam tetapi memerlukan pengorbanan dan komitmen. Selagi kita menganggap aktivisme ini suatu kerjaya (mementingkan diri sendiri) maka kita sudah pun kalah atau tersungkur dalam perjuangan ini.

3. Sedarlah bahawa aktivis merupakan seorang yang berjiwa spiritual (seperti komitmen, keyakinan, minda tajam, pengorbanan, membenci ketidakadilan). Mereka sanggup mengharungi segala rintangan demi hak dan kebajikan rakyat. Mereka tidak menerima apa jua ganjaran dan melakukan kesemuanya ini atas kasih sayang, semangat berperikemanusiaan dan setia kawan.

4. Untuk lebih berkesan dalam perjuangan, seorang aktivis harus mengetahui segala aspek masyarakat yang dia ingin membantu termasuklah aspek makro yang membawa kesan terhadap masalah masyarakat setempat.

VI. KEADAAN GLOBAL

1. Diingatkan lagi bahawa apa yang berlaku dalam masyarakat setempat berkaitan langsung dengan pergolakan sosial, ekonomi dan budaya di peringkat negara dan antarabangsa.

2. Negara kita menganuti sistem kapitalisme dan kita perlu tahu sifat-sifatnya yang mencengkam kehidupan rakyat. Sistem ini sungguh menonjol kerana penganut-penganut agama dan budaya daripada berbilang kaum turut tergelincir dan sanggup menenggek atas nafsu kapitalisme.

3. Pemisahan dunia material dengan dunia spiritual/kerohanian/kejiwaan dan berkembangnya sistem kapitalisme pada abad ke-17 dan ke-18. Ketegangan berlaku antara pihak saintis dengan pihak Gereja kerana ilmu sains terbaharu sudah bercanggah dengan ajaran agama. Maka pihak Gereja yang berkuasa mutlak menuduh para saintis sudah murtad pada agama mereka lalu membakar buku-buku ilmiah mereka, menuduh mereka mengamalkan ilmu hitam dan membunuh mereka. Pihak saintis berdendam kesumat dan selepas Era Pencerahan (Age of Reason), mereka bertindak memisahkan dunia material daripada dunia keagamaan/spiritual/kejiwaan, lalu mengagungkan ilmu fizik klasikal di mana dunia materialisme (kapitalisme) menjunjung hubungan material dan memutlakkan pancaindera. Manusia dianggap sebagai mesin/alat/robot dan apabila berlaku kerosakan, badannya digantikan dengan alat-alat baharu. Tenaga mereka dijadikan komoditi yang dijual-beli dalam pasaran antarabangsa. Mereka yang membelakangkan aspek spiritual/kerohanian/kejiwaan meremehkan keresahan, emosi, jiwa dan semangat mereka yang bermasalah. Maka dunia kapitalisme mencetus musibah demi musibah dalam segala aspek kehidupan di bawah naungan kolonialisme, imperialisme, globalisasi dan jenama jolokan lain yang menghalalkan penindasan dan keuntungan yang maksima.

4. Kapitalisme ini berkaitan rapat dengan penindasan di tempat kerja hingga menimbulkan kemiskinan. Kemiskinan pula mengakibatkan diri rasa terasing (alienation) atau terpinggir, lantas menimbulkan masalah sosial pada individu, keluarga, masyarakat dan negara. Para profesional cukup selesa dengan keadaan ini kerana masalah sosial memang dalam skop kepakaran mereka. Walhal, keadaan ini merupakan gejala atau efek penindasan. Mereka asyik mengubati gejala penyakit dan bukan pada penyakitnya (cure the symptoms but not the disease itself).

5.   Selagi mereka tidak mengambil kira masalah rakyat secara menyeluruh atau holistik, selagi itu penindasan merajalela di tempat kerja dan diikuti masalah sosial yang berleluasa. Maka yang kaya menjadi kaya raya dan yang miskin papa kedana serta menderia sepanjang masa. Justeru, pemangkin perlu juga mengkaji perjalanan sistem kapitalisme daripada peringkat saingan bebas; cara memaksimumkan keuntungan dengan amalan monopoli; sengaja memecahkan perpaduan rakyat; mencetuskan konflik; mengekalkan kemiskinan; memanipulasi permintaan dan bekalan (supply and demand), menentukan harga barangan dan disambar krisis ekonomi dan masalah sosial. Di samping itu, rakyat terus terpinggir, miskin, tertindas dan minda mereka dikongkong seperti mesin/robot.  

6. Bagi masyarakat Islam, ihsan Allah lebih memihak kepada mereka yang tertindas seperti ayat dalam Surah Al-Qasas (Q 28:5) yang mencerminkan sifat sosialis revolusioner;

“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas (golongan pekerja adan terpinggir) di negeri ini, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin (menggantikan penindas kapitalis/penyeleweng agama) serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (mengagihkan kekayaan dunia).”

Istilah ‘hendak’ yang Allah SWT ulangi tiga kali merupakan kepastian Ilahi yang memerlukan revolusi atau perubahan yang menyeluruh sekira rakyat yang tertindas ingin menggantikan kepimpinan golongan kapitalis dan konco-konco mereka supaya mengagihkan semula kekayaan negara/sedunia.   

7.    Seratus tahun kebelakangan ini, sudah timbul ilmu fizik yang tercanggih, iaitu ilmu fizik kuantum yang mengatasi ilmu fizik klasikal. Segala kuasa tenaga elektro-magnetik dalam dunia ini yang menjanakan alat-alat dapur, sekolah, syarikat, kilang dan angkasa raya menggunakan ilmu fizik kuantum. Bukan itu sahaja, ilmu fizik kuantum bersifat anti-materialisme dan menjadi jambatan yang menghubungi dunia sains (material) dengan dunia spiritual/kerohanian/kejiwaan. 

VII. KEADAAN TEMPATAN 

1. Pergolakan dan masalah masyarakat setempat terikat pada apa yang sedang berlaku di peringkat negara dan antarabangsa bahkan mereka terus menjadi mangsa kepada segala ragam dan budaya kapitalisme.

2. Kita saksikan bagaimana golongan kapitalis yang berpengaruh mengongkong orang politik, konco-konco dan segala agensi kerajaan, termasuk pihak polis, kehakiman, pejabat daerah, pejabat agama, pejabat rasuah dan NGO pro-kerajaan, menindas dan menggasak masyarakat yang terpinggir seperti golongan pekerja kilang, pekerja ladang, pekebun kecil, nelayan, peneroka bandar (setinggan) dan Orang Asal. Golongan kapitalis lebih selesa mengekalkan kemiskinan, memecah-belahkan perpaduan rakyat dan memanipulasi kaum, agama, wang dan mengganas terhadap rakyat. Rakyat ditindas bagi memaksimumkan keuntungan dan pihak-pihak berkuasa pula membela mereka yang berpengaruh dan berharta.  

3. Kami pernah menggerakkan program AHA di mana kami melakar atas kertas mahjung segala agensi yang menimbulkan keluhan dan ketidakpuasan hati penduduk. Kami mewarnakannya dengan garis panah yang menghubungi semua pihak yang berkenaan. Dengan cara ini penduduk setempat dapat saksikan dan kaji kedudukan mereka dan memastikan siapa sebenarnya musuh utama lantas menyusun langkah mempertahankan hak mereka. 

VIII. MENEMUI PENDUDUK

1. Kita perlu meneliti sepenuhnya masalah masyarakat setempat. Mendengar dan kaji sejarah dan keluhan mereka.

2. Jangan cuba mengimport program, idea atau tindakan yang terjalin dalam otak anda. Sifat elitis dan sikap serba tahu ini mencerminkan keangkuhan individu yang ingin sangat menjadi hero. Hero yang sebenar-benarnya ialah rakyat yang ingin memperjuangkan hak mereka. Kehadiran anda sebagai pemangkin bersifat sementara belaka.

3. Jangan tayangkan keintelektualan anda dan cuba bersikap berkecuali kerana rakyat sedang ditindas, dimangsakan dan menderita sepanjang masa.

4. Lagi pun, penyelesaian berpunca daripada masalah yang sedia ada dalam masyarakat dan bersamalah kita mengkaji dan menghadapinya. 

5. Galakkanlah penduduk membentuk Jawatankuasa Bertindak yang diwakili semua pihak. Dengan cara ini mereka dapat menguruskan masalah mereka selepas pemangkin/aktivis selesai tugas dan beredar dari situ. 

6. Pemangkin/aktivis harus meluangkan masa membimbing sebilangan penduduk setempat yang berpotensi untuk menjadi pemangkin dan pemimpin yang berkaliber. Mereka ini akan teruskan perjuangan, berinteraksi dengan masyarakat lain bagi menegakkan kebenaran dan mempertahankan hak. 

7. Andainya sebilangan penduduk menggunakan takdir sebagai alasan untuk tidak mahu bergerak, maka katakanlah bahawa Allah menolong mereka yang menolong diri sendiri (Q 13:11) dan kita pula tidak diberitahu apa yang ditakdirkan untuk diri kita di dunia ini. Mungkin usaha yang gigih dan ikhlas itu membayangkan proses takdir Ilahi. 

8. Jangan sekali-kali wujudkan budaya pautan, budaya kebergantungan ataupun mentaliti subsidi (culture of dependency) kerana budaya ini mematahkan semangat untuk berdikari, melemahkan inisiatif dan akhirnya, menghancurkan mereka yang kita ingin bantu.

9.  Matlamat berkhidmat bersama masyarakat memang mudah dan berpandukan pendekatan hubungan dialektika, iaitu:

A. Pada Peringkat Awal – kita amat penting dalam perjuangan rakyat kerana memiliki dana/kewangan; kemahiran; pengalaman membangkitkan semangat perjuangan; dan memiliki jaringan sokongan dengan badan-badan luar.

B. Pada Peringkat Pertengahan – dengan bimbingan awal, rakyat semakin cekap mengatur langkah perjuangan, tahu mendedahkan penyelewengan dan makin berani menuntut hak.

C. Pada Peringkat Akhir – rakyat lebih matang dan mempertikaikan cadangan pemangkin kerana mereka sendiri sudah mantap. Ini bermakna kita selaku pemangkin:

  • Rasa bangga kerana rakyat sudah boleh berdikari kerana itulah hasrat/ matlamat kita untuk mereka.
  • Kita rasa sedih kerana kita harus tinggalkan tempat ini kerana selagi kita ada di situ selagi itulah mereka tidak dapat berkembang maju dan kehadiran kita membebankan mereka.

Salam perjuangan!

==========

Dr. Nasir Hashim ialah mantan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

==========

Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s