Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.

==========

Kenyataan oleh Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), 29 April 2021

Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) mengecam perampasan tanah pertanian daripada pekebun di Taman Chepor Sentosa di negeri Perak oleh pihak pemaju swasta, KM Majubina Sdn Bhd.

FKMM turut bersolidariti dengan pekebun di Taman Chepor Sentosa yang diancam rampasan tanah pertanian.

Selama tiga hari, pihak pemaju swasta, KM Majubina Sdn Bhd menggunakan ancaman gengster untuk mengusir pekebun daripada tanah pertanian yang diusahakan oleh mereka dengan gigih sejak Merdeka lagi.

Pihak KM Majubina Sdn Bhd telah menyatakan kepada petani bahawa telah memperoleh perintah mahkamah mengusir petani tetapi ianya bukan ke atas petani kawasan ini.

Pada September 2017, Kerajaan negeri Perak melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) membenarkan pekebun untuk terus mengusahakan tanah pertanian mereka sehingga September 2022 dan akan ditawarkan tanah gantian dalam tempoh tersebut.

Tindakan KM Majubina Sdn Bhd yang memusnahkan tanah pertanian ini menjejaskan kedaulatan makanan negara khususnya pada waktu pandemik ini.

Malaysia mengimport makanan bernilai RM54 bilion (2018) kerana kerajaan membenarkan tanah pertanian dirampas oleh pemaju yang korup tanpa tanah gantian.

FKMM menyeru kepada Kerajaan Negeri Perak untuk segera campur tangan untuk menghalang rampasan tanah pertanian tanpa tanah gantian.

FKMM juga menyeru kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberikan perlindungan kepada para petani dan tanah mereka. Pihak Kerajaan Negeri Perak dan Kementerian Pertanian dan Industri Tani harus campur tangan demi menjamin sekuriti makanan kepada rakyat Malaysia.

==========

Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) ialah sebuah gabungan organisasi-organisasi masyarakat sivil yang memperjuangkan dasar dan amalan pertanian yang menjamin bekalan makanan dan kedaulatan makanan di Malaysia dan seluruh dunia. Forum ini mengangkat hak-hak petani dan keperluan rakyat untuk masa depan yang lebih sejahtera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *